Projek Lebuhraya Pan Borneo, Empangan Hidroelektrik Bakun dan Forest City menunjukkan perbezaan ketara dari segi kecekapan kewangan, kesan alam sekitar dan impak antara generasi. Dari aspek kewangan, Lebuhraya Pan Borneo merupakan projek yang paling cekap dalam mengawal kewangan kerana pembiayaannya yang stabil melalui gabungan kerajaan dan sektor swasta, walaupun terdapat beberapa isu kecil dalam pelaksanaan. Sebaliknya, Empangan Bakun banyak bergantung kepada pinjaman dan bon, yang menyebabkan kelewatan bayaran balik hutang jangka panjang serta kos elektrik yang mahal. Manakala bagi projek Forest City, kawalan kewangan yang tidak cekap berlaku akibat menghadapi kadar penghunian rendah, strategi pasaran yang tidak sejajar dan cabaran dalam aspek pengawalseliaan seperti sekatan pemilikan harta asing. Dari sudut alam sekitar pula, ketiga-tiga projek ini memberikan kesan negatif seperti kehilangan habitat, hakisan tanah dan pemusnahan ekosistem. Projek Empangan Hidroelektrik Bakun memberi impak terbesar terhadap biodiversiti dan perubahan iklim, manakala Forest City menyumbang kepada kerosakan ekosistem marin serta peningkatan risiko hakisan dan banjir. Kesemua projek ini menyumbang kepada pertumbuhan sosioekonomi serta promosi budaya dan warisan. Namun begitu, cabaran besar tetap wujud untuk memastikan ekologi, ekonomi dan identiti budaya tempatan dipelihara bagi manfaat generasi akan datang. Projek Lebuhraya Pan Borneo memberi fokus kepada pembangunan luar bandar, Empangan Hidroelektrik Bakun tertumpu kepada teknologi hijau dan keseimbangan pembangunan lestari, manakala Forest City lebih kepada pembangunan ekonomi moden dan integrasi global. Oleh itu, semua projek ini memerlukan strategi yang mampan agar pembangunan dapat berjalan selari dengan pemeliharaan warisan budaya dan alam sekitar untuk generasi masa depan.
Kesimpulannya, Projek Pan Borneo merupakan projek yang paling efektif kerana peranannya dalam merangsang pembangunan ekonomi, memperbaiki kualiti hidup rakyat, dan memberikan impak positif yang berterusan kepada negara. Pembinaan lebuh raya ini memudahkan perhubungan antara kawasan bandar dan luar bandar, sekali gus membuka peluang kepada aktiviti perdagangan, pelancongan, serta menarik pelaburan domestik dan asing. Dengan jaringan pengangkutan yang lebih baik, kawasan pedalaman yang selama ini terpinggir dapat dihubungkan dengan pusat-pusat ekonomi utama, memberi manfaat langsung kepada masyarakat setempat dalam jangka masa panjang. Di samping itu, projek ini juga menyediakan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor, seperti pembinaan, pengangkutan, dan perkhidmatan sokongan, sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup penduduk dan mengurangkan kadar pengangguran.
Berbanding dengan Projek Hidro Bakun, walaupun menyumbang kepada sumber tenaga elektrik yang besar, ia menimbulkan pelbagai isu seperti pemindahan paksa komuniti tempatan, kehilangan tanah adat, dan kesan negatif terhadap kehidupan sosial penduduk. Pulangan ekonominya juga dilihat tidak seimbang dengan pengorbanan yang terpaksa ditanggung oleh masyarakat terlibat. Sementara itu, Projek Forest City pula lebih tertumpu kepada pembangunan hartanah mewah yang mensasarkan pelaburan asing, dan ini menimbulkan isu ketidaksamaan sosial apabila manfaat projek tersebut tidak dapat dinikmati secara menyeluruh oleh penduduk tempatan. Selain itu, kesan terhadap alam sekitar, khususnya kemusnahan ekosistem marin dan paya bakau, memburukkan lagi persepsi terhadap projek ini.
Sebaliknya, Projek Pan Borneo menawarkan keseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kepentingan rakyat. Manfaatnya dapat dirasai oleh pelbagai lapisan masyarakat, termasuk generasi akan datang, melalui peningkatan akses kepada pendidikan, kesihatan, dan peluang ekonomi yang lebih meluas. Walaupun projek ini melibatkan kos yang tinggi dan membawa cabaran kepada alam sekitar, ia tetap lebih berdaya maju kerana pulangannya yang berterusan dan sumbangan besarnya terhadap integrasi wilayah, perpaduan nasional, dan pembangunan mampan negara. Dengan pembangunan infrastruktur ini, asas kukuh untuk pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat dapat dicapai, menjadikan Projek Pan Borneo sebagai projek paling efektif dan signifikan dalam memenuhi keperluan negara dan rakyat pada masa kini dan masa hadapan.