MIRI: Sejumlah 12 Sekolah Kebangsaan (SK) Zon Baram melibatkan 130 murid, 22 guru dan 12 pensyarah menyertai Program Jalinan Mesra Peribumi pada 18 hingga 21 Jun lalu.
Penyelaras program Dr Magdeline Nor berkata, ia merupakan cetusan idea Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGMK) Kampus Sarawak sejak 2016 dan kali ini ditaja Sarawak Energy Berhad (SEB)
"Pelaksanaan Program Jalinan Mesra Peribumi ini merupakan salah satu program untuk membantu murid di pedalaman dalam usaha menarik minat serta memantapkan penguasaan mereka dalam mata pelajaran teras," katanya.
Untuk rekod, ia satu program anjakan paradigma dalam pembangunan pendidikan di kawasan pedalaman atau luar bandar Sarawak selaras dengan peranan IPGMK Sarawak sebagai Pusat Kecemerlangan Pedagogi Peribumi Zon Sarawak.
"Program ini memberi tumpuan kepada murid-murid untuk menguasai mata pelajaran Bahasa Inggeris, Bahasa Melayu, Sains dan Matematik serta ceramah motivasi bagi murid-murid di pedalaman Sarawak," jelasnya.
Selain itu, perkongsian strategi pedagogi, amalan terbaik, Pentaksiran Bilik (PBD) dan Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25) kepada guru dan bual bicara pendidikan untuk PIBG dan masyarakat setempat.
Semua ceramah disampaikan pensyarah IPGMK Sarawak agar murid-murid di pedalaman ini juga mendapat kesamarataan akses pendidikan berkualiti seperti rakan-rakan mereka di bandar.
"Ini selaras dengan hasrat IPGMK Sarawak sebagai Pusat Kecemerlangan Pedagogi Peribumi Zon Sarawak untuk menyumbangkan kepakaran akademik dan membantu pembangunan pendidikan, khasnya di kawasan pedalaman Sarawak," ujarnya.
Program ini juga selaras dengan anjakan kesembilan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM 2013-2025), iaitu bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti, dan sektor swasta secara meluas. Hal ini penting agar penggunaan sarana ibu bapa dapat menyokong pembelajaran murid.
"Kerjasama yang terjalin antara IPGMK Sarawak dengan Pejabat Pendidkan Daerah (PPD) dan SEB juga penting dalam perkongsian idea dan kepakaran pensyarah untuk pendidikan di kawasan pedalaman ini," katanya.
Justeru, penglibatan semua pihak dalam program ini akan dapat mewujudkan ekosistem pembelajaran yang memperkukuhkan pengajaran dan pembelajaran murid di kawasan pedalaman.
Oleh itu, program ini akan membantu pembangunan pendidikan di kawasan pedalaman khususnya murid-murid peribumi yang masih ketinggalan berbanding murid-murid di kawasan bandar.
Dalam perkembangan sama, tahun ini pihak IPGMK Sarawak menyelaras Program Jalinan Mesra Peribumi dengan penubuhan Sekolah Pengajaran atau Teaching School.
Pensyarah IPGMK Sarawak menggunakan peluang ini untuk berkongsi amalan pedagogi terbaik, iaitu pengalaman dan kemahiran dengan guru-guru sekolah dan mengaplikasikan serta menguji segala teori/inovasi pengajaran dan pembelajaran terkini.
"Guru juga berkongsi pengalaman sebenar mereka sebagai pendidik yang bertugas di pedalaman manakala murid pula berpeluang merasai suasana pembelajaran yang berbeza daripada sekolah mereka," ujarnya.
Majlis penutupan telah dirasmikan Pegawai Pendidikan Daerah Baram Matthew Laing Ngau.