Berita & Program (Pelajar)
Tahun 2025
Berita & Program (Pelajar)
Tahun 2025
1 November 2025
18 & 19 Disember 2025
16 Januari 2026
14 Oktober 2025
Pusat Sejahtera, Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah telah berjaya menganjurkan Program Senam Tari: “Shadow & Strength” sempena Sambutan Bulan Kaunseling UMPSA 2025 dengan sambutan yang amat menggalakkan.
Program ini telah berlangsung pada 14 Oktober 2025 (Selasa), dari jam 8.00 malam hingga 10.30 malam, bertempat di Dewan Astaka, UMPSA Kampus Gambang, dan berjaya menarik kehadiran hampir 300 orang pelajar wanita UMPSA. Aktiviti senaman berirama yang bertenaga ini bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, malah menjadi medium sokongan kesejahteraan mental melalui pergerakan, ekspresi diri dan interaksi sosial dalam suasana yang positif.
Keseluruhan Jawatankuasa Pelaksana (AJK) program ini telah dikendalikan sepenuhnya oleh Pusat Sejahtera UMPSA, selaras dengan komitmen berterusan dalam memperkasa kesedaran kesihatan mental dan kesejahteraan emosi warga kampus, khususnya pelajar wanita.
Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua peserta serta pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Semoga penganjuran program berimpak tinggi seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan demi kesejahteraan komuniti universiti.
25 Oktober 2025
Pusat Sejahtera, Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah telah berjaya menganjurkan UMPSA Explorace: #JiwaOnTrack sempena Sambutan Bulan Kaunseling UMPSA 2025, iaitu sebuah program cabaran berkumpulan yang menekankan keseimbangan kesihatan mental dan fizikal dalam kalangan pelajar.
Program ini telah berlangsung pada 25 Oktober 2025 (Sabtu), dari jam 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari, bertempat di sekitar Kampus UMPSA Gambang, dengan penglibatan 10 kumpulan (10 orang setiap kumpulan) yang melalui 10 checkpoint bagi menguji kemahiran kerjasama berpasukan, komunikasi, daya tahan mental serta strategi penyelesaian masalah. Keseluruhan Jawatankuasa Pelaksana (AJK) program ini telah dikendalikan oleh Pusat Sejahtera UMPSA.**
Majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah kepada pemenang telah disempurnakan oleh Profesor Madya Dr. Mohd Nizam bin Mohmad Kahar, Penolong Timbalan Naib Canselor, Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni UMPSA.
Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua peserta, urus setia serta pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini. Semoga penganjuran seumpama ini dapat terus menyokong kesejahteraan mental dan emosi warga kampus.
16 Oktober 2025
Pusat Sejahtera, di bawah Jabatan Hal Ehwal Pelajar & Alumni (JHEPA) Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, telah mengadakan Slot Pusat Sejahtera sempena penganjuran Minggu Induksi Siswa (MINDS) 2.0 UMPSA 2025/2026 sebagai platform memperkenalkan perkhidmatan sokongan kesejahteraan kepada pelajar baharu ambilan kedua.
Slot ini telah berlangsung pada 16 Oktober 2025, jam 11.30 pagi hingga 12.00 tengah hari, bertempat di Dewan Astaka, UMPSA Kampus Gambang, dengan penyertaan seramai 317 orang pelajar baharu UMPSA. Sesi ini memberi pendedahan awal kepada pelajar mengenai perkhidmatan kaunseling, sokongan psikologi serta saluran bantuan yang disediakan oleh Pusat Sejahtera sekiranya diperlukan sepanjang tempoh pengajian.
Sesi perkongsian telah disampaikan oleh Puan Paridah binti Mohd Ali, Pengarah Pusat Sejahtera, bersama Puan Nur Azila binti Osman dan En Muhammad Afif bin Kamaruddin, Pegawai Psikologi Pusat Sejahtera. Perkongsian ini menekankan kepentingan penjagaan kesihatan mental dan emosi serta menggalakkan pelajar mendapatkan bantuan secara awal tanpa stigma.
Penganjuran slot ini mencerminkan komitmen berterusan Pusat Sejahtera dengan kerjasama JHEPA UMPSA dalam memastikan pelajar baharu bukan sahaja bersedia dari aspek akademik, malah turut diperkasa dari sudut kesejahteraan mental dan psikososial bagi menyokong pengalaman kampus yang seimbang dan positif.
