Islam adalah agama yang mementingkan kebersihan termasuklah kebersihan alam sekitar. Sumber semulajadi di dunia ini adalah hadiah daripada Allah SWT. Oleh itu, kita sebagai manusia yang hidup di muka bumi ini mestilah bersyukur dan menjaga serta tidak menyalahgunakan nikmat ini dengan sewenang-wenangnya. Namun begitu, Islam juga menolak konsep pembangunan yang tempang dimana ianya hanya menekankan aspek fizikal dan material sahaja. Sehubungan dengan itu, pembangunan alam sekitar ini juga haruslah mementingkan soal keselamatan dan kesejahteraan alam sekitar. Oleh yang demikian,pembangunan alam sekitar ini bertujuan untuk memudahkan dan dapat dimanfaatkan oleh semua manusia walaupun berbeza agama dan bangsa.