Sila baca dengan teliti surat tawaran dan pastikan anda melapor diri di kampus dan lokasi yang betul. Pastikan semua borang-borang yang berkaitan telah diisi dengan lengkap dan dokumen-dokumen yang berkenaan dibawa.
Walaupun (mungkin) tidak dinyatakan di dalam senarai semak, sila bawa salinan slip gaji sekurang-kurang tiga (3) bulan yang lepas dan surat pengesahan majikan sekiranya anda bekerja di organisasi lain sebelum menyertai UiTM.
Kebiasaannya, anda dikehendaki untuk melapor diri di Pejabat Pentadbiran di https://goo.gl/maps/K1ZQvcs4oKpZuMuX9.
Pegawai pentadbiran yang bertugas akan menyemak borang-borang dan dokumen untuk memastikan semuanya lengkap. Selepas itu, anda akan diberikan kunci bilik pejabat di blok yang telah ditetapkan. Sekiranya berpuas hati dengan bilik yang disediakan, anda akan mengisi dan mengembalikan borang penerimaan kunci dan bilik pejabat.
Tidak pasti lokasi blok pejabat? Sila rujuk peta ini:
Peta UiTM Kampus Samarahan
Peta UiTM Kampus Samarahan 2
Seterusnya, melapor diri dengan Ketua Pusat Pengajian (KPP) anda. Di peringkat UiTM cawangan, pegawai atasan langsung di fakulti anda adalah KPP. Anda boleh mendapatkan nombor telefon KPP anda dari pegawai pentadbiran ketika anda mula melapor diri. Sila hubungi KPP anda terlebih dahulu untuk membuat temujanji lapor diri di peringkat fakulti.
Untuk mengetahui siapakah KPP anda, sila rujuk di pautan berikut dan lihat di bahagian Head of School: https://sarawak.uitm.edu.my/index.php/discover-us/directory
Anda telah mengetahui siapakah KPP atau pun pegawai atasan langsung anda. Anda bolehlah melihat secara keseluruhan struktur organisasi UiTM Cawangan Sarawak di pautan ini: https://sarawak.uitm.edu.my/index.php/discover-us/top-management. Sebagai pensyarah di bawah fakulti anda, anda juga dinasihatkan untuk melapor diri kepada Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa (TRek HEA & A) iaitu Prof. Madya Ts. ChM. Dr. Mohammad Isa Mohamadin. Untuk tujuan ini, anda boleh membuat temujanji melalui setiausaha beliau.
Merujuk kepada surat tawaran, anda dikehendaki untuk melakukan “Tapisan Keselamatan Kasar” dalam masa 30 hari setelah melapor diri.
Tapisan Keselamatan Kasar ialah proses asas yang digunakan bagi menapis pegawai awam, komuniti keselamatan yang dikehendaki melihat rahsia rasmi setakat peringkat “Sulit” atau perkara-perkara yang boleh menjejaskan keselamatan perlindungan.
Permohonan Tapisan Keselamatan Kasar boleh dibuat melalui Sistem e-Vetting 2.0
Link evetting https://evetting.cgso.gov.my/cgso/login.jsf
Seorang staf layak disahkan ke dalam perkhidmatan apabila telah berkhidmat dalam perkhidmatan tetap dengan tempoh percubaan satu (1) hingga tiga (3) tahun.
Staf juga perlu memenuhi syarat-syarat perkhidmatan seperti berikut:
Telah menjalani tempoh percubaan dengan jayanya sama ada tempoh percubaan asal (satu (1) hingga tiga (3) tahun) atau yang dilanjutkan;
Hadir dengan jayanya Program Transformasi Minda (PTM)/ Induksi/ program-program lain yang setaraf;
*bagi program PTM, staf hendaklah mendaftar terlebih dahulu bagi mendapat tempat sebagai peserta untuk program ini. Sila hubungi staf pentadbiran bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan dengan cara mendaftar.
Lulus peperiksaan perkhidmatan yang disyaratkan;
Diperakukan layak untuk disahkan ke dalam perkhidmatan oleh Ketua Jabatan; dan
Khusus bagi Pensyarah Pelatih Perubatan dan Pergigian:-
a. Memiliki kelayakan kepakaran atau ijazah sarjan dalam bidang berkenaan yang disyaratkan;
b. Telah berkhidmat sekurang-kurangnya tiga (3) tahun.
Pensyarah Gred DM45 dan ke atas yang dilantik pada dan selepas 1 November 2002 perlu selesai menghasilkan satu (1) projek penyelidikan dan diperakukan oleh Ketua Jabatan bagi tujuan pengesahan ke dalam perkhidmatan.
Pensyarah (mulai Gred 41 dan ke atas) yang dilantik pada dan selepas 1 Januari 2005 perlu hadir dengan jayanya Kursus Asas Pengajaran dan Pembelajaran Pensyarah UiTM yang dianjurkan oleh Institut Kepimpinan dan Pengurusan Kualiti (iLQaM) bagi tujuan pengesahan ke dalam perkhidmatan.