30 September 2025
Program Pre-departure Work-Based Learning (WBL) FTKPM 2025 telah dilaksanakan pada 30 September 2025 (Selasa) bermula jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari secara dalam talian. Program ini dianjurkan oleh Fakulti Teknologi Kejuruteraan dan Pengurusan Industri (FTKPM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dengan kerjasama Pusat Sejahtera, dan telah disertai oleh seramai 30 orang staf. Program ini telah disampaikan oleh Puan Siti Norni binti Mohd Daud, manakala jawatankuasa pelaksana terdiri daripada staf Pusat Sejahtera.
Objektif utama pelaksanaan program ini adalah untuk mengisi sistem pemprofilan pelajar menggunakan instrumen Holland dan Big Five bagi membantu pelajar mengenal pasti potensi diri, minat serta gaya pembelajaran masing-masing sebelum menjalani program WBL. Melalui pengisian dan perbincangan yang dijalankan, program ini diharapkan dapat meningkatkan tahap kesiapsiagaan serta kefahaman dalam kalangan pelajar dan pihak berkepentingan terhadap keperluan sokongan pembelajaran berasaskan industri.
1 Oktober 2025
Program Minggu Induksi Pelajar (MINDS) Sesi Akademik 2025/2026: Slot Pelajar Baharu Bersama FTKA telah berlangsung pada 1 Oktober 2025 (Rabu) dari jam 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari bertempat di Blok WDKU-S01, Kampus Gambang, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). Program ini melibatkan pelajar baharu Fakulti Teknologi Kejuruteraan Awam (FTKA) dan telah disertai oleh seramai 60 orang pelajar serta 10 orang staf. Sesi pengenalan Pusat Sejahtera telah disampaikan oleh Pn. Fara Hazlini binti Mohd Som, pegawai psikologi Pusat Sejahtera.
Objektif pelaksanaan slot ini adalah untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar baharu berkaitan peranan Pusat Sejahtera serta membantu mereka menyesuaikan diri dengan persekitaran universiti dan fakulti. Melalui sesi interaksi dan perkongsian yang dijalankan, program ini diharap dapat meningkatkan kefahaman pelajar terhadap sokongan yang disediakan oleh universiti serta memupuk hubungan awal yang positif antara pelajar dan pihak fakulti sepanjang tempoh pengajian mereka di UMPSA.
11 & 12 Oktober 2025
Program Klinik Profiling UMPSA 2025 – Kaunter Pusat Sejahtera telah dilaksanakan bersempena Hari Terbuka Mahasiswa UMPSA 2025 pada 11 hingga 12 Oktober 2025 (Sabtu dan Ahad) bertempat di Dewan Kompleks Sukan, Kampus Gambang, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA). Program ini berlangsung dari jam 7.30 pagi hingga 5.00 petang dan merupakan salah satu kaunter perkhidmatan yang dibuka kepada pelajar, staf serta pengunjung yang hadir sempena penganjuran hari terbuka tersebut. Program ini telah dikendalikan oleh kaunselor Pusat Sejahtera iaitu Puan Paridah binti Mohd Ali, Puan Nur Azila binti Osman, Puan Siti Norni binti Mohd Daud, Puan Nur Atiqah binti Mohd Nor dan Puan Fara Hazlini binti Mohd Som, dengan sokongan jawatankuasa pelaksana yang terdiri daripada staf Pusat Sejahtera.
Objektif utama pelaksanaan kaunter ini adalah untuk memperkenalkan perkhidmatan kaunseling dan profiling Pusat Sejahtera kepada warga UMPSA melalui pelaksanaan aktiviti seperti kuiz saringan (Spinwheel) serta aktiviti kesedaran berkaitan kesihatan mental dan pengurusan stres. Program ini telah menerima sambutan yang amat menggalakkan dengan penglibatan seramai 1,000 orang pelajar dan staf, selain sokongan 8 orang staf yang bertugas sepanjang program. Pelaksanaan kaunter ini diharap dapat meningkatkan tahap kesedaran warga kampus terhadap kepentingan kesejahteraan mental serta menggalakkan penggunaan perkhidmatan sokongan yang disediakan oleh universiti.
