MAJLIS PERASMIAN PENUTUPAN SAMBUTAN MINGGU PERPADUAN 2025 PERINGKAT NEGERI SEMBILAN
14 SEPTEMBER | Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Minggu Perpaduan 2025 Peringkat Negeri Sembilan telah berlangsung meriah di Gelanggang Petanque, Batu 1 Port Dickson dengan pelbagai booth adat, budaya, agensi Kerajaan dan bukan Kerajaan serta persembahan kebudayaan yang memukau daripada pelbagai kaum. Seramai 10 orang pelajar Politeknik Nilai turut menyertai sambutan ini dan berpeluang menimba pelbagai ilmu menarik seperti cara mengikat tanjak, mengenal pasti panta berkucung serta memahami kepelbagaian warisan budaya yang menjadi lambang keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia. Sambutan ini bukan sahaja memperlihatkan keunikan budaya dan adat yang diwarisi turun-temurun, malah menjadi platform terbaik untuk generasi muda mengenali, menghargai dan menghayati nilai perpaduan yang menyatukan seluruh rakyat.
FESTIVAL MERDEKA PUSPANITA CAWANGAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI 2025
4 SEPTEMBER 2025
Sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan, PUSPANITA Cawangan KPT telah menganjurkan Festival Merdeka 2025 di Dewan Za’ba, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran YBhg. Datin Hajah Rosnih binti Nasir, isteri kepada Timbalan Menteri KPT serta YBhg. Datin Hajah Rusiah binti Haji Saad, Pengerusi Biro Sosial dan Kebudayaan, PUSPANITA CKPT merangkap Pengerusi PUSPANITA Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).
Antara pengisian menarik:
Pertandingan Mewarna (Kanak-kanak Taska
Penyayang Bakti)
Pertandingan Pakaian Tradisional
Persembahan Kanak-kanak Taska Penyayang
Bakti
Persembahan Tarian Kumpulan Semarak Seni
PUSPANITA Politeknik Nilai telah hadir dengan diwakili oleh 2 orang ahli bagi menyokong program tersebut.
TEATER TEMASYA KAMPUNG MENUNG
2 OGOS 2025
Kelab Penggiat Seni Teater Negeri Sembilan dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan telah mengadakan Persembahan Teater Temasya Kampung Menung di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Sembilan. Seramai 30 orang pelajar dan seorang staf Politeknik Nilai telah menyaksikan persembahan tersebut.
Pementasan ini mengetengahkan kisah kehidupan masyarakat kampung yang sarat dengan nilai budaya, kekeluargaan dan cabaran masa.
Penglibatan pelajar dalam program seperti ini dapat memupuk minat terhadap seni persembahan, meningkatkan apresiasi terhadap warisan budaya serta membina pemikiran kritis dan empati melalui penceritaan yang dipentaskan.
MALAM KEMUNCAK SENI GENERASI MUDA PEWARIS BANGSA 2025
25 APRIL 2025
Program ini telah berlangsung di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), Shah Alam yang menyaksikan penyertaan beberapa politeknik dan kolej komuniti di sekitar Perak, Selangor dan Negeri Sembilan antaranya Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang Perak (PSAS), Politeknik Nilai (PNS), Politeknik Banting Selangor (PBS), Kolej Komuniti Kuala Selangor (KKKS) dan penyertaan dari tuan rumah sendiri. Pelbagai tarian kebudayaan dan tradisional telah dipertontonkan dan dipersembahkan kepada penonton yang hadir. Pertama kalinya Politeknik Nilai telah menghantar kumpulan penari Nawang Lela Sari yang dianggotai oleh lapan ( orang pelajar yang merupakan penari Unit Kebudayaan Politeknik Nilai yang diketuai oleh Puan Rosenita binti Yob selaku Pegawai Kebudayaan Politeknik Nilai dan pengurus kepada kumpulan Nawang Lela Sari. Pada malam kemuncak seni ini juga telah menyaksikan pengiktirafan kepada salah seorang daripada penari kumpulan Nawang Lela Sari iaitu Nur Masitah binti Amil Saind yang telah dinobatkan sebagai penari wanita terbaik keseluruhan pada malam tersebut. TAHNIAH!!! dan syabas diucapkan.
POLYCC BATTLE SHOWDOWN 2025
11 - 14 APRIL 2025
POLYCC Battle Showdown 2025 telah diadakan di Politeknik Sultan Azlan Shah, Behrang, Perak telah menyaksikan penyertaan dari 21 buah Politeknik dan 3 buah Kolej Komuniti. Politeknik Nilai turut menghantar kumpulan 5D SYNDICATE bagi menyertai battle of the band tersebut yang diketuai oleh Puan Rosenita binti Yob selaku Pegawai Kebudayaan Politeknik Nilai merangkap Pengurus kepada band tersebut.
Apa yang lebih membanggakan adalah Kumpulan 5D SYNDICATE telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Band Harapan yang membawa pulang wang tunai berjumlah RM250.00 (Ringgit Malaysia: Dua Ratus Lima Puluh sahaja). Tahniah dan syabas kepada kumpulan 5D SYNDICATE. Semoga anugerah ini menjadi pemangkin kepada kejayaan di masa akan datang.