Kajian Pengajaran (Lesson Study) adalah satu proses pembangunan profesional yang mana guru-guru terlibat untuk mengkaji dan memperbaiki amalan mereka secara sistematik. Dalam erti kata lain, Kajian Pengajaran adalah kajian atau penelitian terhadap pengajaran guru di dalam bilik darjah. Dalam proses ini, guru-guru bekerjasama untuk merancang, mengajar, memerhati dan membuat kritikan yang membina bagi beberapa pengajaran. Demi memberi tumpuan dan hala tuju pada tugas ini, guru-guru memilih satu matlamat dan persoalan kajian yang akan membimbing mereka dalam menjalankan Kajian Pengajaran. Mereka kemudian bersama-sama membuat perancangan terperinci untuk disampaikan oleh seorang guru di dalam kelasnya. Ahli kumpulan akan memerhati PdP tersebut. Kumpulan itu seterusnya membincangkan hasil pemerhatian mereka. Biasanya, kumpulan itu akan mengkaji semula pengajaran tersebut untuk disampaikan oleh seorang guru lain di kelasnya sendiri. Proses pemerhatian dan perbincangan diulangi. Akhirnya mereka menghasilkan laporan tentang Kajian Pengajaran mereka khususnya yang berkenaan dengan persoalan kajian.
Pada amnya, Kajian Pengajaran menyediakan satu wacana atau peluang untuk peningkatan professionalisme guru secara bottom-up: iaitu atas inisiatif guru-guru sendiri tanpa menunggu arahan pihak atasan. Dalam menerapkan budaya Kajian Pengajaran, guru-guru perlu mengubah paradigma selaras dengan konsep pembelajaran sepanjang hayat.
Melalui pendekatan ini, amalan kolaboratif untuk menghasilkan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) yang berfokus kepada pembelajaran murid akan meningkatkan pengetahuan isi kandungan dan juga pedagogi guru melalui penggemblengan idea kreatif, pengalaman dan kemahiran mereka. Kebaikan amalan sebegini sewajarnya dipupuk dan dimantapkan secara berterusan agar menjadi budaya kerja guru-guru di sekolah bagi memupuk semangat kekitaan dan rasa sepunya, seterusnya menghasilkan sekolah yang cemerlang, berkualiti dan bertaraf dunia.
Ringkasnya, Kajian Pengajaran adalah amalan guru secara berkolaboratif untuk:
a. Menentukan matlamat dan objektif pengajaran
b. Merancang dan menyediakan RPH
c. Membuat pemerhatian terhadap pengajaran guru
d. Membuat refleksi terhadap PdP
e. Mengubahsuai untukmenambahbaik RPH.
Secara amnya, langkah-langkah melaksanakan Kajian Pengajaran adalah seperti berikut:
1. Membentuk kumpulan Kajian Pengajaran dan menentukan matlamat / goal.
a. Melantik seorang Ketua Kumpulan
b. Kaji matlamat kurikulum dan sukatan pelajaran
c. Kaji dan bincang masalah pembelajaran murid
d. Bincang dan tentukan matlamat /goalyang hendak dicapai.
2. Merancang/membina RPH
a. Pilih unit/tajuk yang hendak diajar dalam satu sesi pengajaran
b. Bincang masalah pembelajaran murid berkaitan dengan unit/tajuk berkenaan.
c. Bina langkah-langkah dalam RPH dan sediakan sumber pengajaran
d. Fikirkan dengan mendalam strategi pengajaran yang sesuai digunakan cth Pembelajaran Berasaskan Projek/Masalah.
e. Fikirkan dan jangkakan respon murid semasa proses pengajaran
f. Bentang dan lihat semula strategi pengajaran dengan teliti.
3. Pelaksanaan Pengajaran
a. Seorang Pakar Rujuk (PR) atau knowlegeable Other (KO) dijemput sebagai pemerhati dan pemberi komen serta cadangan bagi langkah-langkah penambahbaikan dalam RPH. Sebelum itu, Ketua Kumpulan perlu memberi taklimat ringkas kepada PR atau KO berkaitan dengan skop pengajaran yang akan dilaksanakan.
b. Seorang atau lebih daripada seorang dalam kalangan guru dalam kumpulan akan melaksanakan pengajaran kepada kelas tertentu yang telah dipilih pada peringkat awal
c. Ahli kumpulan dan guru-guru lain hadir bersama sebagai pemerhati dan mengumpul data atau maklumat sepanjang sesi pengajaran tersebut untuk sesi perbincangan/reflektif. (Gunakan borang pemerhatian yang disediakan)
d. Ahli kumpulan dan guru-guru lain digalakkan melihat hasil pembelajaran murid tanpa mengganggu mereka ketika belajar.
e. Data yang dikumpul termasuk interaksi antara guru-murid dan hasil pembelajaran murid. Fokus utama diberikan kepada respon, tingkah laku dan pembelajaran murid. Elakkan fokus kepada pengajaran guru.
f. Sepanjang pemerhatian, guru perlu sentiasa membuat reflekif kendiri.