20 Julai 2025
Slot Pengenalan Pusat Sejahtera telah dilaksanakan sempena Hari Suaikenal (HSK) Kemasukan Pelajar Diploma Baharu Julai 2025 pada 20 Julai 2025 (Ahad) dari jam 9.00 pagi hingga 10.00 pagi. Program ini telah berlangsung serentak di Dewan Astaka UMPSA Gambang dan Dewan Sebaguna UMPSA Pekan dengan penyertaan seramai 1,000 orang pelajar diploma baharu.
Penganjuran slot ini bertujuan mendekati pelajar dalam memberi pendedahan awal berkaitan peranan dan perkhidmatan Pusat Sejahtera, di samping menyediakan pengisian profil pelajar sempena program Hari Suaikenal. Slot pengenalan ini telah disampaikan oleh Pn. Siti Norni binti Mohd Daud dan Pn. Nur Azila binti Osman, yang menekankan kepentingan kesejahteraan mental, emosi serta sokongan psikososial sebagai asas kepada kejayaan akademik dan penyesuaian pelajar di persekitaran universiti.
Secara keseluruhannya, pelaksanaan slot ini telah berjalan dengan lancar dan mendapat kerjasama yang baik daripada pelajar serta barisan AJK yang terdiri daripada staf-staf Pusat Sejahtera. Program ini mencerminkan komitmen berterusan UMPSA dalam menyokong kesejahteraan holistik pelajar sejak peringkat awal kemasukan ke universiti.
9 Ogos 2025
Slot Pusat Sejahtera sempena Hari Orientasi Pelajar Asasi dan Diploma UMPSA 2025 telah berjaya dilaksanakan pada 9 Ogos 2025 (Sabtu) bertempat di Dewan Tun Fatimah, UMPSA Kampus Gambang. Program yang berlangsung dari 8.00 pagi hingga 1.00 petang ini melibatkan penyertaan seramai 70 orang pelajar baharu daripada program Asasi dan Diploma.
Slot ini bertujuan untuk mendekati pelajar baharu dengan memberikan input berkaitan perkhidmatan Pusat Sejahtera, di samping membantu pelajar dalam pengisian profil kendiri sebagai langkah awal sokongan kesejahteraan emosi dan psikologi sepanjang tempoh pengajian. Pendedahan awal ini diharap dapat meningkatkan kesedaran pelajar terhadap peranan dan fungsi Pusat Sejahtera sebagai pusat sokongan holistik universiti.
Slot Pusat Sejahtera telah disampaikan oleh Pn. Farah Hazlini binti Mohd Som, Pegawai Psikologi Pusat Sejahtera. Penganjuran slot ini mencerminkan komitmen berterusan Pusat Sejahtera UMPSA dalam menyokong kesejahteraan dan penyesuaian pelajar baharu ke alam universiti.
22 Julai 2025
Program Mind Matter: Mental Wellness on the Research Journey UMPSA 2025 telah berjaya dilaksanakan pada 22 Julai 2025 (Selasa) bermula jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang bertempat di Dewan Tun Teja, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Kampus Gambang. Program ini dianjurkan oleh Postgraduate Association (PGA UMPSA) dengan kerjasama Pusat Sejahtera, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), UMPSA dan telah disertai oleh 22 orang pelajar pascasiswazah.
Program ini bertujuan untuk meningkatkan pemahaman dan kesedaran pelajar pascasiswazah terhadap kepentingan penjagaan kesihatan mental sepanjang perjalanan penyelidikan. Pelbagai pengisian telah dilaksanakan termasuk ujian personaliti dan Depression Anxiety Stress Scales (DASS), sesi ceramah berkaitan kesihatan mental oleh kaunselor berdaftar, serta aktiviti berkumpulan yang menekankan aspek pengurusan stres, komunikasi berkesan dan sokongan emosi.
Secara keseluruhannya, program ini berjaya mencapai objektif penganjurannya dengan memberi pendedahan menyeluruh kepada peserta mengenai kesejahteraan emosi dan psikologi dalam menghadapi cabaran akademik dan penyelidikan. Program ini juga menjadi platform sokongan yang positif untuk perkongsian pengalaman, pembinaan daya tahan mental, serta memupuk budaya saling menyokong dalam kalangan pelajar pascasiswazah UMPSA.
14 Jun 2025
Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEKERTI @ IPTA UMPSA) telah berjaya dilaksanakan pada 14 Jun 2025 (Sabtu) bertempat di Dewan Banquet Canseleri, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Pekan. Program yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga 5.00 petang ini bertujuan menyebarkan ilmu dan meningkatkan kesedaran berkaitan pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial dalam kalangan warga institusi pengajian tinggi, merangkumi aspek kesaksamaan gender, kehidupan sihat tanpa keganasan serta pemupukan nilai-nilai murni sejajar dengan Dasar Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Kebangsaan.
