2.1 SEBUTAN
Dalam pengkajian bahasa, bidang yang mengkaji sebutan bunyi manusia (pertuturan) dipanggil fonetik. Secara lebih khusus, fonetik mengkaji unsur-unsur bunyi bahasa yang digunakan dalam pertuturan. Manusia mengkaji bunyi-bunyi bahasa bagi membuat deskripsi bunyi-bunyi sesuatu bahasa, membuat penggolongan bunyi-bunyi tersebut dan membuat transkripsinya. Bunyi-bunyi itu didengar terlebih dahulu sebelum dideskripsi. Oleh sebab itu, bunyi-bunyi yang dikaji dirakan terlebih dahulu.
Prinsip sebutan
a)Alat Ujaran
Banyak alat yang terlibat dalam menghasilkan bunyi bahasa. Alat-alat ini dapat dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu:
Alat yang terlibat dengan sistem pernafasan, yakni yang berkaitan dengan sistem udara yang keluar dan masuk ke paru-paru; dan
Alat yang terlibat secara langsung dengan proses pengeluaran bunyi bahasa, misalnya bahagian-bahagian lidah.
b)Alat Pernafasan
Badan kita mempunyai sistem pernafasan yang bertujuan untuk menyedut oksigen bagi membersihkan darah. Di samping tugas ini, sistem pernafasan juga berfungsi sebagai alat penghasilan bunyi bahasa. Dalam sistem pernafasan, alat-alat penting yang terlibat dengan penghasilan bunyi bahasa ialah paru-paru, rongga rengkung, rongga tekak, rongga hidung dan rongga mulut
c)Organ Sebutan
Organ sebutan ialah organ yang terlibat secara langsung dalam proses pengeluaran bunyi iaitu seperti lidah, bibir, lelangit keras, lelangit lembut dan pita suara z
i.Alat Artikulasi
Alat Artikulasi ialah alat ujaran yang boleh membuat penyempitan dan boleh bergerak semasa menghasilkan bunyi bahasa. Antara contoh alat artikulasi ialah bibir, tulang rahang, lidah, lelangit lembut dan pita suara. Tiap-tiap alat artikulasi memainkan peranan tersendiri sewaktu menghasilkan bunyi-bunyi bahasa. Sewaktu bunyi bahasa terhasil, alat-alat ini akan bersentuh dengan bahagian-bahagian tertentu dalam daerah artikulasi. Bahagian-bahagian ini dipanggil titik artikulasi.
ii.Titik Artikulasi
Dalam menghasilkan bunyi-bunyi bahasa, titik artikulasi dan alat artikulasi menjadi nadi paling penting. Bunyi-bunyi bahasa dikeluarkan secara sistematik dan melibatkan banyak proses. Selain organ seperti paru-paru, larings dan sebagainya, penghasilan bunyi-bunyi bahasa akan melibatkan titik dan cara artikulasi.
1. Bibir atas
2. Bibir bawah
3. Gigi atas
4. Gigi bawah
5. Gusi
6. Lelangit keras
7. Lelangit lembut
8. Anak tekak
9. Hujung lidah
10. Hadapan lidah
11. Tengah lidah
12. Belakang lidah
13. Akar lidah
14. Epiglottis
15. Pita suara
16. Rongga tekak
17. Rongga hidung
18. Rongga mulut
19. Rahang
20. Tenggorok
INTONASI
Intonasi ialah turun naik nada suara apabila kita bertutur. Dalam pertuturan yang normal, nada suara kita berbeza- beza tinggi dan rendah. Nada suara yang berubah-ubah mencerminkan maksud isi pertuturan dan emosi kita semasa bertutur. Adakalanya, sesuatu ayat, jika diujarkan dengan intonasi yang berbeza, akan membawa maksud yang sangat berbeza. Malahan ada orang yang hampir hilang taraf kerakyatan kerana pertututannya ditafsirkan oleh orang lain dengan intonasi yang berbeza daripada yang sebenarnya dia tuturkan!
Teliti dan ucapkan ayat-ayat berikut mengikut nada suara yang biasa digunakan:
1. Nama saya Roslan.
2. Sila masuk ke rumah saya.
3. Adik, jangan bermain di tepi parit itu.
4. Jangan bantah arahan saya.
5. Cis, pantang aku dicabar!
6. Tuan, boleh saya tolong?
7. Keluar!
8. Wah, besarnya rumah awak!
9. Aduhai, malang sungguh nasibku!
10. Sampai juga saya akhirnya.
Komponen intonasi
Intonasi turut memainkan peranan dalam tatabahasa bahasa Melayu. Antara peranan intonasi dalam ayat adalah untuk membezakan bahagian-bahagian subjek dan predikat dalam ayat. Dalam bahasa Inggeris, pemisahan antara subjek dengan predikat ditandai dengan kata kerja pada predikat. Hal tersebut tidak semestinya berlaku dalam bahasa Melayu kerana berdasarkan pola bahasa Melayu, hanya satu pola sahaja yang membentuk predikat daripada kata kerja iaitu pola FN + FK. Dalam hal ini, intonasi menjadi tanda pemisah antara subjek dengan predikat dalam bahasa Melayu. Perhatikan ayat berikut:
1. Isteri saya pegawai kerajaan.
Ayat di atas boleh dipisahkan dengan intonasi yang sesuai menjadi Isteri saya (subjek) dan pegawai kerajaan (predikat). Demikian juga bagi ayat berikut:
2. Doktor Azman sedang merawat pesakit.
Dengan intonasi yang berbeza, subjek Doktor Azman dapat dibezakan dengan predikat sedang merawat pesakit.
