Proses merekabentuk landskap bermula dengan penerimaan projek atau penyerahan tugasan oleh pelanggan kepada Arkitek Landskap bagi tapak yang hendak dilandskapkan. Dalam konteks ini, tapak merujuk pada suatu kawasan khusus yang dicadangkan untuk dijalankan aktiviti pembangunan landskap yang baharu atau perlandskapan semula rekaan sedia ada. Pelanggan pula merupakan pemilik kawasan tersebut atau terdiri dari individu yang akan menggunakan kawasan tersebut termasuklah orang awam.
Inventori dan analisis tapak adalah langkah awal yang perlu dijalankan dalam proses merancang pembangunan rekabentuk landskap sebaik sahaja tugasan atau projek diterima. Lawatan tapak bertujuan untuk mengenalpasti masalah sedia ada yang wujud di tapak berkenaan. Data masalah tapak yang dikumpul menjelaskan tujuan utama yang mendorong cadangan pembangungan landskap atau keperluan perlandskapan semula kawasan berkenaan. Masalah tapak akan berbeza mengikut kawasan dan fungsinya.
Inventori tapak merupakan langkah mengenalpasti dan menyenaraikan ciri-ciri fizikal tapak serta infrastruktur sedia ada yang wujud di tapak berkenaan. Data-data ini dilukis dan dinyatakan dengan jelas di atas pelan asas tapak. Pelan asas tapak diperolehi daripada pelanggan atau dihasilkam oleh Arkitek Landskap melalui kerja-kerja pengukuran di tapak. Hasil pengukuran sebenar dipindahkan dalam bentuk pelan dengan skala yang sesuai bergantung pada saiz kawasan dan saiz kertas yang digunakan. Setelah pelan asas diperolehi, kerja-kerja inventori seterusnya dilakukan dengan mengkaji ciri-ciri fizikal tapak dan mengenal pasti kedudukan infrastruktur dan objek-objek sedia ada di tapak berkenaan.
Data inventori merangkumi perkara berikut:
Kedudukan tapak, saiz dan sempadan
Topografi dan bentuk muka bumi
Jenis dan keadaan tanah termasuk pH dan kesuburan
Jenis-jenis tumbuhan atau tanaman sedia ada di tapak
Bangunan dan struktur binaan (wakaf, kerusi taman)
Fungsi dan penggunaan tapak dan kawasan sekitar
Keadaan cahaya di tapak
Sistem lalu lintas (jalan masuk dan keluar, siar kaki)
Sistem dan struktur saliran sedia ada
Aktiviti persekitaran