INFORMASI

DASAR

DASAR PEMBELAJARAN DIGITAL IPG (DAPED IPG)

Dasar Pembelajaran Digital Institut Pendidikan Guru (DaPeD) dibangunkan bagi menyokong Pelan Strategik Institut Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan Malaysia (IPG KPM) yang menuntut penyediaan satu kerangka pembelajaran digital berkualiti bagi membangunkan modal insan bertaraf dunia melalui penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) (Kementerian Pengajian Tinggi, 2011). Penggunaan TMK dalam pendidikan telah mengubah cara penyampaian dan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP). DaPeD dibangunkan sejajar dengan aspirasi Dasar TMK IPG, Dasar Transformasi IPG dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 untuk menyediakan latihan guru bertaraf dunia seiring dengan aspirasi transformasi pendidikan negara dan visi IPG KPM. 

VISI

IPG KPM merealisasikan pendidikan global menerusi wahana  pembelajaran digital.

MISI

Melestarikan pendidikan IPG KPM yang berdaya saing melalui  pembelajaran digital.

AMALAN

Pembelajaran Teradun merujuk kepada kursus yang mempunyai campuran pendekatan pembelajaran mod dalam talian dan mod pembelajaran bersemuka dengan 30% hingga 60% kandungan dan aktiviti kursus dikendalikan secara dalam talian sama ada menyokong atau menggantikan pembelajaran bersemuka (CAP eLearning KPM, 2014).

Dokumen ini disediakan sebagai panduan kepada semua warga Institut Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan Malaysia (IPG KPM) mengenai konsep dan amalan terbaik dalam pembelajaran teradun bagi mencapai objektif berikut :

PERANAN DAN TANGGUNGJAWAB

2.1 Pensyarah

2.1.1 Dasar dan Kod Amalan

Pensyarah perlu mematuhi perkara-perkara yang terkandung dalam DaPeD dan Kod Amalan Pembelajaran Teradun IPG KPM.

2.1.2 Reka Bentuk Kurikulum

Pensyarah perlu mereka bentuk pendekatan pembelajaran teradun dengan kadar 30% hingga 60% kandungan dan aktiviti kursus adalah secara dalam talian.

2.1.3 Maklum Balas Dalam Talian

Maklum balas dalam talian bergantung kepada keperluan aktiviti dan pertimbangan profesional pensyarah.

2.1.4 Tanggungjawab

Pensyarah adalah bertanggungjawab sepenuhnya:

(a)  terhadap bahan-bahan yang disumbangkan.

(b)  mengemas kini bahan pembelajaran dari semasa ke semasa.

(c)  memberi notifikasi bagi setiap aktiviti pembelajaran.

(d)  memaklumkan dengan jelas aliran laluan navigasi pembelajaran.

2.1.5 Budaya Pemikiran

Pensyarah perlu mengambil kira amalan pemikiran berdasarkan trenda pendidikan semasa bagi menghasilkan pembelajaran bermakna.

2.1.6 Reka Bentuk Pembelajaran

Pensyarah perlu merancang serta mereka bentuk proses pembelajaran teradun berdasarkan maklumat kursus, data daripada analisis keperluan dan penilaian berterusan (data driven decision).

2.1.7 Peningkatan Kemahiran Pemanfaatan Digital

Pensyarah perlu berusaha meningkatkan kemahiran memanfaatkan alat dan sumber teknologi digital dengan mengikuti kursus/bengkel / latihan/eksplorasi yang bersesuaian dan berterusan.

2.1.8 Amalan Bring Your Own Device (BYOD)

Pensyarah perlu melaksanakan BYOD iaitu amalan bertanggungjawab menggunakan peralatan digital sendiri bagi menjayakan pembelajaran teradun.


2.2 Pelajar

2.2.1 Amalan konsep Independent Learner (IL)

Pelajar perlu mengamalkan konsep Independent Leaner yang mempraktikkan amalan-amalan berikut:

(a) menetapkan sasaran hasil pembelajaran yang ingin dicapai;

(b) membuat keputusan berasaskan maklumat;

(c) mengenali keupayaan diri apabila membuat sesuatu keputusan;

(d) menghubungkaitkan pembelajaran dengan konteks sebenar;

(e) bertanggungjawab ke atas pembelajaran kendiri;

(f) mempraktikkan pemikiran reflektif, inovatif dan kreatif;

(g) mengamalkan integriti dan adab belajar yang positif;

(h) meningkatkan kemahiran pembelajaran digital secara berterusan dan efektif.

2.2.2 Amalan Bring Your Own Device (BYOD)

Pelajar perlu mengamalkan konsep BYOD dan kemahiran memanfaatkan alat dan sumber teknologi digital.

PELAKSANAAN DAN JAM PEMBELAJARAN

3.1 Pelaksanaan Pembelajaran Teradun

Komponen dalam talian kursus pembelajaran teradun boleh dilaksanakan berdasarkan kaedah berikut:

(a) Mengikut jam dalam seminggu

Contoh: Pembelajaran secara tradisional 3 jam bersemuka dilaksanakan dalam tempoh 2 jam bersemuka + minimum 2 jam dalam talian (pembelajaran terarah).

