Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (UKKP), HRPZ II telah ditubuhkan pada 14 Ogos 2022 sejajar dengan surat pekeliling Arahan Pewujudan Unit Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Hospital Di Kementerian Kesihatan Malaysia daripada Pejabat Timbalan Pengarah Kesihatan KKM600-37/1/3(2) bertarikh 11 Julai 2016. UKKP bertugas dan bertindak seperti yang digariskan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
UKKP diwujudkan bagi memastikan persekitaran kerja yang selamat, sihat serta lebih kondusif demi keselamatan dan kesihatan pekerja selari dengan pematuhan kehendak Perundangan Bahagian IV Seksyen 15 AKKP 1994 Malaysia. Unit ini juga berfungsi untuk meminimalkan hazard kesihatan untuk mencegah penyakit/ kecederaan yang disebabkan oleh pekerjaan.
Anggota UKKP terdiri daripada perjawatan pelbagai kategori termasuk Pegawai Perubatan, Penolong Pegawai Perubatan, Jururawat Terlatih dan Jururawat Masyarakat bagi mengisi 3 sub-unit iaitu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, Klinik Warga dan Klinik VIVA (Klinik Vaksin dan Intravena Antibiotik).
Polisi Keselamatan dan Kesihatan Persekitaran diwujudkan sebagai komitmen pengurusan HRPZ II untuk menyediakan persekitaran kerja yang selamat, sihat dan menjaga kebajikan pekerja dan pelanggan sesuai dengan pematuhan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514).
Polisi ini menetapkan prinsip dan prosedur untuk memastikan keselamatan, kesihatan, dan perlindungan persekitaran dalam semua aktiviti dan operasi di HRPZ II termasuk:
I. Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan
II. Keselamatan Kebakaran dan Bencana
III. Kawalan Keselamatan Hospital
IV. Keselamatan dan Perlindungan Sinaran
V. Kawalan Vektor dan Serangga Perosak
VI. Pengurusan Bahan Kimia dan Sisa
Mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan sihat dengan mengutamakan amalan terbaik dalam keselamatan dan penjagaan kesihatan.
Mewujudkan dan melaksanakan prosedur keselamatan yang proaktif untuk mengenal pasti dan mengurangkan risiko, bagi mencegah kemalangan dan kecederaan di tempat kerja
Memberikan latihan berkala kepada semua pekerja mengenai amalan terbaik dalam keselamatan dan kesihatan, agar mereka dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan
Menggalakkan budaya keselamatan melalui kempen promosi dan kesedaran yang berterusan, untuk meningkatkan pemahaman tentang pentingnya keselamatan dan kesihatan di kalangan semua pekerja
Polisi ini terpakai kepada semua pekerja dan pelanggan yang berada di kawasan HRPZ II
Objektif Umum
Untuk mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan sihat bagi semua pekerja dan pelanggan dengan mengutamakan pencegahan risiko, latihan berkala, dan promosi budaya keselamatan dan kesihatan.
Objektif Khusus
I. Mengenal pasti dan menilai risiko di tempat kerja untuk memastikan prosedur keselamatan yang efektif dilaksanakan
II. Mengadakan sesi latihan keselamatan dan kesihatan secara berkala setiap tahun untuk memastikan semua pekerja dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran terkini
III. Melaksanakan kempen kesedaran keselamatan yang berterusan untuk meningkatkan pemahaman dan penglibatan semua pekerja dalam amalan keselamatan di tempat kerja