PENGENALAN
PENGENALAN
Alam sekitar adalah hak milik mutlak Allah SWT yang dipinjamkan kepada manusia untuk dipelihara daripada berlakunya kerosakan dan pencemaran alam sekitar. Anugerah yang dikurniakan oleh Allah SWT ini diciptakan supaya umatnya boleh menikmati kesenangan dunia. Pada zaman globalisasi ini, aktiviti pembangunan yang kian pesat seperti pepatah "bagai cendawan tumbuh selepas hujan" yang sering dikaitkan dengan kemusnahan alam sekitar sehingga kelestarian alam sekitar terkorban. Maka terwujudlah pembangunan ekonomi yang tidak mampan.
Antara isu yang boleh dibangkitkan berkaitan dengan alam sekitar ialah pencemaran alam sekitar. Pencemaran alam sekitar berpunca daripada manusia yang mementingkan diri sendiri dan tidak menggunakan nikmat Allah SWT ini dengan cara yang betul. Antara pencemaran alam sekitar ialah pencemaran udara,air,bunyi dan tanah. Pencemaran-pencemaran tersebut boleh menyebabkan kehijauan alam sekitar semakin hilang.
Di samping itu, Islam merupakan agama yang bersifat syumuliyyah yang membawa maksud ajaran kehidupan dunia dan akhirat yang bersifat lengkap dan sempurna. Agama ini sesuai dengan fitrah manusia tanpa mengira warna kulit dan bangsa. Konsep sarwajagat dalam Islam sangat mementingkan penjagaan kebersihan termasuklah kebersihan alam sekitar. Kebersihan alam sekitar yang tercemar bukan sahaja boleh membawa kemudaratan kepada manusia malah haiwan-haiwan,tumbuh-tumbuhan juga turut terjejas.
Di dalam Surah Taha, ayat 53-54, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “(Dialah Tuhan) yang menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan, dan Ia mengadakan bagi kamu padanya jalan-jalan lalu-lalang dan Ia juga menurunkan hujan dari langit. Maka Kami keluarkan dengannya berjenis-jenis tanpaman dan buah-buahan yang berlainan keadaannya. Makanlah kamu daripadanya dan berilah makan binatang-binatang ternak kamu, sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda yang membuktikan kemurahan Allah bagi orang-orang yang berakal fikiran.”
Firman Allah SWT:
“Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya.”
(Surah al-A’raaf, 7:56)