1. Apakah PBD?
Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) merupakan pentaksiran yang berterusan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran bagi mendapatkan maklumat tentang perkembangan, kemajuan, kebolehan dan pencapaian murid. PBD berlaku secara formatif dan sumatif; sebagai pembelajaran, untuk pembelajaran dan tentang pembelajaran.
2. Bila PBD bermula?
PBD dahulunya dikenali sebagai Pentaksiran Sekolah (PS) bermula pada tahun 2011. Pada tahun 2016, PS mula dikenali sebagai PBD.
3. Apakah perbezaan PBD dan PBS?
PBS ialah Pentaksiran Berasaskan Sekolah, suatu pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani). Ini selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Oleh itu terdapat empat komponen dalam PBS iaitu Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan & Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).
PBD pula ialah pentaksiran yang berlaku secara berterusan sepanjang PdP, bagi semua mata pelajaran. PBD bukanlah untuk membandingkan tahap penguasaan antara seorang murid dengan murid yang lain, tetapi ia bertujuan untuk melihat perkembangan kemajuan murid dalam pembelajaran di samping membantu guru menambah baik pengajaran mereka.
4. Apakah mata pelajaran yang terlibat dengan PBD?
Semua mata pelajaran KSSR dan KSSM.
Pelaksanaan konsep PBD berlaku secara berterusan dari Tahun 1 hingga Tahun 6 di sekolah rendah dan dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 di sekolah menengah.
5. Mengapakah PBD penting?
PBD dapat membantu guru dalam:
i. Mengesan perkembangan murid secara menyeluruh
ii. Mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid dalam pembelajaran
iii. Mengetahui keberkesanan pengajaran
iv. Merancang dan mengubah suai kaedah pengajaran
v. Mengambil tindakan susulan yang sesuai dengan serta merta
6. Bagaimanakah PBD dilaksanakan?
PBD dilaksanakan secara berterusan sepanjang proses PdP sepanjang tahun. PBD dilaksanakan melalui pelbagai kaedah pentaksiran seperti:
i. Pemerhatian
ii. Penulisan
iii. Lisan
Melalui kerja projek, kuiz, pembentangan dan-lain- lain aktiviti pembelajaran, berdasarkan Standard Prestasi dan pertimbangan profesional guru.
7. Bagaimanakah PBD dilaporkan?
Tahap penguasaan murid dalam PBD dilaporkan menggunakan templat pelaporan dalam fail Excel yang digunakan secara luar talian. Laporan ini digunakan pada peringkat sekolah, serta dilaporkan kepada murid dan ibu bapa.
8.Berapa kerap PBD perlu dilaporkan?
Sekurang-kurangnya 2 kali setahun.