state

SAMBUTAN, PERAYAAN DALAM NORMA BAHARU


Isnin, 31 Mei 2021
Oleh Fatin Nurain

Situasi sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan.
(Sumber: Berita DIMENSi / Fatin Nurain)

AMPANG Sambutan majlis dan perayaan kini diraikan secara norma baharu sejak penularan COVID-19 pada tahun lalu.

Meskipun telah menjadi kebiasaan terhadap sesetengah masyarakat di Malaysia untuk menyambutnya secara atas talian, namun sambutan secara bersemuka amat dirindui ramai.

Berita DIMENSi telah membuat undian menerusi Instagram, mengenai cara sambutan ini dan rata-rata antara mereka lebih gemar untuk melakukan sesuatu majlis atau perayaan tersebut secara bersemuka.

Kini, genap setahun segala majlis dan perayaan terpaksa disambut secara atas talian demi mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Perkara ini bukanlah satu penghalang bagi setiap masyarakat untuk tidak meraikan sebarang majlis atau perayaan kerana terdapat banyak lagi platform yang boleh digunakan untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dan sebagainya ketika berjauhan.

Sambutan Hari Jadi disambut secara maya bersama keluarga tercinta.
(Sumber: FamilyMinded)

Menurut seorang Pegawai Penyediaan Makanan di Hospital Sibu, Nurul Adellah Mohd Gharib, 37, beliau sudah tidak pulang ke Semenanjung selama setahun. Perkongsian itu dinyatakan ketika temu bual yang dijalankan melalui aplikasi WhatsApp.

“Saya akan membuat panggilan video untuk memberi ucapan kepada ahli keluarga serta tag mereka di media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram,” kata Nurul Adellah.

Menerusi undian yang dibuat melalui Instagram oleh Berita DIMENSi pula, kebanyakannya memilih untuk membuat tempahan secara atas talian. Mereka juga turut menggunakan khidmat penghantaran seperti GrabFood dan Foodpanda untuk menghantar makanan kepada pihak yang ingin diraikan.

Menurut Nurul Adellah juga, perkhidmatan penghantaran makanan ini lebih mudah dan tidak perlu berbaris atau keluar rumah kerana boleh dibuat secara atas talian sahaja.

Berita DIMENSi juga turut melakukan temu bual melalui aplikasi WhatsApp bersama Wan Nurin Afiqeen Wan Maizul Khar, 25, mengenai perniagaan keknya yang baru sahaja dimulakan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Menurut Nurin Afiqeen, kebiasaannya pelanggannya akan membuat tempahan untuk sambutan hari jadi dan majlis khas seperti perayaan. Tetapi, ada juga pelanggan yang membuat tempahan untuk makan pada hari biasa.

“Agak memudaratkanlah PKP ini sebab ada sekatan jalan raya. Jadi, tidak boleh nak buat penghantaran sendiri di kawasan tertentu.

“Pelanggan pula tidak mampu untuk membayar caj penghantaran yang GrabFood atau Lalamove tetapkan,” jelasnya ketika ditanyakan mengenai kesukaran yang dihadapi sepanjang PKP ini.

Namun, perniagaannya agak menurun setiap kali PKP ditamatkan kerana orang ramai lebih memilih untuk keluar ke kafe berbanding membuat tempahan atas talian.

Antara keluhan dan harapan responden di Instagram wartawan Berita DIMENSi.
(Sumber: Instagram / Fatin Nurain)

Walau bagaimanapun, rata-rata responden di Instagram menyatakan yang mereka tidak mahu menyambut sebarang majlis secara norma baharu ini dengan berterusan.

Mereka juga berharap agar penularan COVID-19 ini berakhir dengan cepat. Selain itu, mereka turut berharap agar rakyat Malaysia lebih peka dan patuh terhadap SOP yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Anda suka artikel ini? Kongsi sekarang!