Sekolah Kebangsaan Temiang yang terletak kira-kira 13 kilometer di Daerah Simunjan ditubuhkan sejak sebelum merdeka lagi iaitu pada tahun 1950 atas usaha beberapa orang penduduk kampong ketika itu yang tidak mahu ketinggalan dalam soal pendidikan.
Guru Besar yang pertama ditugaskan di sekolah itu ialah Cikgu Mathew sehingga 1951 sebelum digantikan dengan Cikgu Lim Hua pada tahun 1952.Cikgu Lim Hua merupakan satu-satunya guru besar perempuan.Seterusnya beliau digantikan dengan Cikgu Philip Sim sebelum Cikgu Francis Gajik.Pada ketika itu, Sekolah Temiang adalah di bawah tanggungjawab majlis berkuasa tempatan.Umur kemasukan pelajar adalah tidak menentu.Namun, tidak ramai yang berminat ke sekolah pada ketika itu iaitu sekitar belasan orang sahaja.
Pada asalnya, bangunan sekolah didirikan di atas pelasar tanah atas bukit berhampiran rumah panjang.Ianya berdindingkan kulit kayu dan begitu juga atapnya menggunakan kepingan kayu.Kemudahan yang ada amatlah daif.Begitu juga dengan peralatan pengajaran dan rumah guru.Pada tahun 1954, bangunan sekolah baru dibina.Ianya tidak lagi didirikan atas pelasar tanah namun bergantung sedikit.Dindingnya digantikan dengan dinding papan.Atap masih lagi menggunakan kepingan kayu. Lokasinya masih di sekitar kawasan yang sama walaupun tapaknya berbeza. Namun, keadaan fizikalnya masih tidak memuaskan.
Pada tahun 1961, Sekolah Temiang dipindahkan ke Kpg. Sungai Raya.Disana, ianya digabungkan dengan Sekolah Empelas (Combined School).Guru Besar pada ketika itu adalah Cikgu Kenneth Jupang.Pelajarnya bertambah.Penggabungan Sekolah Temiang dengan Empelas juga menyaksikan beberapa Guru Besar telah silih berganti seiring dengan keadaan.Antara yang pernah menjadi Guru Besar Sekolah Temiang/Empelas ialah Cikgu Stephen Yong, Cikgu James Tanggie dan Cikgu Suboh.
Pada tahun 1967, iaitu setelah Sarawak mencapai kemerdekaan melalui Malaysia, Sekolah Temiang dan Empelas tidak lagi bergabung.Masing-masing bersetuju mempunyai sekolah dan bangunan sendiri.Ianya kemudian diletakkan di bawah tanggungjawab Kementerian Pelajaran Malaysia. Maka Sekolah Temiang didirikan semula atas pelasar tanah di lokasi sama pada mula ia ditubuhkan.
Namun dinding masih menggunakan kulit kayu dan atap masih menggunakan kepingan kayu.Bangunan yang sedia ada (lama) tidak lagi boleh digunakan.Guru Besar adalah anak tempatan iaitu Cikgu Anyan Bundau sebelum digantikan dengan Cikgu Julius Ruyang Bansi, kemudian Cikgu Juan Masan dan seterusnya Cikgu Lim Tai Jok.
Pada tahun 1980, Sekolah Temiang telah berubah wajah.Bangunan barutelah dibina menggantikan bangunan lama hingga sekarang.Blok banggunan bertambah.Begitu juga bilangan pelajar kian bertambah.Namanya ditukarkan menjadi Sekolah kebangsaan Temiang.Guru Besar yang mula-mula mentadbir sekolah dengan bangunan baru adalah Cikgu Liew sebelum digantikan dengan Cikgu James Tanggie pada tahun 1984, yang merupakan anak tempatan.Selepas bersara pada tahun 1999, beliau digantikan dengan Cikgu Johari Deli juga merupakan anak tempatan sehingga 2004.Pada bulan januari 2005, Cikgu Yii Ah Leh mengambil tempat sebagai Guru Besar.Beliau bagaimanapun hanya berkhidmat selama setahun sahaja sebelum dipindahkan untuk bertugas sebagai penyelia di Pejabat Pelajaran Daerah Simunjan.Tempat beliau sebagai Guru Besar digantikan oleh Cikgu Loran Setin pada 16.11.2005 hingga 27.05.2017. Beliau berkhidmat di sini selama lebih kurang 12 tahun. Pada 27.05.2017 beliau telah berpindah ke SK Kepayang dan digantikan oleh Cikgu Seri Bin Anis yang telah berkhidmat selama 1 tahun saja dalam tempoh 28.05.2017 sehingga 04.02.2019. Pada 5 Februari 2019 tempat beliau digantikan oleh Cikgu James Anak Nanju dan berkhidmat sehingga kini.