Lagi...KISAH RAJA YAMAN (1)

Maka kata muda belia itu, “ Ada pun bapa hamba seorang saudagar bernama Aqsal dan nama bonda hamba Badar. Maka adalah bapa hamba itu terlalu kaya tetapi tiada beranak. Sekali peristiwa, pada suatu hari, berkata-katalah bapa hamba dengan ibu hamba, "Ada pun pada kita ini ada harta terlalu makmur akan apalah gunanya kerana kita tiada beranak. Baik jua kita biayakan pada jalan kerana Allah.” Maka sahut ibu hamba, “Sebenarnyalah seperti bicara Tuan Hamba. Tetapi sungguhpun kita berbiaya jangan semuanya, kadar sedikit jua kita sedekahkan akan segala fakir dan miskin dan segala orang talib, takut siapa tahu mudah-mudahan dianugerahi Allah Ta’ala akan kita anak dengan berkat doa sekelian tuan-tuan itu.” Maka kata bapa hamba, “Sebenarnyalah katamu itu.”

Maka dikerjakannyalah seperti yang dibicarakan itu keduanya. Maka dengan takdir Allah Ta’ala, maka ibu hamba pun hamillah akan hamba. Beberapa lamanya maka hamba pun jadilah. Setelah hamba jadi, maka bapa hamba pun pergilah kepada ahli nujum [1] serta katanya, “Hai Munajim [2], bahawa hamba ada beranak seorang laki-laki baharu jadi, Tuan Hamba lihat apalah kiranya akan rasi anak hamba itu.” Maka Munajim pun melihat nujumnyalah serta katanya, “Hai saudagar bahawa anak tuan hamba itu tiada lanjut umurnya. Apabila sampai ia kepada akhir delapan belas tahun, maka ia mati terbunuh.” Maka sahut bapa hamba, “Siapa membunuh dia?” Maka kata Munajim, “Bahawa yang membunuh anak tuan hamba itu ada seorang Raja benua Yaman. Ialah yang membunuh dia.”

Maka bapa hamba kembalilah dengan masyghulnya. Hatta, beberapa lamanya umur hamba pun sampailah kepada hampir delapan belas tahun. Maka bapa hamba bicara dengan ibu hamba, katanya, “Bahawa anak kita hampirlah genap umurnya delapan belas tahun, takut siapa tahu jadi seperti kata Munajim itu. Akan sekarang baik juga kita nyahkan dia dari negeri ini pada pulau yang tiada didiami orang, mudah-mudahan tertolak bahaya itu daripadanya.” Maka sahut ibu hamba, “Sebenarnyalah seperti bicara Tuan Hamba itu.”

Maka dihantarkannyalah bapa hamba akan hamba ke tempat ini dengan sebuah bahtera dengan segala zuadah[3] seperti Tuan Hamba lihat itu. Maka tatkala bapa hamba menghantar hamba ke mari ini adalah lamanya lagi empat puluh hari belum sampai seperti kata Munajim itu. Pada sehari inilah genap empat puluh hari. Bapa hamba pun pada hari inilah ia akan datang mengambil hamba dengan bahteranya. Demi didengar Raja Yaman kata orang muda itu demikian, maka ia pun berdiam dirinya. Suatu pun tiada apa katanya. Maka kata orang muda itu, “Hai saudaraku, pergilah tuan hamba ke bawah geta hamba ini ambil sebuah tembikai yang baik, bawa ke mari kita makan.”

Maka Raja itu pun pergilah mengambil buah tembikai itu lalu dibawanya ke hadapan orang muda itu. Maka orang muda itu pun mengunjukkan sikin [4] serta katanya, “Belah oleh tuan hamba.” Maka disambut oleh Raja sikin itu dari tangannya serta dibelahnya tembikai itu. Maka dicangkul isinya tembikai itu dengan hujung pisau itu. Maka disuruh orang muda itu beri yang dihujung sikin itu ke mulutnya. Baharu hendak dimakannya, maka orang muda itu pun bersin. Maka terhiris hujung sikin itu ke bawah langit-langitnya, hingga terus ke otaknya. Maka orang muda itu pun matilah.


