WebMaster (Cikgu Hadi)
[Emel: abdulhadiismail41@gmail.com]
[Emel: abdulhadiismail41@gmail.com]
Ayahandanya, Ismail Bin Jusoh, berasal dari Pulau Pinang dan berkahwin dengan Bondanya semasa dia menjadi guru di Perlis. Bonda Cikgu Hadi pada ketika itu juga adalah guru di Sekolah Melayu Arau. Dialah satu-satunya anak perempuan Haji Yunus yang berpeluang belajar di sekolah. Ini membuktikan keterbukaan minda Haji Yunus, kerana pada zaman itu kanak-kanak perempuan lazimnya tidak dibenarkan oleh ibu bapa mereka masuk belajar di sekolah.
Cikgu Hadi berasa amat puas dapat mendidik anak bangsa selama itu. Lagi pula, umur mereka yang dididik oleh Cikgu Hadi adalah seawal usia 7 tahun (di SK Weng, kini Seri Bayu, Baling) dan selewat usia 55 tahun (di UUM). Cikgu Hadi menganggarkan jumlah murid/pelajarnya - secara kasar - ialah 13,000 orang (والله أعلمُ بالـصـواب).
Kronologi kerjaya Cikgu Hadi adalah: 1963-1965 di SK Weng (kini Seri Bayu, Baling); 1965-1970 di SK Mahang; 1970-1971 di Maktab Mahmud; 1974-1978 di Maktab Mahmud (kali ke-2, selepas memperolehi Ijazah dari USM); 1978-1996 di USM (sebagai Pensyarah); 1997-2003 di UUM (sebagai Pensyarah Kontrak) & 2003-2010 di SMA Daeratul Maarifil Wataniah, Kepala Batas, P. Pinang.
Kepuasan mengajar Cikgu Hadi menjadi berlipat ganda kerana selama 14 tahun daripada sejarah kerjayanya dia bertugas di 2 buah Sekolah Agama, iaitu 6 tahun di Maktab Mahmud, Alor Setar dan 8 tahun di Daeratul Ma'arifil Wataniah, Kepala Batas, Pulau Pinang .
Kini, Cikgu Hadi berstatus OKU (Orang Kurang Upaya), iaitu sejak 2005 setelah menjalani pembedahan spina yang kurang berjaya. Dalam pada itu, sebagai Hamba Allah yang berpegang kepada kada & kadar, Cikgu Hadi tetap pasrah. Kini kebanyakan masa Cikgu Hadi adalah di rumahnya, bergerak dengan kerusi roda. Penghiburnya adalah 4 orang cahaya mata dan 14 orang cucu.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Orang kesayangan Cikgu Hadi, Aishah Hj. Abdullah, telah dijemput Allah pada 25 Ogos, 2016 pada usia 70 tahun.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Lantaran itu, kerana keseorangan dan berkeadaan OKU, anak sulung Cikgu Hadi telah membina sebuah rumah khas untuknya yang mesra kerusi roda, dalam satu lot tanah yang berkembar dengan lot rumahnya sendiri, di Tasek Gelugor. Segala makan minum diurus oleh anaknya ini.
Tiga orang anak Cikgu Hadi tinggal berdekatan, di Tasek Gelugor, Bertam dan Bandar Perda, Ptg. Pauh. Seorang lagi anak tinggal di Johor Baharu.
Pada Ogos 2020, seorang cucu perempuan Cikgu Hadi telah berkahwin. Inilah cucu pertama yang berkahwin.
Anak Cikgu Hadi seramai empat orang, dua lelaki dan dua perempuan.
Seorang anak perempuan Cikgu Hadi meneruskan kesinambungan tradisi guru dalam keluarga. Dia menjadi pensyarah Politeknik. (Darah guru dalam keluarga Cikgu Hadi sudah mengalir selama empat generasi, bermula dengan Datuknya yang mendapat latihan pada akhir abad ke-19 di Malay High School aka Kolej Telok Belanga, Singapura. Dia adalah antara guru Melayu yang terawal di Tanah Melayu). Generasi kedua guru ialah Ayah Cikgu Hadi, yang menjadi guru di Perlis, awal kurun ke-20. Cikgu Hadi sendiri guru generasi ketiga dan anak perempuannya guru generasi keempat.
Jika berminat mengetahui riwayat hidup Cikgu Abdul Hadi, sila ketik butang di bawah: