Akibat Menukas Palsu (2)

Setelah itu maka dibawa oleh Fadzil segala pakaian Ali Jauhari itu kepada Sultan Ma’amun Al-Rasyid. Maka dilihat Fadzil Sultan Ma’amun Al-Rasyid duduk serta Ali Jauhari itu. Lalu dihantarkannya ke hadapan keduanya.

Maka sabda Sultan Ma’amun Al-Rasyid, “Hai Ali Jauhari, sekarang apa katamu ini?”

Maka sembahnya, “Bahkan, ya Tuanku Syah Alam. Bahawa segala pakaian itu isteri yang diperhamba empunya dia, tetapi adat isteri yang diperhamba apabila ia masuk dalam hamam ditanggalkannya segala pakaiannya, tiadalah ia dipakai lagi lalu diberikannya kepada seorang sahayanya. Maka adalah mudah-mudahan dijualkan sahaya itu. Maka sampai pada Fadzil. Maka dibawa pakaian itu ke hadapan Syah Alam.”

Maka sembah Fadzil, “Ya Tuanku Syah Alam, ada pada yang diperhamba beberapa tanda yang lain.”

Maka sabda Sultan Ma’amun Al-Rasyid, “Hai Fadzil, katakan olehmu.”

Maka dipersembahnya, demikian tanda kampungnya dan demikian tanda hamamnya.

Setelah itu maka sembahnya Ali Jauhari, “Ya Tuanku Syah Alam, ada jua seorang menceterakan akan tanda itu kepadanya.”

Maka sabda Sultan Ma’amun Al-Rasyid, “Hai Ali Jauhari, bukankah engkau katakan kepadaku bahawa kampungmu tujuh lapis pintunya, dan pada tiap-tiap pintu itu tujuh orang sahaya mengawal akan dia. Engkau kata tiada dapat seseorang jua pun masuk ke dalam kampung-mu.”

Maka sembah Fadzil, “Ya Tuanku Syah Alam, selain segala tanda itu ada pada yang diperhamba tanda yang nyata lagi pula daripada itu. Bahawa pada isteri Ali Jauhari itu suatu tahi lalat hitam pada dadanya, diatasnya tiga helai bulu ruma.”

Maka sabda Sultan Ma’amun Al-Rasyid, “Hai Ali Jauhari, apa jua jawabmu sekarang akan kata ini?”

Maka sembahnya, “Ya Tuanku Syah Alam, sebenarnyalah kata Fadzil ini, tetapi ada seorang mengatakan dia kepadanya.”

Maka sabda Sultan Ma’mun Al-Rasyid, “Segala tanda itu dusta dan isterimu jua benar lagi kupercayai.”

Maka disuruh Sultan Ma’amun Al-Rasyid tangkap Ali Jauhari serta dipenjarakannya. Maka sabda Sultan Ma’amun Al-Rasyid, “Esok hari Jumaat, kamu serantakan Ali Jauhari pada keliling negeri ini. Setelah iu, maka kamu jerat batang lehernya, gantungkan akan dia.”


Adalah pada ketika itu hadir seorang sahayanya. Maka kembalilah kepada tuannya sahaya itu lalu diceterakannyalah segala hal ehwal yang telah berlaku kepada tuannya, Ali Jauhari itu. Maka, diketahuinyalah oleh isteri Ali Jauhari segala bencana itu daripada helah perempuan tua itu jua.

Maka disuruh panggil seorang pandai emas. Maka ia pun datanglah. Maka diberikannyalah akan dia seribu dinar.

“Inilah upah engkau perbuat akan daku suatu cerpu.” Lalu diberikannya pandai emas itu permata.

Maka katanya akan pandai emas itu, “Perbuat olehmu pada malam ini jua sebelah cerpu yang tiada ada dalam perbendaharaan segala raja-raja sepertinya itu. Dan jangan seorang jua pun melihat dia dan mengetahui dia.”

Maka diperbuatnyalah sebelah cerpu akan dia, terlalu indah-indah perbuatannya. Setelah sudah maka diambil isteri Ali Jauhari cerpu itu. Maka pandai itu pun kembalilah ke rumahnya.

Hatta, maka berangkatlah Sultan Ma’amun Al-Rasyid akan sembahyang Jumaat. Tatkala itu maka dititahkan seorang sahayanya mengeluarkan Ali Jauhari. Maka ia pun dikeluarkan oranglah. Demi didengar isteri Ali Jauhari, maka ia pun mengambil cerpu yang sebelah itu, lalu masuklah ia ke dalam masjid Jumaat itu. Maka didengarnya sabda Sultan Ma’amun Al-Rasyid kepada orang yang menjabat tali ikat pinggang suaminya, menyuruhkan mendirikan suaminya itu. Dan sabdanya, “Apabila sudah sembahyang Jumaat gantungkan Ali Jauhari.”

Setelah selesailah orang daripada sembahyang, maka berdirilah isteri Ali Jauhari di hadapan Sultan Ma’amun Al-Rasyid, serta ia berdatang sembah, “Ya Tuanku Syah Alam, apa yang Tuanku perbuat adakah diperkenankan Allah Ta’ala perbuatan yang demikian itu? Ya Syah Alam, Tuanku perbuat sembahyang lalu menganiayai seseorang. Maka sembahyang itu tiada baik bagi Tuanku.”

Maka sabda Sultan Ma’amun Al-Rasyid, “Siapa yang menganiayaimu, hai perempuan?”

Maka sembahnya, “Ya Tuanku Syah Alam, yang diperhamba Fadzil inilah.”

Maka menilik Sultan Ma’amun Al-Rasyid kepada Fadzil, serta ia bersabda, “Hai Fadzil. Mengapa engkau aniayai perempuan ini?”

Maka sembahnya, “Demi Allah, tiada diperhamba menganiayainya dan tiada diperhamba mengenal dia dan tiada yang diperhamba pernah melihat dia, melainkan pada ketika ini jua.”



Teruskan Pelayaran Anda...

https://sites.google.com/site/0361544/akibat-menukas-palsu-3