SPECIAL REPORT

SAMPAH MEMBUKIT, TIDAK SURUT DI TAMAN SRI MUDA

Longgokan sampah di sekitar kawasan Taman Sri Muda

(Sumber: Berita DIMENSi/Irene Matius)

SHAH ALAM - Longgokan sampah di Taman Sri Muda masih membukit disebabkan sikap penduduk setempat, ditambah lagi dengan sisa banjir kilat tempoh hari masih tidak surut.

Atun Rahman, 48, penduduk Taman Sri Muda, akui masih terdapat segelintir masyarakat yang masih membuang sampah di merata tempat.

“Tidak dinafikan masalah kebersihan di sekitar perumahan ini berpunca daripada sikap tidak bertanggungjawab penduduk itu sendiri,” katanya menerusi satu temu bual bersama Berita DIMENSi secara bersemuka di Taman Sri Muda.

Menurut artikel Kosmo, Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor, menyedari masalah itu dan meminta orang ramai mendokumentasikan perilaku orang yang tidak bertanggugjawab dan menghantarnya kepada pihaknya untuk tindakan lanjut.

Sikap mereka yang suka membuang sampah sesuka hati menyebabkan longkang dipenuhi sampah sarap secara tidak langsung mendatangkan bau tidak menyenangkan.

Berdasarkan Astro Awani, Pengurus Besar Perkhidmatan Korporat KDEB Waste Management Sdn Bhd (KDEBWM), Ahmad Rizal, berkenaan sisa sampah banjir, beliau meminta penduduk bersabar dan memberi kerjasama untuk melancarkan operasi pungutan sampah.

Dia akan memastikan setiap kawasan dibersihkan sepenuhnya kerana masalah tersebut memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak.

Pegawai Kanan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Haslina Aziz, 39, berkata, lebih kurang dua ribu tan sampah di Taman Sri Muda telah dikutip dan mengambil masa dua minggu untuk dibersihkan.

“Banjir kilat ini berlaku kerana longkang tersumbat serta sikap masyarakat dan peniaga yang suka membuang sampah ke dalam longkang,” katanya ketika ditemu bual Berita DIMENSi melalui maklum balas e-mel.

Sampah yang dikutip oleh pihak MBSA ini akan dibawa ke pusat pelupusan sampah iaitu stesen pemindahan sisa pepejal sementara di Shah Alam.

Papan tanda amaran untuk tidak membuang sampah di kawasan tersebut.

(Sumber: Berita DIMENSi/Zulaikha Zufri)

Selain itu, pihak MBSA menyediakan papan tanda sebagai amaran untuk tidak membuang sampah di merata tempat dan tong sampah di kawasan tersebut bagi memudahkan pembuangan sampah dan mengenakan kompaun kepada pesalah.

“Masih terdapat masyarakat yang tidak bertanggungjawab membuang sampah di merata tempat, namun ada segelintir masyarakat bijak mengasingkan sisa pepejal mengikut kategori yang disediakan,” tambah Haslina.

Menurutnya, aktiviti pengutipan sampah dilakukan sebanyak lima kali seminggu oleh pihak MBSA.

Haslina berharap masyarakat dapat memupuk sikap bertanggungjawab dalam diri untuk menjaga alam sekitar serta tidak mencemarkannya agar kawasan tersebut berada dalam keadaan bersih dan baik.

Sampah sarap di sekitar kawasan perniagaan Taman Sri Muda.

(Sumber: Berita DIMENSi/Ellisia Tingass)

Inisiatif Pembersihan Pasca Banjir

Menurut artikel Utusan, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican telah memperutukkan sejumlah wang kepada Taman Sri Muda, Seksyen 25 bagi pengurusan sampah pasca banjir yang melanda kawasan tersebut.

Peruntukan akan digunakan untuk membaik pulih kemudahan awam serta barangan yang telah rosak akibat banjir kilat.

Segelintir penduduk setempat terpaksa membuang sampah sendiri di tempat lain untuk mengelakkan daripada dikenakan caj bayaran.

Dalam satu artikel Sinar Harian, hujan lebat yang berterusan serta longgokan sampah yang dibuang di merata tempat telah menyekat laluan saliran air menyebabkan berlakunya banjir di sekitar kawasan Taman Sri Muda, Seksyen 25.

Air takungan bergerak dengan perlahan akibat dipenuhi sampah sarap yang dibuang di tempat tidak sepatutnya serta sistem perparitan di Taman Sri Muda yang sudah berusia 30 tahun turut menjadi punca kepada banjir kilat yang berlaku.

