Berita & Program (Staf)
Berita & Program (Staf)
24 Jun 2025
Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) melalui Perpustakaan UMPSA telah menganjurkan Sesi Pengukuhan Organisasi: Emosi, Empati dan Komunikasi – Kesejahteraan Psikologi di Tempat Kerja pada 24 Jun 2025 (Selasa) bertempat di Auditorium Perpustakaan UMPSA, Pekan.
Program yang berlangsung dari 9.00 pagi hingga 1.00 petang ini telah disampaikan oleh Pn. Siti Norni binti Mohd Daud, Pegawai Psikologi Kanan dari Pusat Sejahtera UMPSA. Seramai 30 orang peserta telah mengambil bahagian dalam sesi ini yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran serta kefahaman warga kerja terhadap kepentingan kesejahteraan psikologi, khususnya dalam aspek pengurusan emosi, empati dan komunikasi berkesan di tempat kerja.
Penganjuran program ini bertujuan membantu staf mengekalkan kesihatan mental dan emosi yang seimbang, seterusnya mewujudkan persekitaran kerja yang lebih positif, harmoni dan produktif. Program ini turut mencerminkan komitmen berterusan UMPSA dalam menyokong kesejahteraan psikologi serta pembangunan sahsiah warga universiti.
30 September 2025
Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia dan Proses (FTKKP), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan Program Psychological First Aid (PFA) bagi Penasihat Akademik FTKKP 2025 dengan kerjasama Pusat Sejahtera sebagai jurulatih PFA pada 30 September 2025 (Selasa) bertempat di Dewan Tun Fatimah, UMPSA Kampus Gambang.
Program yang berlangsung dari 8.30 pagi hingga 1.00 petang ini telah dikendalikan oleh jurulatih PFA iaitu Pn. Fara Hazlini binti Mohd Som, Pn. Nur Atiqah binti Mohd Nor dan Pn. Nur Azila binti Osman. Seramai 30 orang staf akademik FTKKP telah menyertai program ini.
Objektif utama penganjuran program adalah untuk memberi pendedahan kepada penasihat akademik berkaitan konsep dan aplikasi Psychological First Aid (PFA), meningkatkan pengetahuan dalam membantu pelajar atau individu yang berhadapan dengan situasi krisis, serta memupuk kesedaran terhadap kepentingan pengetahuan asas dalam pengurusan krisis secara berkesan.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen FTKKP UMPSA dalam memperkasa peranan penasihat akademik serta menyokong kesejahteraan psikologi pelajar melalui pendekatan sokongan awal yang sistematik dan berkesan.
15 Oktober 2025
Program Klinik Terapi Minda Sempena Hari Terbuka Jabatan Pendaftar di Kaunter Pusat Sejahtera, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah diadakan pada 15 Oktober 2025 (Rabu) di Dewan Astaka, Kampus Gambang bermula jam 8.30 malam hingga 11.00 malam. Pelaksanaan kaunter ini adalah sebahagian daripada Hari Terbuka Jabatan Pendaftar (HTJP) 2025 yang juga merupakan sebahagian daripada Hari Terbuka Mahasiswa UMPSA 2025, menarik penyertaan pelajar, staf dan masyarakat kampus dalam pelbagai program dan booth pameran.
Program ini telah dikendalikan oleh kaunselor-kaunselor dari Pusat Sejahtera termasuk Puan Paridah binti Mohd Ali, Puan Nur Azila binti Osman, Puan Siti Norni binti Mohd Daud, Puan Nur Atiqah binti Mohd Nor dengan jawatankuasa pelaksana terdiri daripada staf Pusat Sejahtera. Objektif utama program Klinik Terapi Minda adalah untuk memberi pendedahan kepada warga UMPSA tentang fungsi dan peranan Pusat Sejahtera dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan mental, sokongan psikologi dan intervensi kesejahteraan kepada pelajar serta staf. Aktiviti di kaunter termasuk penyampaian maklumat, interaksi kaunseling ringan dan aktiviti kesedaran kesihatan mental yang telah menarik penyertaan seramai 300 orang pelajar dan 6 orang staf sepanjang program berlangsung.
