UTOPIA

BAJA, LUBANG DAN PENYIRAMAN PENTING DALAM CUCUK TANAM

Monday, 2 May 2022
Oleh Farhana Azha

KEMAMAN - Dalam bercucuk tanam, kesesuaian baja, ilmu mengorek lubang dan juga waktu penyiraman adalah perkara yang penting dalam bercucuk tanam.

Wan Saba Othman, 44, atau lebih dikenali sebagai Cekder Saba merupakan seorang yang meminati aktiviti bercucuk tanam di kawasan rumahnya dan dia menggunakan baja Ezigrow iaitu rahsia kesuburan tanaman-tanamannya.

Menurut BERNAMA, aktiviti penanaman pokok dapat mewarnai bumi dengan kehijauan serta dapat mengurangkan pemanasan global terutamanya di negara ini.

Menerusi laman web AisyHealthAndBeautyMall, baja Ezigrow merupakan baja organik yang boleh meningkatkan mutu penanaman serta mengawal pembentukan hasil tanaman.

Cekder Saba mula menggunakan baja ini setelah mendapati baja buatan sendiri yang digunakan sebelum ini tidak bersesuaian dengan tanaman-tanamannya.

Dia turut berkongsi tentang kelebihan baja ini terhadap tanaman yang ditanamnya iaitu penghasilan buah yang berkualiti serta sayur-sayuran yang segar.

“Baja ini bagus sebab dapat menghasilkan buah dan sayuran yang berkualiti. Jika baja ini digunakan untuk pokok bunga, maka pokok tersebut akan berbunga dengan lebat,” kata Cekder Saba menerusi temubual bersama Berita DIMENSi melalui WhatsApp.

Baja Ezigrow yang digunakan oleh Cekder Saba untuk tujuan penanamanya.

(Sumber: Berita DIMENSi/Farhana Azha)

Walau bagaimanapun, proses penyediaan lubang penanaman adalah faktor penting dalam aktiviti penanaman kerana lubang yang lebih mendalam dan luas membolehkan akar pokok berkembang baik serta meningkatkan tumbesaran pokok.

Jika penyediaan lubang penanaman bersaiz kecil dan tidak dalam, akar tanaman tersebut tidak dapat bergerak dengan baik dan tumbesaran pokok tidak dapat ditingkatkan.

“Kebiasaannya saya akan menanam pokok dalam pasu terlebih dahulu sebelum memindahkannya ke atas tanah untuk tumbesaran pokok yang lebih baik,” katanya.

Dia menggunakan pasu yang mempunyai lubang bagi melancarkan pengaliran air ke dalam tanah serta meletakkan serpihan kayu di dalamnya bagi mengelak campuran tanah terkeluar.

“Kepada mereka yang baru mula bercucuk tanam, pastikan akar pokok yang di dalam pasu tidak pecah,” tambahnya.

Bagi pokok lama pula, pemasuan semula boleh dilakukan untuk menjadikan pokok tersebut membiak dan hidup dengan baik.

Cekder Saba sangat mementingkan cara penanaman pokok yang betul kerana tidak mahu mendapatkan hasil yang sia-sia.

Sebelum ini, hasil tanamannya hanya menjadi makanan ulat bulu kerana tidak mempunyai teknik dalam penjagaan pokok. Dengan mempelajari teknik penanaman yang betul, dia dapat menghasilkan tanaman yang sihat seperti sayur kobis di kawasan rumahnya.

Sayur kobis tersebut merupakan tanaman kebanggaan Cekder Saba kerana dia berjaya menghasilkan tanaman yang sihat dengan mengikut langkah-langkah yang dinyatakan serta menggunakan baja Ezigrow.

Hasil tanaman kobis yang subur selepas menggunakan baja Ezigrow.

(Sumber: Berita DIMENSi/Farhana Azha)

Menurut Nurul Aisyhah Salim, 22, seorang pekerja yang menjadikan bercucuk tanam sebagai hobinya menyatakan teknik penanaman yang betul perlu dititikberatkan kepada mereka yang ingin bercucuk tanam.

“Saya tidak pandai sangat pada awalnya dalam bercucuk tanam, tetapi setelah mempelajari tekniknya melalui mak saudara, saya dapat menghasilkan tanaman yang baik seperti pokok lidah buaya,” katanya.

Ujar Aisyhah, tanaman pokok lidah buaya perlu diletakkan di kawasan yang terdedah kepada sinaran matahari yang mencukupi bagi pertumbuhan pokok tersebut tetapi sentiasa perlu dipantau kerana pokok ini mudah terbakar.

Pokok Lidah Buaya yang ditanam oleh Aisyhah menggunakan teknik yang diajar mak saudaranya.

(Sumber: Berita DIMENSi/Farhana Azha)

Aisyhah turut memberitahu bahawa pokok lidah buaya tidak perlu disiram setelah ditanam. Ini untuk memastikan akar pokok tersebut dapat menyesuaikan perakarannya di dalam pasu.

“Akar lidah buaya boleh menjadi busuk apabila terus disiram dalam kuantiti air yang banyak,” tambah Aisyhah.

Dalam penjagaan pokok yang betul, teknik penyiraman amat dititikberatkan. Oleh itu, setiap pokok perlu disiram setiap hari, mengikut jenis pokok tersebut.

Penyiraman pokok boleh dilakukan pada dua waktu iaitu pagi dan petang bagi memastikan pokok tersebut mendapat air yang mencukupi.

Bagi individu yang baru melangkah ke alam bercucuk tanam, banyak prosedur dan teknik yang perlu dipelajari terlebih dahulu bagi mendapatkan hasil yang lumayan serta subur.


Like the article? Share it now!