Apa itu Learning Walk?
Learning Walk (LEARNING WALK) merupakan aktiviti berjalan di sekeliling sekolah sambil membuat pemerhatian terhadap pengajaran guru dan aktiviti pembelajaran murid. LEARNING WALK yang dilakukan secara berfokus boleh memberi tumpuan pemerhatian kepada aspek-aspek seperti; kaedah penyoalan guru (questioning strategies), pengurusan bilik darjah (classroom management), perbezaan kaedah penyampaian (differentiated instruction), pembelajaran secara koperatif (cooperative learning), masa menunggu(wait time) dan ekologi bilik darjah(classroom ecology).
Siapa yang terlibat melakukan LEARNING WALK?
Semua guru di sesebuah sekolah boleh terlibat dalam melakukan LEARNING WALK, namun keutamaan seharusnya dilakukan oleh individu seperti berikut; Pengetua atau Guru Besar, barisan penolong-penolong kanan, guru kanan mata pelajaran dan ketua-ketua panitia. Guru baharu, guru yang memerlukan bimbingan, guru yang dicadangkan oleh pengetua dan guru besar serta guru-guru veteran juga boleh diajak untuk turut serta melakukan LEARNING WALK.
Apa yang perlu dilakukan sebelum melakukan LEARNING WALK?
Sebelum melakukan LEARNING WALK beberapa aspek perlu diambilkira seperti;
Sebelum melakukan LEARNING WALK beberapa aspek perlu diambilkira seperti;
Pemilihan kelas; merangkumi guru yang mengajar (guru berpengalaman, guru cemerlang atau guru yang mempunyai kualiti pengajaran yang baik)
Fokus LEARNING WALK; sama ada kaedah penyoalan, pelaksanaan aktiviti murid dan sebagainya
Peranan murid dan bagaimana mereka boleh terlibat secara berkesan
Bagaimana guru perlu diberitahu mengenai;kelas yang akan dilawati, fokus lawatan dan peserta yang terlibat dalam lawatan.
Pemilihan Fokus
Fokus mestilah boleh diperhatikan dalam bilik darjah. (observable focus)
Fokus mestilah dinyatakan dengan jelas. (clearly articulated)Fokus mestilah berhubung dengan peningkatan profesionalisme. (linked to profesional learning)
Fokus mestilah mempunyai kepentingan berkait dengan sekolah. (linked to school priorities)
Kelas-kelas yang dipilih untuk pemerhatian LEARNING WALK boleh melibatkan pelbagai mata pelajaran dan kriteria pemilihan dibuat atas dasar amalan yang boleh dipelajari atau dicontohi.
Bagaimana melakukan proses LEARNING WALK?
Beberapa perkara perlu diambikira sebelum proses LEARNING WALK dilakukan.
Pengetua, guru besar, barisan penolong-penolong kanan, barisan guru
kanan mata pelajaran atau ketua-ketua panitia yang bercadang untuk melakukan LEARNING WALK perlu memaklumkan kepada kelompok guru yang dicadangkan untuk turut serta dalam proses LEARNING WALK.
Instrumen semakan yang bersesuaian perlu dikenalpasti sebelum proses LEARNING WALK bermula.
Sesi perbincangan ringkas tentang tatacara penggunaan instrumen perlu dilakukan sesama ahli.
Menetapkan fokus LEARNING WALK .
Adalah disarankan agar pendedahan dalam kalangan guru mengenai LEARNING WALK perlu dilakukan supaya warga sekolah memahami konsep LEARNING WALK yang sebenarnya. LEARNING WALK di sesebuah kelas dilaksanakan dalam tempoh lebih kurang 10 minit dengan menumpukan kepada aspek fokus yang telah dipersetujui bersama. Misalnya, meninjau kebolehan murid, melihat hasil kerja murid, pembentangan atau komunikasi antara murid dengan guru.
Protokol Learning Walk
Semua peserta LEARNING WALK mesti hadir untuk perbincangan Pra-Pemerhatian.
Pelajar dimaklumkan lebih awal tentang kehadiran pelawat ke dalam bilik darjah.
Peserta LEARNING WALK mesti patuh kepada fokus yang telah dipersetujui.
Peserta LEARNING WALK mesti elakkan daripada memberi komen bersifat ‘judgemental’ – peribadi.
Peserta LEARNING WALK tidak boleh mengganggu pembelajaran dalam bilik darjah.
Peserta LEARNING WALK tidak boleh bercakap sesama sendiri semasa di dalam bilik darjah.
Cadangan langkah-langkah LEARNING WALK
Perbincangan pra lawatan
Perlaksanaan LEARNING WALK di bilik darjah A 7-10 minit
Sesi wawancara di pintu masuk – 2 minit
Perlaksanaan LEARNING WALK di bilik darjah B 7-10 minit
Sesi wawancara di pintu masuk – 2 minit
Sesi refleksi dalam kalangan pelawat – 15 minit
Sesi penyoalan bersama guru terlibat – 15 minit
Dapatan LEARNING WALK
Sebaik melangkah meninggalkan kelas, antara fokus perbincangan sesama ahli yang melakukan LEARNING WALK sewajarnya berkisar tentang sama ada;
Bukti amalan terbaik dalam pengajaran dan pembelajaran, jenis tugasan dan hasil kerja murid.
Aras soalan guru
Apa yang murid belajar
Bagaimana guru membantu proses pembelajaran
Tindakbalas murid terhadap soalan yang diajukan
Idea,strategi atau teknik yang digunakan secara berkesan
Kesepakatan semasa LEARNING WALK
Ahli lawatan bersetuju bahawa mereka tidak akan;
membuat penghakiman terhadap apa yang dilakukan atau tidak dilakukan oleh guru
mengeluarkan kenyataan yang merendah-rendahkan guru dan murid
memberi komen yang boleh menyebabkan seolah-olah hasil pemerhatian merupakan isu yang kritikal di sekolah
Ahli lawatan bersetuju bahawa mereka akan;
memerhati dan mengenalpasti teknik dan strategi yang boleh digunakan oleh panel pelawat untuk digunakan di kelas masing-masing
membuat refleksi dan memikirkan bagaimana amalan terbaik yang diperhatikan boleh digabung dan digunakan oleh mereka
Tindakan selepas LEARNING WALK
Taklimat pasca lawatan yang diketuai oleh sama ada pengetua, guru besar atau sesiapa sahaja yang dilantik sebagai ketua lawatan
Membuat refleksi kendiri dalam kalangan pelawat
Panel pelawat boleh mengemukakan idea, strategi atau teknik yang bersesuaian, yang boleh digunakan secara berkesan dalam bilik darjah
Penutup
LEARNING WALK wajar dijadikan amalan profesionalisme di sesebuah sekolah. Melalui amalan ini secara tidak langsung akan mengingatkan guru di sesebuah sekolah bahawa kerja mereka di bilik darjah sentiasa diperhatikan oleh barisan kepimpinan mahupun oleh fakan-rakan sejawat. Situasi ini secara tidak langsung akan meningkatkan usaha guru untuk melaksanakan tugasan di bilik darjah dengan sebaik mungkin.
We are there to SUPPORT teaching and learning NOT to EVALUATE – Kevin McCune
Diolah daripada sumber;
learningleadershipstudy.org/LLS/Learning_Walk.html