4. Sesi Reflektif Pengajaran
a. Sesi reflekif diketuai oleh Ketua Kumpulan
b. Sesi dimulakan dengan melihat semula matlamat atau goal Kajian Pengajaran
c. Guru yang mengajar diberikan peluang terlebih dahulu untuk memberi komen, pandangan dan reflekif terhadap pengajaran yang telah dilaksanakan mengikut RPH.
d. Seterusnya guru-guru yang menjadi pemerhati perlu berkongsi maklumat dan masing-masing perlu menekankan aspek-aspek positif pembelajaran murid (berdasarkan evidens atau bukti murid).
e. Guru-guru berkongsi maklum balas yang kritikal berdasarkan pemerhatian terhadap guru dan evidens murid.
f. Komen dan bincangkan tentang hasil pembelajaran murid dan isi kandungan mata pelajaran.
g. Bincang kelemahan dalam RPH (berdasarkan evidens murid) dan fikirkan cara penambahbaikan RPH.
h. Fikir dan bincangkan dengan mendalam bagaimana hasil pembelajaran murid dapat ditingkatkan dalam sesi pengajaran.
i. PR bertindak sebagai moderator/pemudahcara dan mengemukakan pandangan serta cadangan dalam sesi reflekif.
j. Sesi reflekif bersifat profesional dan sebarang kritikan atau teguran adalah bertujuan meningkatkan profesionalisme guru.
k. Komen dan hasil reflektif perlu dicatat dan disimpan untuk dijadikan rujukan serta bertujuan penambahbaikan RPH yang akan datang.
l. Pengerusi dan PR perlu memainkan peranan untuk memastikan guru-guru aktif dan berfikir secara mendalam semasa sesi reflektif melalui teknik penyoalan isu-isu yang kritikal.
5. Penambahbaikan RPH dan Pengajaran Semula
a. Satu sesi perbincangan perlu diadakan bagi membuat penambahbaikan RPH berdasarkan hasil yang diperolehi daripada sesi reflektif.
b. Guru-guru perlu memikirkan secara mendalam bagaimana RPH perlu ditambahbaik bagi mengatasi kelemahan-kelemahan yang telah dikenal pasti dalam sesi pengajaran yang lepas.
c. Perbincangan secara mendalam dan fokus kepada pembelajaran murid.
d. Sesi ini dilaksanakan secara kolaboratif antara guru-guru dan Ketua Kumpulan perlu memainkan peranan supaya setiap guru terlibat secara aktif.
e. Kumpulan guru akan menentukan sama ada pengajaran semula RPH yang telah ditambahbaik dilaksanakan terhadap kelas yang sama atau sebaliknya. Sekiranya pengajaran dilaksanakan, proses dalam langkah 3.3 dan 3.4 perlu diulangi.
f. Laporan Kajian Pengajaran perlu dikongsi dan didokumenkan untuk rujukan dan panduan masa akan datang.
Dalam konteks Kajian Pengajaran, PR/KO berperanan sebagai pakar rujuk dalam PdP. Peranan utama mereka termasuk memberikan pandangan dan idea terhadap pengajaran guru serta cadangan penambahbaikan bagi meningkatkan hasil pembelajaran murid. Pakar rujuk biasanya terdiri daripada kalangan pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG), guru cemerlang mata pelajaran atau sesiapa sahaja yang berkebolehan dan boleh dikategorikan sebagai Subject Matter Expert (SME). Yang paling penting, PR/KO mampu menggunakan sesi reflektif untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran guru dalam pengajarannya.
Sesungguhnya, penting sekali bagi guru menyedari bahawa faedah dan manfaat yang diperolehi melalui Kajian Pengajaran menjangkaui proses yang dilalui. Secara sedar atau tidak, pengetahuan dan kemahiran yang diperolehi akan diaplikasikan secara langsung leh guru-guru dalam sesi pengajaran mereka di bilik darjah. Budaya Kajian Pengajarandiharapkan dapat memupuk kesedaran guru untuk lebih komited dan berdedikasi terhadap profesion perguruan.