Harun Al-Rasyid Dan Qamaruzzaman

KATA SAHIBUL HIKAYAT , sekali peristiwa pada suatu hari Raja Harun al-Rasyid masyghul dengan masyghul yang amat sangat lalu tidurlah ia pada hamparannya serta mengguling akan dirinya daripada sangat percintaannya. Maka ia berdiri seraya berjalan-jalan melalaikan dirinya. Maka adalah pada masa itu empat belas haribulan. Hatta, maka bulan pun terbitlah gilang-gemilang cahayanya.

Maka Raja Harun al-Rasyid pun berjalan-jalan pada mahligainya. Maka sampailah ia kepada suatu istana daripada batu pelinggam yang terlalu indah perbuatannya, adanya. Ada di atasnya di istana itu suatu hamparan daripada sutera. Dan ada pun di atas hamparan itu suatu tilam daripada kain yang bernama dibaj berpakankan emas dan ada di atas tilam itu seorang perempuan yang muda daripada gundiknya yang benama Qamaruzzaman, terlalu elok parasnya, seolah-olah mutiara yang dikarang berumbai.

Maka dihampirilah oleh Raja Harun al-Rasyid ke sisi perempuan itu, lalu cenderunglah hatinya akan dia, kerana dilihat terlalu elok parasnya. Maka dijabat Raja Harun al-Rasyid betisnya. Maka Qamaruzzaman pun jagalah, serta sembahnya, “Ya Tuanku Syah Alam. Apa khabaran ini?” Maka kata Raja Harun Ar-Rasyid: ضَيفٌ طَارِقٌ بِأرضِكُم هَل تُضَيّفُوهُ إلَى وَقتِ السَحَرِ Ertinya, datang jamu kamu pada tempat kamu ini, maukah kamu berjamu dia pada ketika dinihari? Maka sahut Qamaruzzaman: بِسُرورٍ سَيّدِى أَخدُمُ الضَيفَ بِسَمعِى وَالبَصَرِ Ertinya, dengan sukacitaku ya Tuanku khidmat akan jamu itu dengan batu kepala hambamu.

Kata yang empunya cetera ini, tatkala itu Raja Harun al-Rasyid pun tertawalah lalu merebahkan dirinya ke atas perempuan muda itu dan hilanglah segala dukacitanya. Maka ia pun kembalilah kepada peraduannya, lalu tidurlah ia dengan sukacitanya hingga datang subuh. Maka semayamlah Raja Harun al-Rasyid pada pagi-pagi hari di atas kerusinya serta bersabda, “Siapa ada duduk di luar pintu daripada ahli al-syair?” Maka sembah orang menunggu pintu itu, “Ya Tuanku Syah Alam, bahawa Abu Nuwas ada.” Maka dititahkan Raja Harun al-Rasyid, “Panggil akan dia.” Maka ia pun datanglah mengadap.

Maka sabda Raja Harun al-Rasyid. “Hai Abu Nuwas, aku berkehendak bahawa engkau syairkan daku barang yang dalam hatinya dan barang yang telah lalu hikayatnya pada malam itu.” Kalakian, maka Abu Nuwas berdiam dirinya, serta berbicara dalam hatinya. Maka ia pun berdatang sembah, demikian bunyinya, “Ya Tuanku Syah Alam, diberi izin akan yang diperhamba nescaya hamba persembahkan seperti yang dikehendaki Syah Alam itu.” Maka sabda Raja Harun al-Rasyid, “Katakan olehmu.” Maka sembahnya, “Diperhamba junjunglah seperti titah yang Maha Mulia itu.” Lalu bersyairlah ia, demikian bunyinya: طَالَ لَيلِى حِينَ وَافَانِىَ السَهَر فَتَفكَّرتُ فَأحْسَنتُ الفِكر Ertinya: Telah lanjutlah malamku ini pada ketika dinihari �دتاوعين akan daku berjaga, maka kufikirkan dengan sebaik fikir. قُمتُ أمشِى فِى مَجَالِى سَاعَةً ثُمّ أخرَى فِى مَقَاصِيرِ الحِجْر Maka berdiri aku lalu berjalan seketika pada segala istana dan segala bilik. وَإذَا وَجهٌ جَميلُ حَسَنٌ زَانَه الرّحمنُ مِن بَينِ البَشَر Tiba-tiba kelihatan seekor kucing yang terlalu elok parasnya yang dihiasi Tuhan Yang Bernama Rahman terlebih daripada segala manusia. فَلَمستُ الرِجلَ مِنهَا مُوقِظًا فَرَنّتْ نَحوِى ومَدّت لِلبَصَر Kujabat betisnya, maka jagalah ia, serta mengadap ia padaku dengan tilik baik. وَأشَارَت وَهِى قَائِلةٌ يَا أمِينَ الله مَا هذَا الخَبَر Maka katanya akan daku, serta senyuman , Hai Raja , apa warta itu? قُلتُ ضَيفٌ طَارِقٌ بِأرضِكُم هَل تُضَيّفُوهُ إلَى وَقتِ السَحَرِMaka sahutku akan dia, �Datang kepadamu jamu, maukah engkau berjamu dia pada ketika dinihari ini.� فَأجَابَت بِسُرورٍ سَيّدِى أَخدُمُ الضَيفَ بِسَمعِى وَالبَصَرِ Maka sahutnya, “Dengan sukacitanya, ya Tuanku. Perjamukan dia atas batu kepalaku.”

Kata yang empunya cetera, tatkala selesailah Abu Nuwas daripada membaca syairnya ini, maka sabda Raja Harun al-Rasyid: قَاتَلَكَ الله كَأنّكَ كُنتَ مِنّا حَاضِرٌ أو مُطَّلِعٌ عَلَينا “Mati dibunuh Allah akan dikau, seolah-olah engkau hadir serta kami atau ada engkau menilik kepada kami.” Maka sembah Abu Nuwas, “Ya Tuanku Syah Alam, tiada diperhamba hadir di sana, tetapi diperhamba ketahui barang yang ada pada hati Syah Alam.Maka dipersembahkan syair itu.”

Maka Raja Harun al-Rasyid pun sukalah daripada mendengar sembah Abu Nuwas itu, lalu dikurniai amat banyak harta. Maka diambilnya lalu ia pun kembalilah ke rumahnya dengan sukacita

Tamat Kisah Harun Al-Rasyid Dan Qamaruzzaman

Teruskan Pelayaran Anda...

https://sites.google.com/site/0361544/syair-sebagai-penawar

Abu Nuwas...Penyair Paling Terkemuka Di Istana Harun Al-Rayhid