Adalah menjadi dasar, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk memastikan semua pekerja dan pelanggan berada di dalam persekitaran kerja yang sihat dan selamat.
Bagi mencapai matlamat dasar ini, pihak pengurusan dan pekerja akan bersama-sama berusaha melalui rundingan dan kerjasama berterusan untuk:
Memastikan kesihatan dan keselamatan pekerja diberi keutamaan yang seimbang dengan pencapaian dan produktiviti organisasi
Menyediakan dan menyelenggara suatu tempat kerja yang sihat, selesa dan selamat dengan mengambil kira kehendak undang-undang mengenai keselamatan dan kesihatan seperti yang ditetapkan dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, peraturan-peraturan dan tata amalan yang diluluskan
Menyediakan sistem pengurusan keselamatan, kesihatan dan persekitaran bagi memastikan aktiviti di HRPZ II dalam persekitaran yang sihat dan selamat dari bahaya kebakaran, bencana dan ancaman Keselamatan
Menggalakkan penyertaan anggota dalam aktiviti keselamatan dan kesihatan melalui Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
Menekankan usaha berterusan untuk mencegah pendedahan kepada hazard dan mengurangkan risiko kesihatan dan keselamatan di tempat kerja
Mewujudkan persekitaran yang bersih, kondusif serta bebas dari penyakit berjangkit vektor dan makhluk perosak
Memastikan pelupusan sisa buangan berjadual mematuhi peraturan Jabatan Alam Sekitar
Memastikan aktiviti saringan dan pencegahan penyakit tidak berjangkit dilaksanakan dalam kalangan anggota- anggota HRPZ II
Mengutamakan dan menambah baik aspek kesihatan dan keselamatan dalam perancangan dan penilaian semua projek, operasi dan pembelian
Memastikan semua pekerja diberi maklumat, arahan, latihan dan penyeliaan berkenaan cara menjalankan tugas mereka dengan selamat dan tanpa risiko kepada kesihatan
Melaporkan, menyiasat dan melaksanakan tindakan penambahbaikan kepada setiap kejadian berbahaya dan kemalangan yang boleh menyebabkan kecederaan, keracunan atau penyakit-penyakit pekerjaan
Menyediakan kemudahan-kemudahan kebajikan asas bagi semua pekerja termasuk peralatan pencegahan dan keselamatan diri
Memastikan semua kontraktor yang menjalankan kerja sentiasa mematuhi peraturan kesihatan dan keselamatan yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan fasiliti, peralatan, pekerja, orang awam, dan persekitaran secara menyeluruh
Mengkaji semula dasar keselamatan, kesihatan dan persekitaran ini dari semasa ke semasa