Pada tahun 1999, Jabatan Perkhidmatan Awam telah mengeluarkan satu Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 1999 iaitu Panduan Mewujudkan Perkhidmatan Kaunseling Di Agensi Awam. Melalui Pekeliling ini setiap kementerian dan jabatan diharapkan dapat menubuhkan Unit Perkhidmatan Kaunseling secara formal dan terancang. Sementara Pegawai Kaunseling yang dilantik terdiri daripada pegawai-pegawai sedia ada dan mereka perlu diberi latihan kemahiran asas kaunseling. Bagi memenuhi keperluan ini, Bahagian Pengurusan Psikologi telah menyediakan 21 topik (dipecahkan kepada 2 tahap iaitu Tahap 1 dan Tahap 2) dalam modul Program Peningkatan Kemahiran Kaunseling (PPKK) untuk digunakan oleh kementerian dan jabatan. Setiap modul dilaksanakan selama 4 hari. Tujuan program ini ialah untuk memberi pendedahan dan pemahaman berhubung fungsi dan peranan kaunseling kepada pegawai dalam Perkhidmatan Awam. Selain itu, ia juga untuk meningkatkan pemahaman dan kemahiran kaunseling kepada pegawai agar aplikasi psikologi dapat diterapkan dalam pengurusan sumber manusia di kementerian / jabatan dan agensi kerajaan. Melalui peningkatan kemahiran ini, maka pendekatan modal insan dapat dibangunkan.
Pegawai yang telah tamat kedua-dua tahap program tersebut layak dilantik sebagai Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) serta boleh berfungsi sebagai rakan pembimbing dan mentor di kementerian. Di Kementerian Pendidikan Malaysia kumpulan pertama ahli AKRAB telah ditauliahkan pada November 2008. Lanjutan itu, sehingga 2016, seramai 2,320 orang ahli AKRAB, KPM telah diberi pentauliahan.