Kursus ini bertujuan melatih pelajar-pelajar untuk menjadi seorang arkitek. Kursus ini memberi penekanan terhadap pemahaman proses asas pembentukan rekabentuk dan perancangan senibina. Rekabentuk yang akan dihasilkan haruslah peka terhadap keperluan fungsi, estetik, teknologi, mesra-alam, serta lestari; melalui proses pengumpulan data, analisa tapak, dan sintesisnya. Penekanan turut diberi kepada keperluan memahami aspek-aspek asas susunatur ruang (luaran dan dalaman), bentuk, juga pelanskapan.Pelajar akan diberi pendedahan awalan kepada kaedah pelaksanaan sesebuah projek pembinaan berskala kecil, namun dihadkan hanya kepada bangunan satu (1) tingkat sahaja. Kursus ini akan membantu kefahaman pelajar tentang kepentingan proses pembentukan sesebuah idea, konsep rekabentuk, pemilihan bahan, penentuan kaedah pembinaan, dan penerapan teknologi ke dalam rekabentuk. Justeru, kursus ini dirangka sedemikian bagi membolehkan pelajar mampu untuk menghasilkan, mempersembah, serta melaporkan sesebuah ciptaan rekabentuk senibina.