16 & 17 Jun 2025
Bahagian Pembangunan Sumber Manusia (HRD) dengan Kerjasama Pusat Sejahtera, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan Kursus Psychological First Aid (PFA) kepada staf UMPSA pada 16 dan 17 Jun 2025 (Isnin dan Selasa) bagi memperkukuh pengetahuan dan kemahiran dalam pengurusan sokongan psikologi awal di persekitaran universiti.
Psychological First Aid (PFA) merupakan pendekatan sokongan awal yang membantu staf mengenal pasti dan menangani tekanan emosi secara empati serta berkesan, khususnya dalam memberi sokongan kepada pelajar dan rakan sekerja yang memerlukan. Kursus ini telah dikendalikan oleh pegawai-pegawai psikologi berpengalaman iaitu Puan Siti Norni binti Mohd Daud, Puan Nur Azila binti Osman dan Puan Nur Atiqah binti Mohd Nor.
Kursus ini telah berlangsung dari jam 9.00 pagi hingga 4.30 petang di Dewan Tun Fatimah UMPSA Kampus Gambang dan Bilik Latihan DiTec UMPSA Kampus Pekan dengan penyertaan seramai 41 orang staf, hasil kolaborasi antara Pusat Sejahtera dan Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar UMPSA.
Program Kerjasama: Seminar “Dari Jiwa ke Puncak: Kepimpinan Wanita & Kesihatan Mental” Sempena National Training Week (NTW) UMPSA 2025
19 Jun 2025
Program Seminar “Dari Jiwa ke Puncak: Kepimpinan Wanita & Kesihatan Mental” sempena National Training Week (NTW) UMPSA 2025 telah berlangsung pada 19 Jun 2025 bertempat di Auditorium Perpustakaan UMPSA Gambang.
Seminar ini bertujuan memberi pendedahan, motivasi dan bimbingan kepada wanita dalam aspek kepimpinan serta pengurusan kesihatan mental, khususnya dalam mengimbangi peranan kerjaya dan keluarga. Program ini telah disampaikan oleh penceramah jemputan, Pn Paridah binti Mohd Ali (Pengarah Pusat Sejahtera), dan disertai oleh seramai 40 orang peserta.
Penganjuran seminar ini merupakan hasil kolaborasi antara Pusat Sejahtera dan Pusat Pembangunan Kelestarian (SDC), selaras dengan komitmen UMPSA dalam memperkasa pembangunan insan dan kesejahteraan mental warga universiti.
Program Kerjasama: Booth Grounding Technique & Mindful Body Scan sempena National Training Week (NTW) UMPSA 2025
19 Jun 2025
Pusat Sejahtera, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah mengadakan Booth Grounding Technique & Mindful Body Scan bersempena National Training Week (NTW) 2025, dengan kolaborasi Pusat Pembangunan Kelestarian (SDC) UMPSA sebagai penganjur utama program.
Booth ini bertujuan meningkatkan kesedaran warga kampus terhadap kepentingan kesejahteraan mental melalui pendedahan kepada teknik grounding dan mindful body scan sebagai kaedah pengurusan tekanan dan keseimbangan emosi.
Booth yang berlangsung dari 8.30 pagi hingga 1.00 petang di Auditorium Perpustakaan UMPSA Gambang telah menerima penyertaan kira-kira 30 orang pengunjung. Program ini dikendalikan oleh Puan Nur Atiqah binti Mohd Nor, Pegawai Psikologi Pusat Sejahtera, dengan sokongan Ahli Jawatankuasa daripada Pusat Sejahtera dan SDC.
Secara keseluruhan, penganjuran program ini berjaya mencapai objektifnya selaras dengan aspirasi National Training Week 2025 dalam memupuk amalan kesejahteraan dan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan warga UMPSA.
26 Jun 2025
Jabatan Canseleri dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) telah menganjurkan Forum: Memperkasa Institusi Kekeluargaan bertempat di Dewan Bankuet, Canseleri Tun Abdul Razak, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Pekan. Forum ini telah dikendalikan oleh Pusat Sejahtera UMPSA selaku moderator.