Program ini telah disampaikan oleh penceramah jemputan, En. Muhammad Syamim Aiman bin Abd Hamid, dengan pengisian berbentuk ceramah dan interaksi yang memberi penekanan kepada kefahaman menyeluruh terhadap isu kesihatan reproduktif dan sosial. Seramai 40 orang peserta telah mengambil bahagian dan menunjukkan komitmen yang baik sepanjang pelaksanaan program.
Penganjuran program ini adalah di bawah anjuran Pusat Kesihatan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (PKU) dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta Pusat Sejahtera. Kerjasama strategik ini mencerminkan komitmen berterusan semua pihak dalam memperkasakan pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial di peringkat universiti, sekali gus menyokong pembentukan generasi yang berpengetahuan, bertanggungjawab dan berakhlak mulia.
PROGRAM TEAM BUILDING JAWATANKUASA SAMBUTAN BULAN KAUNSELING 2025
14 Jun 2025
Program Team Building Jawatankuasa Sambutan Bulan Kaunseling 2025 telah dilaksanakan pada 14 Jun 2025 (Sabtu) bertempat di Pusat Rekreasi Air UMPSA Kampus Pekan, bermula jam 7.00 pagi hingga 5.30 petang. Program ini melibatkan penyertaan jawatankuasa induk dan pelajar sebagai persediaan strategik bagi memperkukuh perancangan serta pelaksanaan Sambutan Bulan Kaunseling yang dijadualkan berlangsung pada Oktober 2025.
Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk memperkukuh kerjasama berpasukan, meningkatkan keupayaan kepimpinan serta mempertingkatkan komunikasi berkesan dalam kalangan peserta. Pelbagai aktiviti team building yang dirangka secara sistematik telah dilaksanakan bagi membina kepercayaan, memperkukuh hubungan profesional serta mewujudkan sinergi kerja yang lebih berkesan antara staf dan pelajar.
Program ini telah diuruskan oleh Pn. Siti Norni binti Mohd Daud dengan penglibatan seramai 21 orang peserta yang terdiri daripada staf dan pelajar UMPSA. Penganjuran program merupakan hasil kolaborasi antara staf Pusat Sejahtera dan barisan AJK pelajar UMPSA, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan dalam menyokong pengurusan program kaunseling universiti secara berkesan dan mampan.
18 & 19 Jun 2025
Booth Pameran Pusat Sejahtera telah dilaksanakan sempena Hari Terbuka Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) bersempena Sambutan Hari TVET Negara 2025 pada 18 hingga 19 Jun 2025 (Rabu dan Khamis), bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang bertempat di Kompleks Sukan UMPSA Kampus Gambang. Program ini dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan melibatkan penyertaan lebih 100 orang pengunjung terdiri daripada pelajar UMPSA serta masyarakat luar.
Penganjuran booth ini bertujuan memberi pendedahan kepada warga kampus dan masyarakat mengenai kepentingan kesejahteraan diri, kesihatan mental serta keseimbangan emosi dalam kehidupan seharian. Melalui pameran dan aktiviti interaktif yang disediakan, pengunjung berpeluang mengenali peranan Pusat Sejahtera sebagai penyedia perkhidmatan sokongan pelajar, di samping menyertai aktiviti santai yang membantu mengurangkan tekanan serta meningkatkan kesejahteraan psikologi.
Sepanjang program, Booth Pusat Sejahtera telah menyediakan pelbagai pengisian termasuk pameran perkhidmatan kaunseling, promosi program kesejahteraan serta sokongan psikososial untuk pelajar dan staf universiti. Aktiviti interaktif seperti permainan tradisional turut mendapat sambutan yang menggalakkan. Secara keseluruhannya, penganjuran booth ini telah menerima maklum balas yang positif dan berjaya mencapai objektif penganjurannya, sekali gus mencerminkan komitmen UMPSA dalam menyokong pembangunan holistik mahasiswa yang seimbang dari aspek akademik, kemahiran teknikal, emosi dan sahsiah.
