HAJI OTHMAN AL-YUNUSI
Mengikut Ismail Che Daud, Hj. Othman dilahirkan pada 1904. Beliau lebih dikenali dengan panggilan Lebai Man @ Pak Man dan telah memilih untuk meneruskan legasi Ayahandanya di Kedah, memandangkan suasana di Perlis yang kontroversial itu.
Untuk menyediakan dirinya, Othman mula-mulanya belajar dengan Ayahandanya sendiri, Haji Yunus selama 6 tahun sebelum bertolak ke Kelantan untuk mendalami pengajiannya. Di samping belajar di Masjid Muhammadi di Kota Bharu, beliau menuntut dengan beberapa orang Tok Guru yang terkenal. Antaranya ialah Tok Kenali, Hj. Yaakob Legor, Hj. Ali Salahuddin Awang, Mufti Hj. Musa dan Hj. Ahmad Mannan @ Hj. Ahmad Hakim. Pengajiannya memakan masa 14 tahun. Semasa Perang Dunia Ke-2, Lebai Man berada di Kelantan meneruskan pengajiannya. Setelah tamat Perang, Othman balik ke Kedah.
Sekembali dari Kelantan, Othman mendirikan rumah tangga dengan Ramlah, anak Tuan Guru Hj. Omar Kaya, Merbok. Lebai Man memulakan kerjayanya sebagai mualim di Merbok iaitu mengajar di Pondok Mertuanya. Semasa mengajar itu, beliau merasakan ilmu pada dirinya belum begitu cukup (mengikut Ismail Jusoh, Ayahanda kepada Admin sendiri, Haji Yunus sendiri yang memantau Pak Man mengajar itu dan telah menasihatinya supaya belajar lagi) , lalu beliau kembali semula ke Kelantan. Beliau bercadang menyambung belajar dengan Tok Kenali, tetapi Tok Kenali sudah pun kembali ke Rahmatullah.
Othman kemudian ke Bunut Payong dan belajar dengan Tuan Guru Haji Abdullah Tahir. Di samping itu, Man Perlis (panggilan baginya di kalangan rakan-rakannya, di mana beliau menjadi pembantu kepada Tuan Guru atau Kepala Mentelaah) berulang-alik belajar di Halaqat Kitab di Masjid Muhammadi. Antara gurunya ialah Dato' Kaya Perba Hj.Ahmad Maher Hj. Ismail, Dato' Hj. Muhammad Nur Hj. Ibrahim dan Tuan Guru Hj. Yaakob Kechik. Bila saja ada kesempatan, beliau mengunjungi juga Maulana Saiyid al-Raid al-Muhaddithin al-Saiyyid Hassan al-Khurasani.
Selepas 13 tahun Othman al-Yunusi balik ke Kedah, menyambung kegiatan keagamaannya. Lebai Man memilih Bukit Besar, Kota Sarang Semut, sebagai lokasi Pondoknya.
TGHOY kembali ke rahmatullah pada usia 83 tahun, pada 1-7-1987. Sebelum itu institusi pengajian yang diasaskan olehnya itu telah menjadi mantap dan terkenal sebagai sebuah Sekolah Pondok terkemuka di Kedah. Selain penuntut dalam negeri, Pondok Pak Man juga menjadi pilihan pelajar dari Selatan Thailand - Pattani, Narathiwat dan Phuket. Pernah juga ada penuntut dari Langkat, Indonesia.
Dalam pada itu, untuk menyesuaikan dirinya dengan kehendak semasa Pondok Pak Man telah bermetamorfosis menjadi Madrasah Nahdzah dan kemudiannya SABK Nahdzah, setelah menerima bantuan Kementerian Pelajaran Malaysia pada tahun 2006. Kini, Nahdzah tetap berdiri teguh dengan sokongan beberapa orang anak Pak Man sendiri yang turut memastikan obor yang mula dinyalakan oleh Nenda mereka Haji Yunus bin Saleh Kelantani tidak padam.
Bangunan Induk Pondok Bt. Besar