Analisis elemen merupakan aktiviti menilai kekuatan dan kelemahan infrastruktur dan ciri-ciri objek sedia ada. Sebagai contoh, Arkitek Landskap menilai keadaan tumbuh-tumbuhan atau tanaman sedia ada dalam aspek keunikan atau kecacatan yang ada padanya atau menilai kedudukan, kegunaannya serta kerosakan pada struktur binaan.
Analisis persekitaran merupakan aktiviti memerhati dan menilai aspek potensi dan masalah yang didapati di tapak dan kawasan persekitarannya. Dalam konteks ini, Arkitek Landskap menilai potensi tapak dari segi kedudukannya, kemudahan sedia ada, pemandangan menarik termasuklan mengenalpasti masalah tapak seperti pencemaran bunyi, pencemaran bau, kawasan air bertakung, hakisan dan sebagainya.
Analisis Pelanggan dan Pengguna adalah aktiviti menemubual pelanggan dan pengguna bagi mengetahui kehendak mereka sama ada pembangunan landskap yang dibina adalah untuk pelanggan atau pengguna kawasan tersebut. Oleh itu, kehendak mereka perlu diambil kira bagi memenuhi hasrat mereka. Perkara-perkara yang perlu diketahui oleh Arkitek Landskap termasuklah menyesuaikan peruntukan kos untuk pelandskapan, ruang atau tempat khusus yang diperlukan, tanaman khusus yang menjadi kesukaan dan sebagainya. Arkitek Landskap mengkelaskan kehendak-kehendak pelanggan berdasarkan keutamaan dan kesesuaian dengan tapak dan persekitaran.