21 Mei 2025
Program Online Sharing Session: “Mental Resilience” telah dianjurkan sempena Bulan Kesedaran Kesihatan Mental Univerisiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah 2025 pada 21 Mei 2025 (Rabu) bermula jam 9.00 malam hingga 10.00 malam secara atas talian melalui Microsoft Teams. Program ini dianjurkan oleh Pusat Sejahtera UMPSA dan disertai oleh 174 peserta, terdiri daripada staf dan pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
Sesi perkongsian ini telah disampaikan oleh Encik Amirul Ramli, seorang Public Speaker & Mental Health Advocate, dengan fokus untuk membina daya ketahanan diri dan kekuatan mental dalam kalangan warga UMPSA. Sepanjang sesi, peserta didedahkan dengan strategi pengurusan emosi, teknik membina resilience, serta panduan praktikal untuk mengurus tekanan akademik, kerjaya, dan kehidupan harian. Forum talk yang interaktif turut disertai dengan sesi soal jawab, membolehkan peserta berinteraksi terus dengan penceramah.
Program ini bertujuan memperkasa kesejahteraan emosi warga kampus, meningkatkan kesedaran tentang kepentingan penjagaan kesihatan mental, dan memberikan inspirasi untuk menghadapi cabaran dengan lebih positif. Maklum balas peserta menunjukkan bahawa sesi ini memberi panduan praktikal dan motivasi, membantu mereka membina pemikiran positif serta mencari penyelesaian ketika berdepan kesukaran.
27 Mei 2025
Klinik Profiling Pusat Sejahtera 2025 telah dianjurkan pada 27 Mei 2025 (Selasa) bermula jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang bertempat di Payung Putih, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah Kampus Gambang oleh Pusat Sejahtera, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), UMPSA. Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk mengenali diri, memahami potensi sebenar, serta kesesuaian dengan kursus pengajian dan hala tuju kerjaya.
Sepanjang program, pelajar mengakses sistem profiling EComm dan melengkapkan dua ujian utama, iaitu Holland Test dan Big 5 Test. Kaunselor kemudiannya memberikan penerangan terperinci mengenai ciri personaliti peserta dan motivasi berdasarkan keputusan ujian, sekaligus membantu mereka membina keyakinan diri dan membuat keputusan akademik serta kerjaya yang lebih tepat.
Berdasarkan maklum balas peserta, program ini memberikan impak positif dengan pengalaman yang bermakna. Klinik Profiling diharap menjadi pemangkin untuk mahasiswa mengenali potensi diri, merancang masa depan dengan jelas, dan bersedia menjadi aset berharga kepada universiti dan negara.
31 Mei 2025 & 1 Jun 2025
Pementasan Teater “Realusinasi” sempena Bulan Kesedaran dan Kesihatan Mental UMPSA 2025 telah berlangsung dengan jayanya pada 31 Mei hingga 1 Jun 2025 bertempat di Dewan Peperiksaan Elektrik, FTKEE, UMPSA Kampus Pekan. Program ini dianjurkan oleh Pusat Kebudayaan UMPSA dengan kerjasama Pusat Sejahtera, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA) serta tenaga produksi daripada Kelab Senandika, Kelab Waris, dan Kelab Shutterbuster UMPSA. Pementasan ini telah disaksikan oleh 107 penonton terdiri daripada staf, pelajar, dan orang awam, manakala 44 tenaga produksi berganding bahu menjayakan program.
Teater “Realusinasi” mengisahkan seorang wanita yang menghadapi konflik emosi bersama kekasihnya sehingga memerlukan rawatan pakar psikiatri. Pementasan ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mental dan memahami keperluan rawatan bagi pesakit. Majlis turut diserikan dengan kehadiran barisan pengurusan universiti, termasuk Dato’ Seri Dr. Ahmad Johari bin Mohd, Puan Haryani binti Abdullah, Puan Faridah binti Mohd Ali, dan Encik Mohd Zaki bin Ahmad, serta pensyarah, pegawai psikologi, staf Pusat Sejahtera, ibu bapa, keluarga, dan alumni.
Menurut maklum balas penonton, pementasan ini berjaya membuka mata masyarakat untuk lebih peka terhadap isu kesihatan mental, menghargai sokongan, dan memahami rawatan yang diperlukan oleh pesakit. Program diakhiri dengan sesi bergambar bersama pasukan produksi dan tetamu jemputan, menandakan kejayaan pementasan serta kesan positif kepada semua yang hadir.
