Model Kerangka Kerja 3R
RIGOR (PENEGASAN)
Tugasan RBTS3263 memerlukan pemikiran kritikal, penyelesaian masalah dan ketelitian dalam penyambungan litar serta pematerian. Pelajar perlu memahami fungsi setiap komponen elektronik seperti LDR, relay, transistor dan resistor, serta merekabentuk litar berdasarkan logik kawalan automatik. Pelajar juga diuji dari segi keupayaan menganalisis dan mensimulasikan litar menggunakan TinkerCad sebelum melaksanakannya secara fizikal.
Tugasan RBTS3283 mencabar pelajar dari segi kemahiran teknikal dan pemikiran reka bentuk. Pelajar perlu mempertimbangkan prinsip-prinsip reka bentuk landskap seperti keseimbangan, kesatuan, titik fokus dan irama visual dalam pelan yang dihasilkan. Di samping itu, pelajar juga perlu membuat justifikasi reka bentuk dan anggaran kos, yang memerlukan analisis dan kebolehan membuat keputusan berdasarkan sumber dan keperluan sebenar.
Tugasan RBTS3273 mencabar dari sudut kemahiran teknikal dan ketepatan kerja tangan. Pelajar perlu membuat pengukuran tepat, menyediakan potongan bahan logam yang sesuai, menggunakan teknik kimpalan yang betul, dan memastikan kemasan produk kemas dan selamat digunakan. Semua ini memerlukan daya tumpuan, kemahiran analisis, dan penyelesaian masalah, terutamanya dalam mengatasi isu seperti kimpalan tidak kemas atau struktur tidak seimbang.
Tugasan SCES3292 memerlukan pelajar untuk merancang dan menjalankan eksperimen, pemikiran kritis, serta pematuhan terhadap prosedur saintifik yang tepat. Pelajar didedahkan kepada perancangan eksperimen yang sistematik, penganalisisan data secara mendalam, serta penilaian terhadap keputusan berdasarkan bukti.
RELEVANCE (PERKAITAN)
Tugasan RBTS3263 sangat relevan dengan dunia sebenar kerana ia melibatkan reka bentuk sistem automasi landskap yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan harian seperti pencahayaan taman, kawasan pejabat dan kediaman pintar. Pelajar berpeluang memahami bagaimana sistem automatik membantu dalam penjimatan tenaga dan menyokong konsep kelestarian, selari dengan keperluan industri semasa.
Reka bentuk landskap yang dihasilkan sangat berkait rapat dengan aplikasi dunia sebenar kerana ia melibatkan elemen-elemen penting dalam perancangan ruang luar, seperti pencahayaan automatik, susun atur tempat duduk, dan elemen semula jadi yang berfungsi untuk tujuan estetik dan keselesaan. Tugasan RBTS3283 memberi peluang kepada pelajar untuk menerapkan kemahiran reka bentuk grafik digital, yang amat penting dalam bidang pendidikan teknikal, reka bentuk dan kejuruteraan.
Tugasan SCES3292 menekankan kerelevanan ilmu yang dipelajari dengan situasi sebenar seperti pengurusan keselamatan makmal, penggunaan peralatan saintifik, dan pengendalian bahan kimia, yang amat penting dalam kerjaya sebagai guru sains. Kandungan kursus ini juga dikaitkan dengan keperluan dunia pendidikan dan industri semasa, menjadikan pembelajaran lebih bermakna.
RELATIONSHIP (PERHUBUNGAN)
Melalui tugasan RBTS3283, pelajar berpeluang untuk berinteraksi dengan persekitaran kampus, mengenal pasti sudut yang sesuai untuk pembinaan landskap serta berkomunikasi dengan pensyarah untuk mendapatkan maklum balas reka bentuk. Selain itu, konsep reka bentuk yang dihasilkan bertujuan mewujudkan hubungan yang harmoni antara manusia dan alam sekitar, selaras dengan nilai kelestarian dan pembangunan lestari.
Tugasan RBTS3273 memupuk kerjasama antara pelajar dalam aktiviti berkumpulan seperti proses pengukuran dan pemotongan bahan, proses mengimpal, pemeriksaan kualiti dan kemasan akhir. Di samping itu, hubungan pelajar dengan pensyarah dan penyelia bengkel juga diperkukuh melalui bimbingan teknikal dan penilaian kerja praktikal, menjadikan suasana pembelajaran lebih bermakna dan bersifat dua hala.
Tugasan SCES3292 menggalakkan pembinaan hubungan yang positif antara pelajar, pensyarah, dan melalui aktiviti kolaboratif seperti eksperimen, pembentangan, dan projek mini. Interaksi ini bukan sahaja mengukuhkan kemahiran komunikasi dan kerjasama, malah membentuk sikap profesional dalam persekitaran pembelajaran.