Jika nak lihat saya buat rumusan, rasa senang dapat, tetapi mungkin akan lupa kerana tidak membuat susunan dan perkaitan maklumat secara mendalam.
Jadi, Cikgu Chee nak murid cuba buat satu nota ringkas sebagai bahan yang boleh dirujuk dalam masa 10 minit dan memudahkan murid untuk ingat apa yang dipelajari berdasarkan topik-topik yang dipelajari sepanjang tahun 5.
Cikgu tidak mahu anda berhenti setakat peringkat menghafal fakta tetapi boleh membuat penilaian dan analisis serta aplikasi di mana-mana soalan , situasi yang diberi.
Pertama, buat satu garisan tegak di sebelah kiri yang digunakan untuk menyenaraikan carta alir proses kerja. Proses kerja diguna pakai apabila kita menjalankan sesuatu projek untuk menghasil reka bentuk produk.
Kemudian, buat bulatan di tengah-tengah bahagian pada kawasan sebelah kanan. Tulis RBT Tahun 5 dalam bulatan, sebagai tajuk kita, buat ringkasan bagi subjek ini.
Seterusnya, bahagikan kepada empat bahagian. Cikgu Chee pecahkan mereka kepada bentuk + , mungkin murid boleh pecahkan mengikut kreativiti mereka, janji sediakan empat bahagian untuk mencelah topik yang dibentang.
Topik apa yang kita belajar? Kita imbas kembali, topik pertama ialah kita cuba menghasilkan artikel jahitan. Kemudian, kita juga menyentuh tentang tenaga boleh baharu, kipas solar adalah hasil kerja kita. Bagi topik pengaturcaraan pula, kita telah menyusun atur langkah berdasarkan situasi dalam bentuk carta alir dan pseudokod, serta menentukan jenis struktur kawalan mereka. Walaupun kita tak ada peluang memasang dan mengawal papan micro:bit, tetapi boleh lihat fungsinya dan apa komponen yang boleh dipasang dengan pelbagai fungsi.
Akhir sekali, sistem tanaman secara takungan dalam topik akhir mengajar kita bagaimana membuat hasil tanaman di tempat terhad dengan cara berteknologi.
Bagi topik artikel jahitan, sebelum buat projek, kita hendaklah tahu asas kemahiran jahitan. Kenal beberapa mata jahitan dan fungsinya. Selain itu, kita perlu tahu apa alatan dan bahan yang kita biasa gunakan untuk menghasil artikel. Oleh itu, murid boleh senaraikan beberapa alatan dan bahan serta tuliskan kegunaannya jika tidak ingat.
Jadi, setiap topik yang anda pelajari boleh mencari kumpulan kandungan sebagai pokok ranting, dan cuba huraikan isi yang ada. Murid digalakkan untuk merujuk buku teks dan lihat tajuk subtopik mereka.
Bagi proses kerja pula, semua topik boleh diguna pakai, jadi kandungan ini letak di sebelah kiri sebagai ringkasan umum.
Cikgu Chee dah siap kandungan ini. Adakah anda tak sabar nak lihat dan salin? Jangan, cuba buat sendiri dulu. Jika tak erti buat nota minda boleh dengarlah taklimat dan bimbingan Cikgu Chee pada sesi penataran subjek RBT.
Sila bawa Buku Teks, alat tulis dan pensel warna untuk menghadiri sekolah.