19 April 2025
Program Remaja Sihat Tanpa AIDS (PROSTAR 2.0) merupakan inisiatif pendidikan kesihatan kendalian Kementerian Kesihatan Malaysia yang bertujuan meningkatkan kesedaran remaja terhadap HIV/AIDS serta mempromosikan gaya hidup sihat dan bebas risiko. Majlis Penutup PROSTAR 2.0 Peringkat UMPSA telah berjaya dilaksanakan pada 19 April 2025 bertempat di Dewan Tun Fatimah, UMPSA Gambang, melibatkan seramai 80 orang pelajar UMPSA melalui kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) dan Pusat Sejahtera UMPSA.
Majlis ini turut diserikan dengan Forum PROSTAR 2.0 Negeri Pahang bertemakan “To My Future Self, It’s Time to Stop” yang menampilkan tiga panel jemputan iaitu Dr. Iskandar Firzada bin Osman, Ustaz Mohd Hafidz bin Mohamad Suhaile dan Puan Paridah binti Mohd Ali, serta dikendalikan oleh Puan Nur Atiqah binti Mohd Nor.
Majlis penutup telah disempurnakan oleh Profesor Madya Dr. Nizam bin Mohd Kahar, Penolong Timbalan Naib Canselor, JHEPA UMPSA. Secara keseluruhan, program ini berjaya memperkasa pelajar melalui perkongsian ilmu kesihatan dan kesedaran gaya hidup sihat, sejajar dengan komitmen Pusat Sejahtera dalam menyokong kesejahteraan holistik komuniti kampus.
UNIVERSITY YOUNG MOTIVATOR
COMPETITION (UMAC) 2025
10 Mei 2025
Program University Young Motivator Competition (UMAC) UMPSA 2025 telah berlangsung dengan jayanya pada 10 dan 11 Mei 2025 bertempat di Dewan Tun Fatimah, UMPSA Kampus Gambang. Program anjuran Pusat Sejahtera dengan kerjasama Persatuan Siswa Sejahtera (PERSIS) UMPSA ini merupakan pertandingan pengucapan awam berunsur motivasi yang menjadi platform pemilihan wakil UMPSA ke Intervarsity Young Motivator Competition (IMAC).
Program ini disertai oleh 13 orang pelajar UMPSA dan dibahagikan kepada dua fasa utama, iaitu Ujian Saringan pada 10 Mei dan Peringkat Akhir pada 11 Mei. Sepanjang pertandingan, peserta berpeluang menyampaikan ucapan bertemakan motivasi dan pembangunan diri di hadapan panel hakim, dengan penilaian berdasarkan penyampaian, keaslian idea, impak mesej, dan karisma.
UMAC 2025 berjaya memberi pengalaman berharga kepada peserta, mengasah kemahiran komunikasi, keyakinan diri, serta kemampuan memotivasikan rakan sebaya. Program ini juga memperkukuh semangat kerjasama, budaya ilmu, dan keberanian tampil ke hadapan dalam kalangan pelajar. Diharapkan pertandingan ini dapat diteruskan sebagai acara tahunan berprestij, menjadi platform untuk melahirkan motivator muda berkaliber dan berpengaruh di masa hadapan.
15 Mei 2025
Booth A.D.A.B x Healing – Youth Mania Festival (YMF) 2025 telah berlangsung pada 15 Mei 2025 bertempat di Kompleks Sukan, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Kampus Gambang bermula jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang. Program ini dianjurkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama UMPSA dan Pusat Sejahtera, sebagai sebahagian daripada UMPSA Youth Mania Festival 2025, sempena Hari Belia dan Bulan Kesedaran Kesihatan Mental. Booth ini menerima kehadiran kira-kira 100 orang pengunjung, termasuk pelajar dan warga kampus.
Booth A.D.A.B x Healing menyediakan pelbagai aktiviti interaktif yang bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesejahteraan mental, pemulihan emosi, dan pengurusan tekanan. Selain itu, forum terbuka bertajuk “Peluk Diri, Sayang Minda” turut diadakan bagi memberi peluang kepada pengunjung untuk berkongsi pengalaman, mendapatkan bimbingan, dan memupuk kesedaran terhadap penjagaan minda dan emosi. Program ini diharap dapat memupuk kebersamaan, kreativiti, dan kesejahteraan diri dalam kalangan generasi muda serta menyemarakkan budaya kesihatan mental di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).
