Berharap dan Manisnya Ujian oleh Nawwar
Tawar oleh Delima T.
Hanya tahu mengarah, tapi gak bisa dikerah
Apakah ertinya seorang ketua?
Jika tidak dapat menyelami lain-lain jiwa?
Tidak kesemuanya sama.
Kau adalah kau, aku ialah aku.
Setiap kejadian itu Allah ciptakan unik -- walaupun spesis yang sama tapi jiwa berbeza.
Tak usah anggap semua seperti kamu,
jika menanam padi sekalipun kamu tidak tahu.
Dunia ini sudah terlalu uzur dan tenat,
sehinggakan setitis kebaikan entengnya dilihat.
Adakah terlalu baik itu suatu keburukan?
Ataupun manusia semakin dikaburi kejahatan...?
SIAPA oleh Haree.
Siapakah kita?
Ia menjadi satu soalan.
Apakah jawapan yang kita cari? Yang kita mahu?
Persoalan itu terngiang-ngiang dalam fikiran manusia.
Apa benarkah kita manusia? Atau kita hanyalah syaitan yang bertopengkan manusia?
Di Antara Cermin oleh Miqah
Dia yang ingin aku tujui,
Sangatlah sukar dikejar,
Makinku mendekati,
Makin dia menjauhi,
Tiap kali aku bangun dari selimut pagi,
Akan aku perhatikannya dalam sepi,
Di balik kaca yang menjadi pengantara diri,
Antara dia di sana dan diriku di sini,
Sinar matanya aku renung ke dalam,
Jauh ke dalam bebola hitam,
Terdapat seribu satu rasa yang mencengkam,
Penatkah dia? Lesukah dia?
Ah! Sungguh aku resah,
Rungsing tidak berbelah,
Memikirkan bagaimana kaki ini akan melangkah,
Di dunia penuh dengan anasir yang menerjah,
Jika tiadanya dia untuk aku berpaut,
Sehingga tibanya sakaratulmaut
Dia yang aku cari,
Bukannya sebarangan lelaki ajnabi,
Dia hidup di sebalik cermin,
Membisikkan jiwa seorang pemimpin,
Memantulkan sifat seorang daie,
Dialah versi yang ingin aku jadi,
Yang tahu erti menghargai diri,
Yang mengalirkan cinta pada yang hakiki,
Moga kembali marak semangat di hati,
Hidupkan iman yang kian lama pergi,
Untuk meneruskan perjalanan di muka bumi,
Dalam mengejar cinta Ilahi.
Permintaan oleh Bayu
Pintaku pada yang bergelar sahabat,
Andai tiada bayangku di Jannahtul Firdaus,
Titipkan namaku pada Yang Esa,
Rayulah belasNya untukku yang hina,
Kerana tatkala engkau di pintu syurga,
Aku mungkin tidak ke sana,
Berterusan hanyut dalam azab dosa,
Dimamah api yang menjilat muka,
Kerana diri sendiri punya angkara,
Akibat maksiat di dunia yang sementara.