Demi dilihat Raja orang muda itu mati, maka ia pun menyesal dirinya. Katanya, “Wah, sayangnya orang muda itu mati kerana aku. Jikalau ada ia hidup nescaya ialah memberi makanan aku. Maka bapanya pun katanya pada hari ini juga mengambil dia. Jikalau didapati bapanya akan daku di sini nescaya dibunuhnyalah aku.” Setelah sudah ia fikir demikian maka nyahlah ia dari sana dengan sedihnya dan dengan lapar dahaganya, lalu masuk ia ke dalam hutan. Maka bertemu ia dengan sepohon kayu yang besar lagi tinggi. Maka naiklah ia ke atas pohon kayu itu. Maka hari pun asarlah. Maka kelihatan sebuah bahtera berlayar datang kepada pulau itu, terlalulah riuh dengan segala bunyi-bunyian daripada genderang dan serunai dengan tempik soraknya, dengan alat senjatanya. Maka Raja Yaman pun fikir serta katanya, “Ini pun bapa orang muda itu datang ia mengambil anaknya.” Maka singgahlah ia dengan segala isi bahtera itu sekelian itu lalu masuk ke dalam gua itu. Demi dilihat Saudagar anaknya sudah mati terbunuh katanya, “Wah, datang hukum Allah atas anakku ini. Bahawasanyalah takdir Allah Ta’ala itu tiada dapat disalahi lagi dan datanglah seperti kata Munajim itu.”

*****


Maka dalam antara itu fikir pula Raja itu, “Jika aku diam di atas pohon kayu ini, takut siapa tahu dicarinya aku dalam hutan ini. Jikalau didapatnya nescaya tiada dapat tiada aku dibunuhnya jua. Sekarang pun baik aku nyahkan dari sini.” Maka setelah ia fikir demikian itu maka turunlah ia dari atas pohon kayu itu berjalan ke darat kira-kira sehari perjalanan jauhnya. Maka bertemu ia dengan sebuah mahligai di tengah padang daripada batu terlalu ajaib sekali perbuatannya, dengan besarnya dan tingginya dan beberapa ratus tingkapnya. Maka pada tiap-tiap satu tingkap itu ada seorang perempuan yang muda memakai sederhana pakaian tubuhnya, terlalu elok parasnya, menengok pada tingkap itu. Hingga hampirlah Raja Yaman ke sisi mahligai itu, maka terlihatlah ia oleh perempuan yang banyak itu. Maka kata segala perempuan itu, “Hai Orang Muda, dari mana Tuan Hamba datang dan betapa Tuan Hamba sampai ke mari ini? Berapa lamanya kami jangankan manusia, binatang pun tiada pernah lalu di sini.” Maka sahut Raja Yaman, “Hai Tuan-tuan sekalian bahawa hamba ini seorang dagang fakir.” Katanya, “Betapa Tuan Hamba sekalian duduk dalam mahligai ini?” Maka sahutnya, “Sudahlah dengan takdir Allah Ta’ala akan kismat kami seperti Tuan dapati ini. Hai Orang Muda, marilah Tuan Hamba naik ke mari.” Maka sahut oleh Raja itu, “Betapa peri hamba naik kerana mahligai ini tiada tangganya?” Maka lalu diambil perempuan itu tali maka dihulurkannya ke bawah. Maka Raja pun naiklah kepada tali itu hingga sampailah ia ke atas mahligai itu. Maka dilihatnya berbagai-bagai makanan dan buah-buahan. Maka kata Raja Yaman, “Di mana negeri Tuan-tuan sekalian?” Maka segala perempuan itu pun mengatakan nama negerinya dan nama ayahnya.

Maka muafakatlah sekelian mereka itu, maka diambilnya peti pada beberapa buah, dipertindih-tindihkanya hingga sampai ke atap mahligai itu, berbetulan dengan geta tempat ketiduran Jin itu. Maka diambil mereka itu sebuah batu yang besar ditaruhnya ke atas peti itu. Maka kata sekelian mereka itu, “Hai Raja Yaman, naiklah Tuan Hamba ke

Teruskan Pelayaran Anda...

1. Menilik nasib seorang anak yang baharu lahir menjadi amalan masyarakat lama, terutama masyarakat Hindu.

2. Ahli nujum.

3. Bekalan makanan

4. Pisau.