Lukisan merupakan satu seni visual yang dihasilkan menggunakan pelbagai alat lukisan. Individu yang melukis ini dipanggil pelukis, manakala hasilnya dipanggil lukisan. Terdapat dua jenis lukisan yang boleh dihasilkan iaitu lukisan seni dan lukisan kejuruteraan. Lukisan seni merupakan karya yang dihasilkan di atas kertas lukisan atau kanvas dengan pelbagai alat dan pewarna dengan tujuan menunjukkan estetika dan tafsiran subjektif karya seseorang pelukis.
Lukisan kejuruteraan pula merupakan satu lukisan piawai yang dihasilkan bagi menggambarkan dengan tepat sesuatu objek daripada aspek kejuruteraan. Bidang kejuruteraan mekanikal, kejuruteraan awam, kejuruteraan elektrik dan elektronik, seni bina dan sebagainya menggunakan lukisan kejuruteraan sebagai medium komunikasi dan bahasa piawai untuk menyampaikan idea dan maklumat dengan berkesan.
Peluang Pendidikan Dalam Bidang Lukisan Kejuruteraan
Para graduan diterapkan dengan ilmu kejuruteraan dan kemahiran insaniah supaya mempunyai personaliti dan keperibadian yang unggul dan mampu berdikari sebagai seorang jurutera. Struktur program berlandaskan silibus kejuruteraan mekanikal yang merangkumi teras seperti Mekanik, Termobendalir, Bahan, Pembuatan, Kawalan, Mekatronik dan juga Rekabentuk di samping kursus-kursus universiti yang menerapkan kemahiran insaniah seperti kemahiran komunikasi, pengurusan, dan keusahawan. Kemahiran yang diterapkan akan membantu melahirkan jurutera rekabentuk produk yang berkebolehan menangani sebarang masalah dalam pelbagai industri.
Graduan program ini dilatih supaya bersikap profesional dalam menjalankan tugas dengan mempraktikkan proses pembelajaran dan penyelidikan berterusan sama ada secara formal atau tidak formal. Terdapat permintaan yang tinggi untuk jurutera rekabentuk produk yang mempunyai ilmu pengetahuan asas dalam bidang teknologi pembuatan, sifat-sifat bahan, kejuruteraan rekabentuk industri, pengujian, pemilihan dan pemprosesan bahan untuk menjadi produk kegunaan pelanggan seperti dalam industri automotif, aeroangkasa, elektronik dan sebagainya.
Antara peluang kerjaya yang berkaitan :
Perunding Rekabentuk Produk
Jurutera R&D
Jurutera Proses
Jurutera Penyelenggaraan
Jurutera Produk
Jurutera Pengujian
Jurutera Mekanikal
Jurutera Industri
Jurutera Projek