Pendidikan yang berkesan mestilah mempunyai hala tuju yang jelas dan bagaimana pelaksanaan dapat dioperasikan. FPK memberikan panduan bagaimana pendidikan negara mesti beroperasi mengikut bentuk dan proses-proses yang ditentukan ke arah matlamat yang hendak dicapai. Matlamat yang dihasratkan hanya boleh dicapai apabila kurikulum yang dibangunkan bersifat sempurna dan kebolehcapaian yang tinggi.
Kurikulum kebangsaan merangkumi pendidikan pada semua peringkat iaitu prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, lepas sekolah menengah dan pendidikan khas. Kurikulum bersifat dinamik dan fleksibel untuk disesuaikan dengan keadaan semasa yang sentiasa berubah. KSSR merupakan kurikulum terkini bagi menggantikan KBSR yang diharapkan dapat meningkatkan standard pencapaian murid yang mencakupi 4M (Menulis, Membaca, Mengira dan Menaakul).
Manakala KSSM yang menggantikan KBSM merupakan kurikulum yang dihasratkan dapat mengembangkan lagi potensi murid dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani secara menyeluruh dan bersepadu ke arah melahirkan individu yang seimbang dan berupaya memberi sumbangan kepada kesejahteraan dan keharmonian keluarga, masyarakat dan negara. Pelaksanaan KSSM mampu meningkatkan kualiti pendidikan peringkat menengah agar menjadi lebih rasional dan relevan dengan cabaran abad ke-21.