Forum ini bertujuan meningkatkan kesedaran warga universiti terhadap kepentingan institusi kekeluargaan sebagai asas pembentukan sahsiah, kesejahteraan emosi serta nilai-nilai positif dalam kehidupan seharian, di samping menjadi platform perkongsian ilmu berkaitan isu kekeluargaan yang relevan.
Program yang berlangsung dari 9.30 pagi hingga 12.00 tengah hari ini telah disertai oleh kira-kira 50 orang staf UMPSA. Forum ini menampilkan dua panel penceramah jemputan iaitu Ustazah Fatinah ‘Azami binti Mahadzir, Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Agama Islam Pahang dan Puan Intan Mawaddah Megat Mohamad Azlan, Pegawai Psikologi, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Pahang.
Forum ini telah dimoderatorkan oleh Encik Muhammad Syamil Aiman bin Abd Hamid, Pegawai Psikologi, Pusat Sejahtera UMPSA. Secara keseluruhannya, penganjuran forum ini berjaya mencapai objektifnya dalam memperkukuh kefahaman dan kesedaran warga kerja UMPSA terhadap peranan keluarga dalam menyokong kesejahteraan sosial dan keharmonian kehidupan berkeluarga.
10 Oktober 2025
Program Siri Transformasi Eksekutif Perdana (STEP) Bil. 23/2025 bertajuk Small Steps, Big Impact telah berjaya dilaksanakan pada 10 Oktober 2025 (Jumaat) sempena Sambutan Bulan Kaunseling UMPSA. Program ini dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Bakat, Jabatan Pendaftar dengan kerjasama Pusat Sejahtera, Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni, UMPSA
Sesi selama satu jam ini dikendalikan oleh Puan Nur Atiqah binti Mohd Nor, Pegawai Psikologi Pusat Sejahtera. Talk ini menekankan kepentingan langkah kecil dan konsisten untuk menjaga kesejahteraan mental, termasuk strategi pengurusan tekanan, pembangunan daya tindak (coping skills), dan kesedaran kendiri. Perkongsian disampaikan secara santai tetapi informatif, lengkap dengan contoh situasi sebenar yang dekat dengan pengalaman warga kerja dan pelajar.
Program dijalankan secara dalam talian melalui Microsoft Teams dan turut disiarkan langsung di Facebook UMPSA, membolehkan penyertaan lebih meluas. Sambutan yang diterima amat menggalakkan, mencerminkan komitmen UMPSA dalam memupuk budaya kerja sejahtera dan keseimbangan mental.
Diharapkan talk ini dapat memberi impak positif kepada peserta dan menjadi pemangkin kepada amalan penjagaan kesejahteraan mental secara berterusan, selaras dengan tema Small Steps, Big Impact iaitu perubahan kecil mampu membawa kesan besar.
16 April 2025
Pusat Teknologi Digital (DiTec) dengan kerjasama Pusat Sejahtera telah menganjurkan Program Knowledge Sharing Bil. 4/2025 pada 16 April 2025, jam 9:00 hingga 10:30 pagi. Program ini menampilkan Puan Nur Atiqah Mohd Nor, Pegawai Psikologi Pusat Sejahtera, UMPSA, sebagai penceramah yang membincangkan strategi mengenal pasti dan menguruskan suara dalaman kritikal (inner critic) serta pemikiran negatif automatik yang boleh menjejaskan keyakinan diri dan kesejahteraan emosi.
Sesi ini menekankan pendekatan praktikal termasuk kesedaran terhadap dialog dalaman, penilaian dan cabaran terhadap pemikiran negatif, serta pengamalan self-compassion dan mindfulness. Program ini bertujuan membantu peserta meningkatkan keyakinan diri, pengurusan tekanan, dan kesejahteraan emosi, sekali gus menyokong pembangunan profesional dan persekitaran kerja yang lebih positif.
Rakaman program ini boleh diakses melalui Facebook DiTec UMPSA untuk rujukan dan manfaat staf yang tidak berkesempatan hadir secara langsung. Pihak penganjur mengucapkan penghargaan kepada semua peserta atas kehadiran dan penyertaan yang aktif dalam program ini.