(b) Mengikut minggu

Pembelajaran dalam talian dirancang mengikut minggu dalam semester. Contoh: untuk 10 minggu bersemuka diikuti oleh 4 minggu secara dalam talian sepenuhnya.

(c) Berselang minggu

Pembelajaran dalam talian dilaksanakan secara berselang minggu. Contoh: 1 minggu jam bersemuka diikuti oleh minggu berikutnya secara dalam talian dan seterusnya.

(d) Mengikut topik

Topik dipilih untuk diajar secara dalam talian dan jumlah jam dianggarkan berdasarkan panjang dan kedalaman topik-topik tersebut.

(e) Berdasarkan tugasan

Tugasan dipilih untuk diselesaikan secara dalam talian dan bukan secara bersemuka.

(f) Berdasarkan kes

Teknologi diintegrasikan semasa interaksi secara bersemuka. Pelajar ditugaskan melaksanakan tugasan menggunakan teknologi (jam bersemuka dikekalkan)

Contoh: menggunakan model pembelajaran teradun seperti Flipped Learning adalah digalakkan selagi pengajaran dan tugasan pembelajaran dirancang dengan rapi dan jumlah pembelajaran pelajar memenuhi jumlah jam kredit yang diperlukan.


3.2 Jam kredit dan jumlah jam pembelajaran pelajar

Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) pembelajaran teradun mesti berdasarkan jumlah jam yang ditetapkan untuk setiap kursus.

(a) Penyelaras kursus perlu merancang komponen dalam talian untuk memenuhi jam pembelajaran pelajar bagi memenuhi keperluan jam pembelajaran teradun sesuatu kursus.

(b) Satu jam pembelajaran secara bersemuka adalah bersamaan dengan dua jam atau lebih pembelajaran dalam talian.

(c) Kehadiran dalam pembelajaran teradun dikira berdasarkan penglibatan pelajar secara aktif.

HAK CIPTA KANDUNGAN KURSUS

Penyediaan dan penggunaan bahan-bahan dalam pembelajaran teradun adalah tertakluk kepada perkara berikut:

(a) Semua bahan pengajaran yang dibangunkan menggunakan kemudahan dan sokongan yang disediakan oleh IPG KPM adalah hak bersama penyedia bahan dan IPG KPM.

(b) Penggunaan bahan pembelajaran teradun oleh pihak lain perlu mendapat kebenaran bertulis IPG KPM.

(c) Penyedia bahan boleh menggunakan kandungan tersebut untuk kegunaan lain seperti pengajaran di dalam kelas, penyelidikan, penerbitan serta pembentangan dalam seminar.

(d) Sekiranya penyedia bahan menerima ganjaran dan/atau insentif dalam bentuk pengurangan beban tugas, geran atau sagu hati kerana membangunkan bahan pembelajaran teradun serta mendapat bantuan, dan/atau penyedia kandungan yang disediakan oleh IPG KPM, hak cipta yang dihasilkan adalah milik IPG KPM.

(e) Pengedaran bahan kandungan PdP yang dibangunkan sama ada secara elektronik atau bukan elektronik adalah hak milik IPG KPM dan penyedia bahan.

(f) Penyediaan dan penggunaan bahan kandungan kursus adalah tertakluk kepada tujuan yang dibenarkan oleh undang-undang berkaitan.

PENTAKSIRAN

Bagi mencapai Hasil Pembelajaran Kursus (HPK), aktiviti pembelajaran yang dilaksanakan perlu disokong dengan pentaksiran yang bersesuaian.

5.1 Mod Pentaksiran

(a) Pentaksiran bagi pembelajaran teradun boleh dilaksanakan secara bersemuka atau dalam talian.

(b) Pentaksiran perlu dijajarkan dengan HPK.

(c) Terdapat pelbagai mod pentaksiran iaitu pentaksiran kendiri, pentaksiran rakan sebaya dan pentaksiran fasilitator.

(d) Rubrik, skema permarkahan, senarai semak dan lain-lain yang jelas dengan atribut tertentu perlu disediakan dan perlu mengambil kira setiap langkah untuk menilai hasil kerja pelajar.

5.2 Jenis Pengujian

Bentuk pengujian yang boleh dilaksanakan dalam pentaksiran termasuk :

(a) Kuiz

(b) Esei

(c) Portfolio

(d) Tahap penglibatan dalam forum

(e) lain-lain bentuk pengujian yang sesuai

5.3 Penggredan dan Pelaporan

(a) Penggredan sesuatu kursus perlu dilaksanakan untuk membolehkan pelajar mengetahui tahap pencapaian mereka.

(b) Setiap penggredan perlu dilaksanakan dengan telus supaya pelajar mengetahui bagaimana mereka memperolehi sesuatu gred.

(c) Gred yang diperolehi pelajar perlu dimaklumkan kepada mereka.

AHLI JAWATANKUASA KERJA

PENGERUSI

DR. HAMIDAH BINTI SAMSUDIN

(PENGARAH)

TIMBALAN PENGERUSI

HJ. HARUN BIN SARAIL

(TIMBALAN PENGARAH)

SEKRETARIAT

AHLI

JSTEM

JBKD

JAPIM

JPMB

JPSS

JPPI

JPJKK

JKA

JPIP

JHEP