URBAN

MAKANAN EKSOTIK LANGKAWI: BRONOK

Isnin, 13 Jun 2022
Oleh Amin Azam

LANGKAWI - Bronok atau nama saintifiknya acaudina molpadioides merupakan sejenis hidupan laut yang bentuk fizikalnya seakan-akan gamat dan hanya boleh dijumpai di kawasan pantai berselut di Langkawi.

Oleh itu, bronok yang teksturnya seperti sotong ini dijadikan sebagai makanan eksotik oleh mereka yang tinggal di Langkawi.

Bronok yang terdapat di Pantai Pasir Berdengung.

(Sumber: Kosmo)

Oleh itu, bronok hanya boleh dimakan jika dibuat kerabu, namun ada yang memakannya secara mentah atau dicecah dengan sambal belacan dan dimakan bersama nasi panas.

Teeyah Deesakun, 48, berkata dia tidak menggemari makanan eksotik itu pada mulanya namun setelah dijamu oleh kakaknya dan terbiasa dengan budaya masyarakat setempat, lama-kelamaan masakan kerabu bronok boleh dikatakan antara makanan kegemaran hariannya.

Menurut Teeyah atau lebih mesra dipanggil Cik Ti, bronok adalah makanan yang sensitif dengan haba dan berubah menjadi air masin sekiranya dimasak.

Cik Ti menerangkan cara yang betul bagi memastikan bronok tidak rosak dan masih boleh dimakan walau sudah lama diambil dari laut.

“Selepas diambil dari laut pastikan kita sudah menebuk perut bronok dan membuang segala kekotoran yang ada, kemudian barulah bronok yang telah siap dipotong, ditapis kemudian disimpan di dalam peti sejuk,

“Kalau perut bronok tidak ditebuk dan dibuang segala najis yang ada, bronok itu akan memakan diri dengan menjadi nipis kemudian mati, maka kita tidak boleh memakannya lagi,” katanya ketika di temubual Berita DIMENSi di kediamannya di Sungai Kedak, Langkawi.

Bronok muda yang berwarna seperti merah jambu biasanya diambil untuk dijadikan kerabu kerana teksturnya yang masih lembut dan mudah dimakan manakala bronok tua yang berwarna coklat selalunya tidak diambil kerana teksturnya yang keras.

“Antara bahan yang diperlukan dalam masakan untuk satu kilogram bronok adalah dua batang serai, cili kering mengikut tahap kepedasan yang dikehendaki, lima biji bawang merah, belacan, air asam jawa, kerisik, pucuk gajus, dan mangga muda,” tambah Cik Ti.

Kerabu bronok menjadi juadah pembuka selera.

(Sumber: Kosmo)

Cik Ti mengatakan mereka yang mencari bronok akan mula berada di pantai seawal jam 7 pagi dan ada diantara masyarakat setempat mencari bronok menggunakan jaring sambil menaiki bot.

Katanya harga untuk sekilo bronok adalah RM5 manakala untuk bronok yang sudah siap diproses harganya boleh melonjak kepada RM 15.

Orang ramai juga boleh mendapatkan bronok di Pasar Awam Padang Matsirat pada bila-bila masa sahaja.

Nurjiha Mohamad, 23, penduduk setempat juga penggemar kerabu bronok berkata, jika ada masa terluang, dia bersama jiran-jiran akan ke Pantai Pasir Berdengung untuk mencari bronok mentah.

“Hasil carian bronok untuk saya sahaja sekitar satu ke dua kilogram, tapi kalau dicampur bersama hasil carian kawan-kawan memang agak banyak, namun sekilogram bronok pun sudah memadai untuk makan sendiri.

“Kalau ada rezeki lebih, saya akan sedekahkan kepada jiran-jiran tetapi bukanlah bronok mentah melainkan sudah siap dijadikan kerabu,

“Sekali rasa mesti nak lagi,” katanya menerusi temubual Berita DIMENSi melalui WhatsApp.

Walaupun bronok berada dalam kumpulan makanan eksotik dan amat jarang dijumpai di sesetengah tempat, namun bagi yang telah merasakannya pasti akan teringat-ingat keenakkannya.

Orang luar digalakkan untuk cuba merasai kesedapan kerabu bronok kerana bronok merupakan makanan yang unik dan digemari oleh pelbagai kaum termasuk pelancong dari luar negara.


Like the article? Share it now!