Turun naik intonasi ditandakan dengan angka 1,2,3 dan 4. Angka 1 merupakan nada yang paling rendah dan 4 merupakan nada paling tinggi. Nada 2 merupakan permulaan dalam ujaran sesuatu ayat, sementara nada 3 dianggap sebagai nada tekanan. Selalunya untuk menyempurnakan huraian, garis turun naik digunakan untuk memperlihatkan intonasi yang berbeza-beza.
Intonasi dalam Ayat bahasa Melayu
Bahagian ini akan membicarakan beberapa pola intonasi ayat dalam bahasa Melayu, iaitu:
(i) Ayat penyata biasa
(ii) Ayat tanya
(iii) Ayat perintah
(iv) Ayat songsang
(v) Ayat pasif
(i) Ayat penyata
Intonasi dalam ayat 1 dan 2 di atas merupakan contoh ayat-ayat penyata. Berdasarkan contoh itu, didapati bahawa pola intonasi ayat penyata biasa ialah 2-4-2-3, iaitu seperti berikut:
Isteri saya pegawai kerajaan.
Frasa subjek Isteri saya ditandai tekanan nada 2-4, sementara frasa predikat pegawai kerajaan ditandai tekanan 2-3. Pemisahan subjek-predikat menjadi jelas kerana nada suara turun daripada tekanan 4 pada suku kata akhir frasa subjek ke tekanan 2, iaitu nada permulaan frasa predikat. Tekanan nada 3 pada suku kata akhir menandakan selesainya pengucapan frasa predikat.
(ii) Ayat tanya
Intonasi ayat tanya biasa dalam bahasa Melayu mempunyai tekanan nada 2-4-3-4, dengan nada 3 yang terletak pada suku kata akhir naik semula ke nada 4 sebagai penutup ayat. Contohnya:
Ayah Amin Doktor?
Ayat tanya boleh juga dibentuk dengan partikel –kah yang diletakkan pada predikat yang kemudiannya mengalami penjudulan, yakni dipindahkan ke hadapan ayat kerana predikat yang disertai partikel –kah itu dipentingkan. Daripada ayat biasa Ayah Amin Doktor, ayat tanya dengan partikel –kah berbentuk:
Doktorkah ayah Amin?
Maka intonasi ayat di atas akan bertukar daripada bentuk biasa 2-4-3-4 kepada 2-3-1-4:
(iii) Ayat perintah
Dalam ayat perintah, predikat lebih dipentingkan daripada subjek. Ayat berikut, iaitu:
Keluar!
Sebenarnya terbit daripada ayat asal,
Kamu keluar!
Perkataan kamu, iaitu kata ganti nama diri kedua, telah digugurkan dan meninggalkan predikat masuk. Sebagai frasa predikat, masuk diucapkan dengan nada 2-3 seperti dalam contoh berikut:
Masuk!
(iv) Ayat songsang
Susunan biasa bagi ayat bahasa Melayu ialah Subjek (S) + Predikat (P). Bagaimanapun, dalam percakapan kita sehari-hari, adakalanya kita menuturkan ayat tanpa mengikut susunan biasa itu. Sama ada disedari atau tidak, kita sering juga menuturkan ayat yang mendahulukan predikat daripada subjek. Ayat yang mendahulukan predikat daripada subjek dipanggil ayat songsang.
Susunan biasa Susunan songsang
1a) Rumah Ali besar. Besar rumah Ali.
1b) Pegawai itu tegas. Tegas pegawai itu.
Sebelum ini telah dinyatakan bahawa susunan tekanan nada dalay ayat penyata ialah 2-4-2-3 seperti dalam ayat 1a di atas. Namun, apabila ayat tersebut disongsangkan, susunan tekanan nadanya menjadi 2-3-1, iaitu seperti ayat berikut:
Besar rumah Ali.
Demikian juga dengan ayat berikut:
Tegas pegawai itu.
(v) Ayat pasif
Intonasi bagi ayat pasif biasa sama seperti ayat aktif biasa juga, iaitu 2-4-2-3. Perhatikan contoh-contoh berikut, iaitu (a) merupakan ayat aktif biasa dan (b) ayat pasif biasa:
a)Ahmad belum membaca buku itu.
b)Buku itu belum dibaca oleh Ahmad.
Tetapi intonasi berbeza jika ayat pasif itu merupakan ayat pasif songsang bagi orang pertama dan kedua. Perhatikan ayat-ayat berikut:
a)Saya memohon jawatan itu.
b)Saya pohon jawatan itu.
Ayat a ialah ayat aktif biasa, sementara ayat b ialah ayat pasif songsang, yang berasal daripada:
c. Jawatan itu saya pohon.
Dengan saya pohon sebagai predikatnya. Nada intonasi bagi predikat sesuatu ayat ialah 2-3. Oleh itu intonasi bagi ayat b adalah seperti berikut, iaitu 2-3-1:
b. Saya pohon jawatan itu.
Intonasi bagi ayat-ayat (a) dan (c) pula ialah intonasi ayat penyata biasa, iaitu 2-4-2-3, seperti berikut:
a. Saya memohon jawatan itu
c. Jawatan itu saya pohon.