4 Oktober 2025
Program Self Adaptation 3 – Oktober 2025 telah berjaya dilaksanakan pada 4 Oktober 2025 (Sabtu) bermula jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang bertempat di Dewan Kuliah 1, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Kampus Pekan. Program ini merupakan anjuran Pusat Sejahtera, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), UMPSA sebagai inisiatif berterusan dalam menyokong penyesuaian diri dan kesejahteraan pelajar.
Program ini telah dirasmikan penutupannya oleh Puan Paridah binti Mohd Ali, Pengarah Pusat Sejahtera, manakala sesi pengisian disampaikan oleh barisan Pegawai Psikologi Pusat Sejahtera iaitu Puan Fara Hazlini binti Mohd Som, Puan Siti Norni binti Mohd Daud, Puan Nur Azila binti Osman, Puan Nur Atiqah binti Mohd Nor dan Encik Muhammad Syamim Aiman bin Abd Hamid. Pengisian program memberi fokus kepada aspek penyesuaian diri di persekitaran universiti, pengurusan emosi, kemahiran komunikasi serta strategi menghadapi cabaran akademik dan sosial.
Pelaksanaan Program Self Adaptation 3 ini bertujuan untuk membantu pelajar menyesuaikan diri secara holistik dengan alam pengajian tinggi, meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan kesejahteraan mental dan sosial, serta membina keyakinan diri dalam kalangan pelajar. Program ini juga menjadi platform sokongan yang positif melalui perkongsian pengalaman serta bimbingan profesional, selaras dengan usaha UMPSA mewujudkan persekitaran kampus yang sejahtera dan kondusif.
18 Mac 2025
Program Self Adaptation telah berjaya dilaksanakan pada 18 Mac 2025 (Selasa), bermula jam 8.30 pagi hingga 1.00 petang bertempat di WDKU-S-01, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Kampus Gambang. Program ini merupakan anjuran Pusat Sejahtera, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), UMPSA dan telah disertai oleh 27 orang pelajar baharu.
Program ini telah dirasmikan penutupannya oleh Puan Paridah binti Mohd Ali, Pengarah Pusat Sejahtera. Sesi pengisian disampaikan oleh tiga orang Pegawai Psikologi Pusat Sejahtera, iaitu Puan Nur Atiqah binti Mohd Nor, Puan Fara Hazlini binti Mohd Som, dan Puan Siti Norni binti Mohd Daud. Para peserta didedahkan dengan pengisian berkaitan penyesuaian diri di persekitaran universiti, pengurusan emosi, kemahiran komunikasi, serta strategi menghadapi cabaran akademik dan sosial.
Program Self Adaptation bertujuan membantu pelajar baharu menyesuaikan diri secara holistik di universiti, meningkatkan kesedaran tentang kepentingan kesejahteraan mental, serta membekalkan kemahiran daya tindak dan sokongan kendiri yang berkesan. Selain itu, program ini turut diharapkan dapat menyokong proses transisi pelajar ke alam pengajian tinggi dengan lebih positif, sambil membina persekitaran kampus yang harmonis dan kondusif.
2 Ogos 2025
Program Self Adaptation 2 bagi Diploma Kemasukan Julai 2025 telah berjaya dilaksanakan pada 2 Ogos 2025 (Sabtu) bermula jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang bertempat di WDKU-S-01, UMPSA Kampus Gambang. Program ini merupakan anjuran Pusat Sejahtera, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), UMPSA dan telah disertai oleh 69 orang pelajar Diploma kemasukan Julai 2025.
Program ini telah dirasmikan penutupannya oleh Puan Paridah binti Mohd Ali, Pengarah Pusat Sejahtera, manakala sesi pengisian disampaikan oleh beberapa orang Pegawai Psikologi Pusat Sejahtera, iaitu Puan Fara Hazlini binti Mohd Som, Puan Siti Norni binti Mohd Daud, Puan Nur Azila binti Osman, Puan Nur Atiqah binti Mohd Nor dan Encik Muhammad Syamim Aiman bin Abd Hamid. Para peserta didedahkan dengan pengisian berkaitan penyesuaian diri, pengurusan emosi, kemahiran komunikasi, serta strategi menyesuaikan diri dalam persekitaran universiti.
