USTAZ ABDUL RAHMAN AL-YUNUSI
Selain daripada Pak Man, seorang lagi anak Haji Yunus yang berbakti meneruskan legasi Ayahandanya ialah USTAZ ABDUL RAHMAN AL-YUNUSI atau lebih mesra dipanggil PAK TEH MAN. Berbeza dengan Kekandanya, Ustaz Abdul Rahman memilih untuk melanjutkan perjuangan Haji Yunus sebagai seorang guru yang mengajar di sebuah sekolah agama moden, iaitu di MADRASAH TARBIAH AL-BANAT yang terletak di Jalan Pegawai, Alor Setar.
Sekolah ini yang bermula sebagai sebuah institusi swasta kemudiannya bergabung dengan Maktab Mahmud, dalam tahun 1973, untuk menjadi MAKTAB MAHMUD PUTERI. Sebagai guru, kepakaran Pak Teh Man ialah BAHASA ARAB.
Untuk menyediakan dirinya menjadi seorang mualim, Pak Teh Man terlebih dahulu telah masuk belajar di Madrasah al-Alawiyah ad-Diniah di Arau, iaitu institusi pendidikan agama aliran moden (berbanding dengan pondok). Selain daripada menguasai Bahasa Arab, Pak Teh Man juga belajar Bahasa Inggeris, secara sendirian. Yang menjadi tutor beliau ialah Cikgu (kemudiannya, Prof.) Shahnon Ahmad. Antara rakan sepersekolahan Pak Teh Man ialah Haron Din (kemudiannya Dato' Prof.).
Selain daripada MADRASAH TARBIAH dan MAKTAB MAHMUD, Pak Teh Man juga pernah mengajar di NAHDZAH dan di PONDOK PAK YA JUNID. Semasa di Nahdzah, Pak Teh Man menjadi mentor kepada dua orang tokoh iaitu Dato' Abdul Hamid Othman dan Ustaz Baderudin Hj. Ahmad. Tokoh yang pertama itu kemudiannya menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menterei, manakala tokoh kedua itu pula ialah Dato' Mufti Negeri Kedah sekarang (semasa LamanWeb ini sedang dibangunkan) dengan gelaran Dato' Paduka. Selain itu, Pak Teh Man juga menjadi Ayah Angkat kepada pelajar-pelajar dari Thailand yang belajar di Madrasah Nahdzah.
Kata peribahasa Melayu, ke mana tumpah kuahnya kalau tidak ke nasi. Anak-anak Pak Teh Man yang turut berkecimpung dalam bidang pendidikan agama ialah Ustaz Ahmad Puaad (pesara Institut Pendidikan Guru Temenggung Ibrahim, Johor Bahru), Muhammad Asri (pernah mengajar di Maktab Mahmud Alor Setar, dan kini seorang pengajar di Penjara Muar) dan Zubair (pernah mengajar di Maktab Mahmud Alor Setar, dan kini bertugas di UniSHAMS). Asri dan Zubair adalah lulusan Jamiah Al-Azhar, Cairo. Selain itu, seorang cucu Pak Teh Man juga menuntut dalam bidang agama di Jordan, iaitu Luqman ul-Hakim anak Faisal al-Yunusi (Luqman ul-Hakim telah tamat pengajian pada 2016 dan kini ,2018 menjadi guru di SABK al-MASRIYAH, Bt. Mertajam). Anak sulung Pak Teh Man, Nawawi, selepas tamat pengajian aliran agama di Maktab Mahmud dan Kolej Islam Kelang, telah memilih berkhidmat sebagai pendidik juga iaitu Pensyarah di UiTM Arau dalam bidang Sains Polimer. Sesuai dengan namanya, Nawawi juga banyak mempelajari ilmu agama dan bahasa Arab, sehingga ramai memanggil beliau Ustaz Nawawi.
Anak ketiga Pak Teh Man, yang bernama Faisal pula, telah memilih pengajian bidang kejuruteraan di Colorado School of Mines yang tersohor itu dan pernah berkhidmat dengan Kumpulan FELDA Global Ventures. Sementara itu anak kedua Faisal (Siti Muniirah) adalah lulusan Universiti Colorado, Boulder (tamat pengajian 2018) dalam bidang Kejuruteraan Alam Sekitar.
CATATAN:
Mengikut Emak Cikgu Hadi (Aishah Hj. Yunos), Haji Yunus telah menghantarkan dua orang lagi anaknya, selain Pak Man, belajar agama di Kelantan. Namun, mereka ini telah cicir pengajian, dan pulang ke Perlis tanpa mendapat bekalan ilmu yang diharapkan.
Madrasah Al-Alawiyah Ad-Diniah