Mansor Saad, 40, seorang peniaga berkata sampah sarap di sekitar kawasan Taman Sri Muda masih dapat dikawal kerana pihak MBSA melakukan kerja pembersihan dengan mengutip sampah setiap hari.

Peniaga yang berada di kawasan tersebut akan membayar wang kepada MBSA untuk mengutip sampah.

“Bagi peniaga di kawasan ini, kami perlu mematuhi peraturan untuk mengumpul sampah di satu tempat bagi memudahkan pihak MBSA mengutipnya pada keesokan pagi,” katanya.

Sebagai seorang peniaga, Mansor akan memastikan setiap tong sampah yang terdapat di kedainya diletakkan beg plastik bagi menjaga kebersihan alam sekitar.

Walaupun penyediaan tong sampah dapat mengelakkan berlakunya pembuangan sampah di merata tempat, namun sikap masyarakat masih tidak berubah.

Dia juga berpendapat, sampah yang dibuang secara merata adalah datang dari sikap individu itu sendiri sama ada ingin menjaga kebersihan ataupun tidak.

Individu yang mempunyai pemikiran wajar akan mengikut peraturan untuk membuang sampah di tempat sepatutnya.

Namun, kebersihan kawasan perniagaan masih perlu dititikberatkan bagi menjaga alam sekitar.

Tong sampah yang disediakan di setiap kawasan.

(Sumber: Berita DIMENSi/Pretty Abbyana)

Langkah untuk menangani kes ini adalah dengan menyediakan bilangan tong sampah yang mencukupi di sekitar kawasan Taman Sri Muda untuk mengelakkan limpahan sampah.

Tong sampah yang mencukupi akan memudahkan kutipan sampah oleh pihak bertanggungjawab apabila menjalankan pengutipan sampah di kawasan tersebut.

Sampah yang diasingkan mengikut kategori juga dapat memudahkan pemprosesan industri sekaligus mengekalkan kebersihan dan pelupusan sampah tersebut.

Pihak yang bertanggungjawab seperti MBSA boleh melantik kontraktor untuk mengutip sampah dari rumah ke rumah turut membantu menangani isu pembuangan sampah di merata tempat.


Kurangkan Sisa Plastik, Lupus melalui Mesin Insinerator

Pengurangan penggunaan sisa plastik dalam pembungkusan makanan dan penggunaan minyak petroleum dapat menyumbang kepada penurunan peratusan sampah.

Oleh itu, disarankan sisa plastik yang digunakan diganti dengan penggunaan kertas.

Bukan itu sahaja, kaedah pelupusan plastik melalui mesin insinerator dapat menghapuskan sampah sarap menjadi abu dan selamat untuk digunakan dalam menguruskan sisa pepejal.

Memetik artikel dari Berita Harian, penggunaan teknologi baharu seperti mesin insinerator ini di beberapa tempat seperti Cameron Highlands berpotensi sebagai revolusi kaedah pelupusan sampah di negara ini.

Penguatkuasaan undang-undang yang ketat juga perlu dilakukan bagi mencegah masalah pembuangan sampah dari berterusan dan menjadi lebih teruk.

Dengan adanya undang-undang ketat dan sikap individu yang prihatin, masyarakat boleh mengelakkan diri dari dijangkiti masalah kesihatan seperti penyakit kulit, gangguan pernafasan, sakit kepala serta pencemaran bau, air, dan udara di kawasan sekitar.

Dalam laporan Utusan, kerajaan komited untuk meneruskan rangka pemulihan jangka panjang bagi meningkatkan pembinaan sistem perparitan dan saliran di kawasan tersebut.

Kelewatan dalam proses kutipan sampah yang berpunca daripada pihak bertanggungjawab akan menyumbang kepada peningkatan sampah serta menimbulkan bau busuk dan kehadiran haiwan perosak seperti tikus di kawasan tersebut.

Masalah ini juga mampu mendatangkan wabak penyakit kepada masyarakat seperti demam denggi, taun, malaria dan menyebabkan keracunan makanan yang berpunca daripada lalat yang menghinggap sampah tersebut.

Bagi pihak MBSA, kesan pembuangan sampah yang berlebihan memerlukan kos penyelenggaraan yang lebih tinggi.

Buktinya, menurut artikel Sinar Harian, sebanyak RM 142.4 juta diperlukan untuk projek pembaikan secepat mungkin dalam kategori darurat.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!