SEPINTAS LALU

Pusat Latihan Awam Selangor (PLAS) adalah pejenamaan semula Institut Latihan Pihak Berkuasa Tempatan Selangor (ILPBT) sejak 1 Oktober 2011ini.Sejak penubuhan 1 Jun 2006. PLAS berperanan menyediakan latihan yang berkualiti berdasarkan penyampaian ilmu mengikut kaedah terkini, meningkatkan kompetensi melalui mempelbagaikan kemahiran dan keupayaan yang tinggi dalam menjalankan tugas, berpegang teguh kepada etika perkhidmatan serta mengamalkan sikap positif terhadap tugas melalui pendekatan latihan yang komprehensif, dilaksanakan secara terancang, berterusan dan saksama.


Pada awal penubuhan, PLAS memberi fokus kepada program latihan untuk kumpulan pegawai peringkat Pengurusan dan Profesional di 12 PBT Selangor. Pegawai ini secara bergilir diwajibkan hadir kursus 3 bulan dengan modul yang terhasil dari perbincangan bengkel yang dihadiri oleh 35 orang wakil daripada pelbagai jabatan diperingkat Persekutuan dan Negeri pada tahun 2006. Graduan PLAS yang hadir kursus tiga bulan ini dinilai berdasarkan piawaian Purata Nilai Keseluruhan (CGPA) dan dikurniakan Sijil Pasca Ijazah Pengurusan Pihak Berkuasa Tempatan.


Selain daripada kursus utama di atas, PLAS menganjurkan kursus untuk lain-lain anggota perkhidmatan seperti Ahli-Ahli Majlis dan Penghulu-Penghulu yang dilantik oleh Kerajaan Negeri Selangor. Mereka akan mengikuti kursus terutamanya bagi mereka yang baru dilantik, kursus lanjutan bagi mereka yang dilantik semula dan kursus yang menjurus kepada keperluan latihan dalam Jawatankuasa-Jawatankuasa di bawah bidang kuasa yang diperuntukan.


Kampus utama PLAS beroperasi di Lot 7, Jalan Pantai Morib, Banting, 42700 Kuala Langat, Selangor. Manakala PLAS kampus PULAPES (Pusat Latihan Penguatkuasa Selangor) pula terletak di Jalan Permatang Pasir, Permatang Pasir, 42700 Banting, Selangor. Kedua-dua kampus yang terletak di persisiran pantai Selat Melaka ini dilengkapi dengan bangunan utama untuk Pejabat Pentadbiran, asrama penginapan untuk peserta kursus, Rumah Tamu untuk penginapan Penceramah, Dewan Besar untuk sesi kuliah, Surau, Dewan Makan, Makmal Siber, Perpustakaan dan Bilik Perbincangan.

Memandangkan bidang pengurusan latihan di peringkat negeri adalah luas, PLAS mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak luar untuk memantapkan program kursus. Kursus secara usahama ini melibatkan pihak seperti Cawangan Latihan dan Kompetensi (CLK), Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM); Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan (SPBT), Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN); Pejabat Tanah Galian Negeri Selangor (PTGS), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor; Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM); Polis Diraja Malaysia (PDRM); Institut Integriti Malaysia (IIM); Institut Tanah Ukur Negara (INSTUN) dan Institusi-institusi Pengajian Tinggi Malaysia.