URBAN

INDUSTRI BATIK: MASIH ‘TRENDY’ ATAU KIAN DILUPAKAN?

Wednesday, 8 Jun 2022
Oleh Nurul Najmin

KOTA BHARU- Batik merupakan seni yang sememangnya popular sejak bertahun lamanya dan sangat terkenal di kawasan Pantai Timur iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Kewujudan corak batik dalam pelbagai bentuk seperti batik tulis, batik skrin, batik celup dan batik terap, menjadikan seni batik unik dan istimewa di mata masyarakat.

Corak batik biasanya dihasilkan dengan menggunakan kaedah cantingan iaitu melalui lukisan tangan bahkan corak batik eksklusif yang dihasilkan menggunakan kaedah blok juga turut mendapat sambutan ramai.

Corak batik kedua-dua kaedah ini berbeza dan mempunyai daya tarikan yang tersendiri. Penggemar pakaian batik boleh menempah corak batik mengikut reka bentuk yang diidamkan oleh mereka.

Antara corak yang sering menjadi pilihan masyarakat ialah corak abstrak yang digabungkan dengan corak bunga.

Industri batik sering mendapat sambutan hangat apabila menjelang awal tahun kerana pihak sekolah akan membuat tempahan batik sebagai uniform untuk pelajar. Batik bukan sahaja dijadikan sebagai uniform, malahan ia boleh digayakan semasa hari perayaan dan pada bila-bila masa.

Model anggun menggayakan baju kurung bercorak batik.

(Sumber: Facebook Butik Guzel Couture)

Asma Wahab, 35, kerani di syarikat Nordin Batik menyatakan seni batik sangat penting bagi industri kreatif agar berupaya membantu pengusaha batik mempopularkan batik Malaysia kepada negara luar.

“Industri batik Malaysia mampu diperluaskan ke luar negara jika ada platform yang terbaik untuk mempromosikannya,” kata Asma menerusi temubual Berita DIMENSi melalui WhatsApp.

Bagi Nadirah Akmal, 39, yang telah berkecimpung dalam industri batik selama 10 tahun menyatakan industri batik semakin melonjak naik.

“Perusahaan batik berusaha untuk kekal dalam pasaran dengan bantuan daripada pihak kerajaan yang memainkan peranan untuk memberi sokongan kepada para usahawan dan pembekal batik,” ujar Nadirah dalam temubual bersama Berita DIMENSi melalui Whatsapp.

Tambahnya, industri batik mempunyai nilai estetika tersendiri berikutan penghasilan seni batik ini yang cukup kreatif dan boleh dijadikan sebagai identiti kebanggaan Malaysia semenjak dahulu lagi.

Kerajaan telah mengumumkan pemakaian batik rasmi wajib dipakai pada hari Khamis untuk penjawat awam bagi menggalakkan lagi industri batik dalam kalangan umum.

Inisiatif ini sangat memberi kesan positif kepada para usahawan dan penggiat batik untuk meningkatkan kualiti penghasilan batik kepada orang ramai yang juga memberi keuntungan tinggi kepada mereka.


Batik hasil cantingan untuk dipromosikan kepada pelanggan.

(Sumber: Facebook Butik Guzel Couture)


Penggiat industri batik sentiasa berusaha memastikan seni batik kekal utuh dalam kalangan masyarakat dengan mengeluarkan pelbagai corak yang selari dengan peredaran zaman demi menepati citarasa pelanggan.


Industri batik wajar diperluaskan dalam usaha untuk memartabatkan nilai warisan Melayu tradisional yang kini semakin ditelan zaman dek arus globalisasi dan kemodenan yang telah memudarkan adat serta budaya masyarakat Melayu.


Perubahan fesyen terkini bukanlah bererti pengakhiran buat seni batik tetapi seharusnya dilihat sebagai sebuah anjakan paradigma kepada seni tersebut untuk berevolusi dan memperlihatkan keindahannya kepada umum.


Biarlah seni batik diangkat sebagai seni pakaian masyarakat Melayu yang dekat di hati semua lapisan komuniti sebagaimana yang dapat dipertontonkan menerusi pemakaian Hanbok dari Korea dan Kimono dari Jepun oleh masyarakat global yang bangga dengan warisan turun-temurun mereka.


Like the article? Share it now!