FOCUS

PERANTAU PULANG BERAYA SELEPAS DUA TAHUN

Isnin, 2 Mei 2022
Oleh Syahirah Harish

SHAH ALAM Pemansuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memudahkan perancangan perantauan untuk pulang ke kampung sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Setelah dua tahun penantian untuk pulang ke kampung tidak tercapai disebabkan pandemik COVID-19 yang melanda, para perantau di dalam dan luar negara akhirnya dapat pulang ke dakapan yang tersayang di hari yang mulia.

Pengumuman pembukaan semula sempadan darat bagi negara Malaysia dan Singapura yang telah berkuat kuasa pada 1 April yang lalu ternyata membawa pelangi buat mereka khususnya keluarga yang telah dua tahun tidak berjumpa.

Haifa Hassaney, 21, merupakan seorang pelajar di Institusi Pengajian Guru (IPG) Kampus Tuanku Bainun, meluahkan rasa syukur setelah mendengar pengumuman pembukaan sempadan darat Malaysia dan Singapura kerana tidak sabar untuk berjumpa dengan ayahandanya, Mohd Hassaney Ahmad yang bekerja di negara jiran tersebut.

“Saya dan keluarga sangat gembira dan bersyukur kerana dapat berjumpa dan menyambut hari raya bersama abah pada tahun ini selepas dua tahun kami sekeluarga hanya beraya melalui panggilan video Whatsapp sahaja,” ujar Haifa.

Pelajar IPG tersebut meluahkan kesedihan beliau apabila mendapat berita bahawa ayah kesayangannya tidak dapat pulang ketika pembukaan sempadan diumumkan.

“Namun, seminggu selepas itu, apabila saya pulang dari IPG, abah memberikan kejutan dengan menyorok disebalik pintu. Saya amat gembira dan tak dapat nak bercakap apa apa, lalu terus peluk abah,” kata Haifa dalam sesi temubual bersama Berita DIMENSi.

Gambar Haifa (kiri sekali) bersama keluarga dan ayahnya.

(Sumber: Haifa Hassaney)

Dalam kemeriahan para perantau yang dapat pulang beraya bersama keluarga, jangan dilupa pada mereka yang masih tidak berpeluang menyambut lebaran bersama orang yang tersayang pada tahun ini terutama perantauan yang berada di luar negara.

Kekangan dari aspek masa dan jadual yang padat juga menjadi punca Nur Khairunnisa Zulkifli, 21, pelajar di Universiti Minnesota, Amerika Syarikat tidak dapat pulang beraya bersama keluarga di Terengganu sebelum ini.

Beliau menceritakan pengalaman beraya dengan keluarga yang berbeza zon waktu serta persiapan raya yang dilakukan oleh pelajar Malaysia di sana.

“Sebenarnya sedih apabila tidak dapat pulang beraya pada tahun ini bersama keluarga, akan tetapi, disebabkan saya mempunyai projek dan ujian akhir, hasrat untuk pulang pada hari raya tidak dapat ditunaikan. Namun saya teruja untuk bersama dengan rakan-rakan yang lain untuk membuat persiapan raya.

“Pengalaman raya tahun lepas merupakan pengalaman pertama kali saya beraya berjauhan dengan keluarga dan secara atas talian. Sesungguhnya saya sangat sedih, tetapi itu sahaja pilihan yang ada,” ujar Nur Khairunnisa lagi.

Gambar raya Nur Khairunnisa (kiri sekali) bersama rakan-rakan di University of Minnesota.

(Sumber: Nur Khairunnisa)

Namun, pada kali ini, Nur Khairunnisa akan pulang ke pangkuan keluarganya pada tanggal 15 Mei 2022. Pelajar tahun kedua Universiti Minnesota ini berkata bahawa ini adalah kali pertama beliau akan pulang ke Malaysia setelah hampir setahun berada di Amerika Syarikat.

Kemeriahan beraya bersama tersayang adalah momen berharga yang ingin dirasai oleh semua khususnya mereka yang terpaksa merantau jauh dari keluarga. Jadi, sentiasalah kita bersyukur dan menghargai setiap peluang yang ada.


Like the article? Share it now!