15 Mei 2019 -
KESUMAS seperti semua warga UNIMAS sedia maklum, merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Exco Sukan dan Rekreasi Majlis Perwakilan Pelajar UNIMAS yang juga menyandang jawatan sebagai pengarah program tersebut. Pada tahun ini, 2320 atlit daripada 10 fakulti UNIMAS bakal bertanding dan 696 pingat bakal menjadi rebutan.
Majlis Perasmian Kejohanan Sukan Mahasiswa UNIMAS (KESUMAS) edisi ke-13 telah mendapat sambutan yang diluar jangkaan dengan kehadiran wakil-wakil mahasiswa mahasiswi dari 10 fakulti di UNIMAS – Fakulti Ekonomi dan Perniagaan (FEP), Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK), Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia (FSKPM), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK), Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), Fakulti Sains dan Teknologi Sumber (FSTS), Fakulti Kejuruteraan (FK), Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) & Fakulti Alam Bina (FAB).
KESUMAS edisi ke-13 ini merupakan acara yang sentiasa dinanti-nantikan pada setiap tahun dan kali ini dimeriahkan lagi dengan penambahan acara yang diadakan buat julung kalinya iaitu Anugerah Citra sempena KESUMAS 2019. Anugerah tersebut melibatkan kesemua fakulti-fakulti di UNIMAS dan tujuan acara tersebut dianjurkan adalah untuk meraikan fakulti-fakulti yang menzahirkan, menghiaskan dan menonjolkan fakulti mereka sempena KESUMAS berlangsung. Anugerah Citra berikut dinobatkan kepada fakulti terbaik yang memenuhi semua kriteria yang dinilai.
Juga buat pertama kali dalam sejarah KESUMAS, piala pusingan Prof. Datu Mohd Fadzil Abd Rahman telah diwujudkan dan dinamakan sempena timbalan Naib Canselor UNIMAS bakal dinobatkan kepada juara bertuah yang mewakili fakulti untuk keseluruhan johan.
Pihak Siswara telah berpeluang untuk menemu ramah pengarah program KESUMAS 2019, Amirul Azizi bin Kamarul Bahrin tentang harapan beliau untuk KESUMAS kali ini, “Harapan saya terhadap semua program yang akan datang ialah agar (program-program) dapat dilaksanakan dengan ikhlas dan lancar kerana seperti yang kita sedia maklum, kita akan menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan yang tidak dapat kita jangka, jadi bersedialah dari segi mental dan fizikal.”
Beliau juga sempat menyelitkan pesanan kasih sayang untuk atlit-atlit UNIMAS, “Selamat maju jaya – berjuanglah, bertandinglah secara sihat.”