URBAN

AMALAN TRADISI KADAZAN-DUSUN DIMARTABATKAN

Sabtu, 28 Mei 2022
Oleh Pretty Abbyana

SANDAKAN- Kaum Kadazan-dusun adalah antara etnik yang terbesar di Sabah. Suku kaum ini kaya dengan pelbagai budaya dan adat resam yang menjadi warisan turun-temurun daripada nenek moyang mereka masih diteruskan.

Aannur Ufairah Abdullah, 22, berkata setiap budaya yang mereka amalkan sejak turun temurun ini masih lagi dimartabatkan sehingga ke hari ini.

“Sebagai orang suku kaum Kadazan-dusun, warisan yang diturunkan oleh nenek moyang amatlah kami hargai dan memartabatkan ia agar tidak ditelan zaman,” katanya dalam temubual bersama Berita DIMENSi melalui Whatsapp.

Titik permulaan kewujudan kaum Kadazan-dusun ini bermula daripada dua kaum utama di Sabah iaitu ‘Kadazan’ dan ‘Dusun’ bagi menyatukan kedua kaum tersebut.

Terdapat pelbagai pecahan suku kaum Kadazan-dusun di Sabah iaitu Bisaya, Murut, Sungai, Lingkabau, Bundu, Paitan, Tangara, Lotud dan sebagainya.

Budaya utama yang membuatkan suku kaum ini dikenali adalah kerana keunikan tarian, muzik, pakaian dan makanan tradisional serta perayaan mereka.

Antara makanan terkenal tradisi suku kaum ini ialah Hinava, Noonsom dan Sup Manuk Lihing. Minuman tradisi kaum ini pula ialah tapai dan lihing yang sangat istimewa.

Makanan dan minuman ini disediakan dengan pelbagai cara tersendiri mengikut amalan tradisi bagi mengekalkan lambang kebudayaan mereka.

Kepelbagaian makanan tradisi suku kaum Kadazan-dusun.

Sumber: Manis Madu

Tarian Sumazau merupakan salah satu tradisi yang sangat popular dalam kalangan masyarakat yang kebiasaannya ditarikan secara berpasangan oleh lelaki dan perempuan semasa hari keramaian Pesta Kaamatan.

Mengikut kepercayaan suku kaum mereka, tarian ini adalah untuk mengucapkan tanda kesyukuran berkaitan kegiatan menanam dan menuai padi dan bagi menolak sebarang malapetaka dan memperbanyak hasil padi mereka.

Tarian ini biasanya dimainkan dengan iringan paluan enam buah gong yang berbagai saiz dan sebuah gendang dengan rentak yang khusus.

Tarian Sumazau oleh Suku Kaum Kadazan-Dusun.

Sumber: MySabah.Com

Dengan keunikan budaya yang ada suku kaum ini juga memiliki adat resam yang mereka masih amalkan sejak dahulu lagi iaitu ‘Kepataisyen’ atau upacara kematian yang dipercayai untuk memberi amaran kepada seseorang yang diramalkan akan mati yang dipanggil ‘Mogombiruoh’.

Ellsy Jassy Jikuwa, 23, menyatakan jika seorang dukun bermimpi akan kematian seseorang yang akan tiba maka dukun tersebut akan memberitahu mereka.

“Namun begitu jika dukun tersebut bermimpi tentang kesembuhan seseorang yang terkena penyakit juga akan diketahui dari mimpi dukun itu sendiri,

“Bagi suku kaum Dusun pula ahli si mati akan memukul gong ‘Tontong Sanang’ yang bertujuan untuk memberitahu ada kematian dalam ahli keluarga,” katanya dalam temubual keluarga bersama Berita DIMENSi melalui WhatsApp.

Masyarakat suku kaum Kadazan-dusun turut mengamalkan upacara pemisah terhadap roh si mati. Ahli keluarga akan menutup semua lampu dalam rumah bertujuan agar roh si mati akan pulang ke rumah untuk ‘megoit-megoit’ atau membawa dan mengambil barang miliknya.

Pada hari ketiga kematian si mati, ahli keluarga mereka akan mengadakan satu upacara pembahagian atau ‘Ikidan’ yang bertujuan membahagikan harta peninggalan si mati kepada ahli keluarga yang masih hidup.

Penduduk daripada pelbagai suku kaum di Sabah seharusnya berbangga mempamerkan keunikan dan keindahan seni budaya masing-masing agar lebih dikenali oleh bangsa lain dan juga generasi baharu yang akan datang.

Like the article? Share it now!