URBAN

TARIAN TRADISI KAUM BAJAU: IGAL-IGAL

Jumaat, 27 Mei 2022
Oleh Zulaikha Zufri

Tarian Lemah Gemalai Igal-igal Menarik Perhatian Ramai

(Sumber: Berita DIMENSi/ Zulaikha Zufri)

SEMPORNA – Tarian Igal-igal merupakan salah satu tarian tradisional masyarakat Bajau di Sabah yang sangat popular dalam kalangan masyarakat Bajau terutamanya di pantai timur Sabah iaitu Semporna.

Perkataan "Igal" dikatakan berasal daripada perkataan Bahasa Inggeris eagle yang bermaksud helang dan kerana itulah pergerakan tarian Igal-igal ini dikatakan seperti helang yang sedang terbang.

Pakaian tradisional untuk tarian Igal-igal ini disediakan untuk kaum lelaki dan perempuan yang kebanyakannya berwarna hitam dan manik yang berkilau.

Tarian ini lazimnya dipersembahkan pada majlis-majlis tertentu seperti majlis perkahwinan dan majlis keramaian seperti semasa perayaan Regatta Lepa dan diiringi dengan iringan muzik yang dihasilkan daripada alat-alat tradisional seperti gong, kulintangan dan tambul.

Walaupun terdapat tarian daripada pelbagai kaum yang hampir pupus kerana tiada yang mewarisi, namun begitu, bagi penduduk berketurunan Bajau di Kampung Bugaya, Semporna, Hajah Muhaiyah, 64, adat dan bugaya tarian ini telah sebati dalam keluarganya kerana setiap tahun mereka mengadakan persembahan kepada masyarakat umum.

“Tarian Igal-igal ialah tarian yang diterapkan dalam diri seseorang penari secara generasi oleh keturunan Bajau kerana aslinya tarian ini hanya boleh dilakukan oleh suku kaum bajau sahaja.

“Tarian ini juga mempunyai satu amalan, antaranya ketika mengadakan majlis perkahwinan pemberian wang dikenali sebagai ‘sabod’ kepada penari atau pengantin ketika sedang menari.

“Jumlah yang diberikan berdasarkan kemampuan dan keikhlasan penonton, ia menunjukkan rasa hormat kepada penari yang melayan tetamu,” kata Hajah Muhaiyah menerusi temubual bersama Berita DIMENSi.

Persembahan Igal-igal merupakan hiburan bagi tetamu yang hadir ke majlis perkahwinan selain tarian ini mempunyai acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh seluruh warga Sabah iaitu Regatta Lepa.

Sewaktu pesta ini berlangsung, pelbagai pertandingan diadakan antaranya pertandingan ‘Lepa Tercantik’ atau kapal yang dihias paling cantik dengan menggunakan renda atau payung berwarna warni.

Selain itu terdapat juga pertandingan Tarian Igal-igal atau Ratu Lepa (lepa bermaksud perahu dalam bahasa Bajau) yang merupakan pertandingan tarian suku kaum bajau ketika Regatta Lepa.

Perkara yang menarik juga daripada Tarian Igal-igal ini adalah lagu dan alat muziknya. Tarian ini dibawakan dengan alat muzik tradisional, selain diiringi papan nada dan kebanyakan penari remaja memilih alat muzik moden berbanding tradisional.

Emeraazwa elegan memakai baju tradisional bajau

Sumber: Instagram

Ratu Lepa 2019 Tarian Igal-igal, Emeraazwa Emeraldi, 21, berkongsi bahawa beliau telah mula menyertai pelbagai pertandingan tarian sejak kecil.

“Saya amat menyukai seni tari khususnya tarian tradisional Igal-igal kerana saya merupakan anak Bajau. Ibu saya banyak mengajar saya sewaktu saya kecil lagi sebelum saya mengambil kelas untuk berlatih dengan lebih baik.

“Tarian Igal-igal mempunyai pelbagai jenis namun Igal Limbayan menjadi kegemaran saya kerana ianya halus namun kebiasannya tarian ini hanya ditarikan oleh penari wanita sahaja,” katanya ketika ditemuramah oleh Berita DIMENSi melalui aplikasi Whatsapp.

Menurut Emeraazwa, beliau ingin memperkenalkan lagi budaya masyarakat Bajau agar lebih dikenali sehingga ke peringkat antarabangsa.

Like the article? Share it now!