Negeri Sabah terletak di Kepulauan Borneo. Negeri ini sangat kaya dengan kepelbagaian budaya dan tarian. Apabila tiba musim perayaan seperti Pesta Kaamatan yang dirayakan pada bulan Mei setiap tahun, orang ramai dapat menyaksikan pelbagai tarian kebudayaan dipersembahkan untuk memeriahkan suasana perayaan berkenaan. Antara tarian etnik yang dikenali di negeri Sabah ialah tarian Sumazau (Penampang), Kuda Pasu, Limbai, Igal-igal, Daling-daling, Titikas, Magunatip dan Mongigol. Perbezaan antara pelbagai etnik tersebut adalah ketara, terutama sekali dari segi bahasa, agama, adat istiadat dan pegangan hidup, termasuklah pakaian tradisi mereka.
TARIAN SUMAZAU (PENAMPANG)
Tarian Sumazau lazimnya ditarikan semasa pesta menuai atau Tadau Kaamatan pada bulan Mei setiap tahun. Pesta ini bertujuan untuk mengucapkan kesyukuran yang berkaitan dengan kegiatan menanam dan menuai padi, menolak bala, menyemah semangat dan mengubati penyakit. Etnik Kadazan Penampang khususnya dan etnik lain di Sabah umumnya telah mengadaptasikan gerakan asas daripada aksi dalam ritual tersebut untuk dijadikan bahan koreografi khususnya tarian Sumazau (Penampang) yang telah berkembang dan dijadikan tarian keramaian. Dalam konteks perayaan keramaian masyarakat Kadazandusun, tarian yang diiringi muzik berkumpulan yang menggunakan gong merupakan gambaran kegembiraan. Tarian Sumazau (Penampang) daripada etnik Kadazandusun tidak semestinya melibatkan penari lelaki dan wanita menari bersama-sama, tetapi boleh melibatkan tiga atau lebih penari wanita atau lelaki pada satu-satu masa yang sama.