Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam Unimasku Sayang. Pertama sekali, terima kasih saya ucapkan kepada pihak E-magazine kerana sudi memuatkan sedikit pandangan peribadi saya yang kerdil ini ke dalam majalah digital ini. Saya difahamkan bahawa wadah ini menerima penjenamaan semula dengan harapan nafas baharu ini mampu untuk meningkatkan kredibiliti serta imej majalah ini. Usaha sebegini sememangnya wajar disokong dan diberi pujian kerana inilah salah satu inspirasi pelajar yang diharapkan oleh Kementerian Pendidikan.
Wadah yang mengetengahkan karya mahasiswa yang terdiri dari pelbagai aspek kesenian seperti sastera dan sebagainya ini amat bertepatan dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) yang menggariskan 10 lonjakan utama. Majalah ini dilihat dapat menyumbang ke arah lonjakan kedua iaitu mahasiswa yang holistik yang bukan sahaja terhad kebolehannya dalam bidang akademik sahaja namun mampu menyerlahkan kemahiran serta kecerdasan dari sudut yang lain.
Selain itu, seiring dengan kemajuan teknologi maklumat dan perkembangan penguasaan ilmu kognitif dalam kalangan para mahasiswa di Malaysia, pendekatan majalah melalui medium digital merupakan suatu langkah yang bijak. Kaedah yang boleh dianggap segar ini mampu menarik minat serta meningkatkan darjah ketersampaiaan maklumat kepada mahasiswa UNIMAS.
Akhir sekali, saya berharap dan mendoakan agar segala usaha ke arah perangkaan, perancangan, penjenamaan dan pelaksanaan majalah ini membuahkan hasil yang manis nan ranum seperti mana yang diimpikan oleh penerbit dan sidang editor. Saya juga turut menyeru agar usaha ini disambut baik oleh semua terutama mahasiswa UNIMAS bagi memastikan objektif utamanya tercapai.
Sekian, terima kasih.
Muhammad Izzat bin Zulkifli
Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar
Universiti Malaysia Sarawak