UTOPIA

CALISTHENICS: MANFAAT KESIHATAN TANPA BEBAN KEWANGAN

Rabu, 11 Mei 2022
Oleh Amira Hedzer

SHAH ALAM - Calisthenics merupakan sukan yang memerlukan atlet menggabungkan gimnastik berirama bersama gerakan senaman ringkas. Sukan ini sangat mencabar dari segi fleksibilti, ketepatan, kawalan, kekuatan dan koreografi tubuh badan pemainnya.

Menurut Berita Harian, berpusing pada palang dan melayangkan diri ke udara adalah antara aksi ekstrem yang sering dilakukan oleh peminat tegar sukan calisthenics ini.

Memetik laporan daripada orangkata.my, aktiviti yang didominasi oleh golongan muda ini membawa banyak faedah dengan menggabungkan elemen olahraga dan senaman yang melibatkan penggunaan berat badan.

Tambahnya, dari segi persekitaran, sukan ini boleh dilakukan di mana-mana sahaja seperti di tempat terbuka atau di taman permainan yang selamat dengan hanya menggunakan palang.

Muhammad Shahrain Abdul Ghani, 29, jurulatih kecergasan, berkata dia telah mula bergiat dalam sukan ini sejak tahun 2012 dan telah mengamalkannya selama hampir 10 tahun.

Dia mula tertarik untuk menggiatkan diri dalam calisthenics kerana sukan ini merupakan aktiviti lasak dan mampu untuk membina bentuk badan yang sihat dan tegap.

Sukan calisthenic ini juga tidak memerlukan peralatan khas atau fasiliti gim untuk melakukannya.

Menurutnya, ia hanya memerlukan rutin asas seperti tekan tubi, pull-up dan lain-lain.

Aksi unik dan lasak yang diterampilkan oleh atlet calisthenics ini memerlukan tubuh badan yang fleksibel dan kuat untuk mengelakkan kecederaan.

(Sumber: Berita DIMENSi/Amira Hedzer)

Katanya, pertama kali dia menceburi sukan ini adalah di taman permainan yang terletak di Danga Bay, Johor Bahru.

Setelah sekian lama bergiat dalam sukan ini, dia dapat melihat perubahan yang ketara seperti badan berasa lebih sihat dan cergas.

“Saya rasa badan saya lebih cergas dan lebih aktif serta tampak lebih muda,” katanya ketika ditemu bual oleh Berita Dimensi menerusi aplikasi WhatsApp.

Tambahnya, dia dapat melibatkan diri secara langsung dalam pelbagai pertandingan di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia.

“Pencapaian terbaik saya adalah apabila berjaya mendapat tempat pertama di dalam pertandingan calisthenics di Johor pada tahun 2014 dan saya juga pernah menjadi juri di Brunei dan di Indonesia pada tahun 2015,” katanya.

Atlet sedang melakukan handstand menggunakan parallette bar.

(Sumber: Berita DIMENSi/Amira Hedzer)

Seorang pekerja kilang, Muhammad Shahme Iduan Azri, 20, `berkata dia mula menceburi sukan ini sejak di bangku sekolah lagi dan telah mengamalkannya selama hampir tujuh tahun sehingga kini.

Shahme mula mengenali sukan ini apabila dia pulang dari sekolah dan melihat aksi rakan-rakannya yang aktif di dalam calisthenics lantas merasa kagum dengan persembahan mereka.

“Sukan ini memerlukan latihan yang banyak dan saya menambahkan pengetahuan dengan melihat video di YouTube untuk meningkatkan lagi kemahiran saya,” tambahnya lagi melalui temu bual bersama Berita Dimensi menerusi WhatsApp.

Peralatan yang diperlukan untuk menceburi sukan ini mudah didapati dan tidak menggunakan wang belanja yang banyak.

“Peralatan serta persekitaran yang diutamakan adalah palang bar, permukaan rata, tempat yang lapang dan juga chalk iaitu serbuk tepung yang digunakan oleh para gimnastik,” kata Shahme.

Fungsi serbuk itu adalah untuk meringankan tangan dan menyerap peluh supaya cengkaman pada palang tidak licin dan lebih kuat.

Selain itu, dia juga pernah melibatkan diri di dalam pertandingan yang dianjurkan oleh sebuah syarikat perniagaan terkenal di Malaysia iaitu Hausboom.

Semangat serta kecekalannya dalam sukan ini membuahkan hasil apabila dia menjadi peserta pertama yang berjaya melakukan tekan tubi sebanyak 158 kali daripada 30 peserta di dalam pertandingan tersebut.

Menurutnya, kehebatan sukan calisthenics jelas terbukti melalui pencapaian dan kelincahan gerak tubuh para pemainnya yang memerlukan kekuatan fizikal dan mental yang tinggi selain menggalakkan aktiviti kesihatan tanpa beban kewangan.

Seharusnya sukan ini diberikan pendedahan yang lebih aktif bagi melahirkan lebih ramai atlet di peringkat antarabangsa selain mempromosikan amalan gaya hidup sihat kepada masyarakat Malaysia sekaligus membina sebuah negara yang unggul dan ideal di mata dunia.


Like the article? Share it now!