PERMULAAN MENUNTUT ILMU
TGHYSK berasal dari Kampong Mentuan, dekat pekan Kedai Lalat (kini Kota Jembal), Kota Bharu, Kelantan dan telah dilahirkan sekitar tahun 1882.
Haji Yunus memulakan pengajiannya pada akhir kurun ke-19 dengan mendalami nahu Arab di Madrasah Haji Umar, Mentuan. Kemudian beliau berhijrah ke Terengganu dan berguru kepada Saiyid Abdul Rahman bin Saiyid Muhammad al-Idrus @ Tok Ku Paloh. Awal kurun ke-20, beliau meninggal Pantai Timur dan bertapak di Kedah, belajar dengan Tok Guru terkenal Tuan Husain Kedah @ Husain bin Muhammad Nasir al-Mas'udi al-Banjari, di Kampong Bohor, Anak Bukit. Kemudian, dalam tahun 1912, apabila Tuan Husain memindahkan pondoknya ke Bagan Ulu, Selatan Kedah, Haji Yunus berhijrah ke Perlis dan berguru kepada Hj. Ahmad Kechik, Changkat Lada/Belukar, Arau.
Setelah beberapa tahun di Perlis, Haji Yunus meninggal Tanah Air menuju ke Kota Suci Makkah al-Mukarramah untuk mengemaskini pengetahuan agamanya. Haji Yunus berguru kepada beberapa orang ulama terkenal di sana, termasuk kepada Tuan Mukhtar Bogor, atau nama sebenarnya, Syeikh Muhammad Mukhtar bin 'Atarid, yang dikatakan sangat terkenal itu. Haji Yunus belajar di Makkah selama 4 tahun. Kemudian beliau balik semula ke Perlis.
MULA MENGAJAR
Haji Yunus mula mengajar kepada masyarakat Titi Besai, Arau. Mengkut Ismail Che' Daud, namanya segera "timbul" sebagai pendatang baru dalam baris pelapis di Negeri Perlis.
Tidak lama kemudian Haji Yunus memindahkan pengajiannya ke Masjid Oran di Mata Air. Kelas di Masjid ini segera berkembang menjadi pengajian Pondok, seperti yang telah disebut itu. Pondok Haji Yunus di Oran terus berkembang dan menarik bukan sahaja pelajar tempatan tetapi juga dari negeri-negeri Tanah Melayu dan negara-negara jiran.
Air ada pasang surut dan matahari juga tidak sentiasa menyinari cahayanya. Datang peredaran zaman, Pondok Haji Yunus mula menempuh era kemerosotan.