Festival Agromakanan dan Bioteknologi (FAMB) merupakan program yang diadakan setiap tahun yang dianjurkan oleh Bahagian Kurikulum (BK) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) bersama kelolaan oleh Politeknik di bawah bidang Teknologi Pertanian. Pada tahun ini, FAMB 2024 akan diadakan di Politeknik Sandakan Sabah (PSS). Pembentangan kertas penyelidikan merupakan program utama dalam FAMB 2024, di samping pertandingan inovasi, pertandingan keusahawanan dan Smart Community Programme. Festival ini telah dijadikan acara tahunan dengan mengumpulkan lima (5) buah politeknik dan tiga belas (13) buah kolej komuniti di bawah bidang teknologi pertanian dalam satu program yang bertujuan untuk meningkatkan hubungan dan interaksi ilmiah di antara institusi yang terlibat. Tahun ini merupakan tahun ke-sepuluh penganjuran FAMB.
Tujuan FAMB 2024 ini diadakan bagi mengumpulkan lebih ramai penyelidik, pelajar, agensi kerajaan dan swasta dalam satu penganjuran yang akan memberikan impak yang lebih besar. Penganjuran program ini juga merupakan satu platform kepada perkongsian hasil kajian, idea dan ilmu di antara seluruh warga politeknik, kolej komuniti, institusi pendidikan tinggi, universiti awam serta agensi-agensi kerajaan dan swasta yang terlibat dalam bidang teknologi pertanian. Pembentangan kertas penyelidikan, pertandingan inovasi serta keusahawanan di dalam festival ini juga bagi memberi ruang dan peluang kepada pensyarah-pensyarah politeknik dan kolej komuniti untuk memenuhi kriteria kecemerlangan dalam permohonan kenaikan pangkat. Pada tahun ini, program tanggungjawab sosial korporat atau dinamakan Smart Community Programme merupakan salah satu acara berimpak tinggi di mana para pelajar akan menanam anak pokok bakau di salah sebuah tempat yang telah dipilih. Acara ini merupakan kerjasama antara pelbagai industri, agensi kerajaan dan NGO yang terpilih.
Jabatan Agroteknologi dan Bio-Industri, Politeknik Sandakan Sabah dipilih sebagai tuan rumah penganjuran festival kali ini. Festival ini juga merupakan usaha bersama jabatan dan unit Politeknik Sandakan Sabah untuk menyahut Pelan Strategik Politeknik dan Kolej Komuniti (2018-2025) bagi membangunkan sumber manusia yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi serta kreatif dan berinovasi dengan bimbingan Bahagian Kurikulum (BK) Bidang Teknologi Pertanian, JPPKK bagi menyediakan khidmat kepakaran yang diperlukan sebelum dan semasa seminar tersebut berlangsung.Â