Program Self Adaptation ini bertujuan membantu pelajar baharu menyesuaikan diri dengan alam pengajian tinggi, membina keyakinan diri, serta meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan kesejahteraan mental dan sosial. Program ini juga menjadi platform untuk berkongsi pengalaman, mendapatkan sokongan rakan sebaya dan bimbingan daripada pakar psikologi, seterusnya menyokong pelajar menghadapi cabaran akademik dan sosial dengan lebih positif dan kondusif.
27 Februari 2025
Pusat Sejahtera, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan Program Modul Buddy System (Modul 1 dan Modul 2) secara atas talian menerusi Microsoft Teams pada 27 Februari 2025 (Khamis).
Program ini bertujuan membantu pelajar menyesuaikan diri dengan lebih baik di persekitaran universiti serta meningkatkan prestasi akademik melalui perkongsian strategi pembelajaran berkesan dan pengurusan masa dalam menghadapi beban akademik. Inisiatif ini juga memberi pendedahan awal berkaitan asas kaunseling dan kemahiran menolong serta pembangunan kendiri pelajar.
Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang ini telah melibatkan penyertaan seramai 16 orang pelajar UMPSA. Modul 1 bertemakan Pengenalan Kaunseling dan Asas Menolong manakala Modul 2 memberi fokus kepada Pembangunan Diri.
Program ini telah dikendalikan oleh kaunselor Pusat Sejahtera UMPSA iaitu Puan Siti Norni binti Mohd Daud dan Puan Nur Azila binti Osman dengan sokongan jawatankuasa kerja yang terdiri daripada staf Pusat Sejahtera.
Penganjuran program ini diharap dapat memberi manfaat kepada pelajar dalam membina kesejahteraan diri serta menyokong kejayaan akademik dan perkembangan peribadi secara holistik.
15 & 16 Mac 2025
Program Modul Buddy System UMPSA (Modul 3, 4 & 5) telah berjaya dilaksanakan pada 15 dan 16 Mac 2025 (Sabtu dan Ahad) bertempat di Dewan Tun Fatimah, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Kampus Gambang. Program ini merupakan anjuran Pusat Sejahtera, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan melibatkan penyertaan seramai 14 orang pelajar UMPSA.
Program ini telah dikendalikan oleh tiga orang pegawai psikologi iaitu Puan Siti Norni binti Mohd Daud, Puan Fara Hazlini binti Mohd Som dan Encik Muhammad Syamim Aiman bin Abd Hamid. Sepanjang pelaksanaan modul 3, 4 dan 5 ini, para peserta telah didedahkan dengan pelbagai panduan dan kemahiran sokongan yang bertujuan membantu pelajar menyesuaikan diri dengan persekitaran universiti secara lebih berkesan.
Selain itu, program ini turut memberi penekanan kepada peningkatan prestasi akademik melalui perkongsian strategi pembelajaran yang efektif, pengurusan masa yang sistematik serta pendekatan menangani beban akademik. Secara keseluruhannya, pelaksanaan Modul Buddy System ini diharap dapat menyokong kesejahteraan pelajar serta membentuk jaringan sokongan rakan sebaya yang positif dalam kalangan warga pelajar UMPSA.
15 & 16 November 2025
Program Buddy System 2.0 telah berjaya dilaksanakan pada 15 dan 16 November 2025 (Sabtu dan Ahad) bermula jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang bertempat di Dewan Tun Fatimah, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Kampus Gambang. Program ini merupakan anjuran Pusat Sejahtera, Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (JHEPA), UMPSA dan telah disertai oleh seramai 34 orang pelajar UMPSA yang mendaftar sebagai buddy.
Program ini telah dirasmikan penutupannya oleh Pengarah Pusat Sejahtera, Puan Paridah binti Mohd Ali. Pengisian modul telah disampaikan oleh dua orang Pegawai Psikologi Pusat Sejahtera, iaitu Puan Siti Norni binti Mohd Daud dan Encik Muhammad Afif bin Kamaruddin, yang menekankan aspek peranan rakan pembimbing, kemahiran komunikasi berkesan serta sokongan psikososial dalam kalangan pelajar.
Pelaksanaan Program Buddy System 2.0 ini bertujuan untuk memperkasa peranan pelajar sebagai rakan sokongan, membantu pelajar menyesuaikan diri dengan persekitaran universiti serta memupuk hubungan rakan sebaya yang positif. Di samping itu, program ini juga diharap dapat meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan kesejahteraan mental, kemahiran kepimpinan dan tanggungjawab sosial dalam membentuk komuniti kampus yang sejahtera dan inklusif.