Sebelum pertubuhan didaftarkan, Seni Gayung Fatani telah disampaikan menggunakan kaedah guru masing-masing. Selepas pertubuhan didaftarkan pada tahun 1976 sehingga tahun 1986, PSGFM telah menggunakan Kaedah Tradisi Gelanggang Bangsal.
Pada tahun 1986, Seni Gayung Fatani semakin berkembang dan memerlukan satu sistem pendidikan silat yang lebih tersusun lalu telah membangunkan Kurikulum baru PSGFM dan digunakan sehingga tahun 2002.
Apabila Guru Utama menyusun Kurikulum Seni Silat Malaysia untuk PESAKA Malaysia pada tahun 2002, kurikulum ini telah disampaikan sehingga tahun 2007. Apabila kurikulum ini dipulangkan semula kepada Guru Utama, Guru Utama telah melakukan kajian semula dan mewariskan Kurikulum Silat PSGFM Moden Piawai 2002 kepada PSGFM dan telah disampaikan sejak tahun 2007 sehingga kini.
Allahyarham Pendeta Tuan Haji Anuar Abd. Wahab AMN.
Kurikulum Silat - Kurikulum Seni Silat Malaysia.
PSGFM - Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia.
Moden - Terbaru, sekarang, terkini atau mutakhir.
Piawai - Pengukuran atau sukatan yang benar.
Sahih dan sah pada tahun 2002.
Pada 28 Mac 2002, mesyuarat antara Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia (KKKPM), Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), PESAKA Malaysia dan empat Badan Pendiri telah melantik Tuan Haji Anuar Abd. Wahab untuk mengasas dan menyusun kurikulum silat yang mengandungi 40% kurikulum silat dan 60% kaedah dan amalan perguruan masing-masing.
Pada 15-19 Mac 2002, bengkel pertama telah diadakan di Coral Primula Resort, Terengganu.
Pada 4 April 2002, Tuan Haji Anuar Abd. Wahab telah menghasilkan kurikulum silat yang pertama pernah dihasilkan dalam dunia persilatan Melayu yang dinamakan Kurikulum Seni Silat Malaysia.
Kursus Kejurulatihan Silat Seni Malaysia yang dihadiri guru dan jurulatih pelbagai pertubuhan silat pada 15-19 Mei 2002 untuk peringkat pertama, peringkat kedua pada 4-6 Februari 2003 dan peringkat tiga pada 8-12 April 2004. Namun ia telah ditangguhkan oleh PESAKA Malaysia. Tuan Haji Anuar telah melakukan kajian semula dan mewariskannya kepada PSGFM.
Nama ringkasnya ialah Kurikulum Silat bersumberkan Kurikulum Baru PSGFM yang mempunyai 5 peringkat dan 4 tajuk yang bersumberkan Bunga Silat Guru-guru Tua PSGFM yang disampaikan secara tradisi gelanggang bangsal. Manakala sistem tradisi gelanggang bangsal pula berasaskan bunga sembah dan permainan Tapak 4.
Peringkat 1 (Anak Gelanggang)
Peringkat 2 (Pesilat Remaja)
Peringkat 3 (Pesilat Perkasa)
Peringkat 4 (Pesilat Muda)
Peringkat 5 (Pesilat)
Peringkat 6 (Pendekar Muda)
Peringkat 6 (Pendekar)
Hitam Jalur 1 (Jurulatih Muda)
Hitam Jalur 2 (Jurulatih)
Hitam Jalur 3 (Jurulatih Kanan)
Hitam Jalur 4 (Ketua Jurulatih)
Hitam Jalur 5 (Guru Muda)
Hitam Jalur 6 (Guru)
Hitam Jalur 7 (Guru Kanan)
Hitam Jalur 8 (Penolong Guru Utama)
Hitam Jalur 9 (Timbalan Guru Utama)
*Sekarang dikenali sebagai Ketua Guru Kanan Negeri.
Hitam Jalur 10 (Guru Utama)
*Tiada lagi Guru Utama selepas Allahyarham Tuan Haji Anuar Abd. Wahab AMN.
Hitam Jalur Emas 1 (Pendeta)
Setiap peringkat mengandungi tujuh tajuk pelajaran seperti berikut:
Bunga Silat - Asas gerak setiap peringkat.
Jurus Silat - Jenis serang bela setiap peringkat.
Belebat Silat - Jenis sambut yang dikembangkan.
Tapak Silat - Jenis Sikap Pasang dan gerak.
Buah Silat - Jenis pukulan dan sambut.
Tempur Seni - Kemahiran Tempur Seni Tradisi.
Tempur Beladiri - Aplikasi pukulan dalam tempur.
Pesilat akan menghadiri kelas untuk tempoh yang telah ditetapkan oleh jurulatih masing-masing sehingga selesai kesemua 7 tajuk yang telah ditetapkan. Kemudian pesilat akan menghadiri Ujian Penilaian Silat setelah tamat belajar. Pesilat yang berjaya diberikan Sijil Tamat Latihan peringkat berkenaan dan boleh mengikuti latihan peringkat seterusnya.
Proses pendidikan Kurikulum Silat yang lebih lama dari sistem Tradisi Gelanggang Bangsal dan Kurikulum Baru membolehkan:
Pesilat boleh menguasai kurikulum dan kokurikulum silat.
Output yang sama seperti sistem tradisi dan Kurikulum Baru iaitu melahirkan Pendekar (insan mahir silat).
Pesilat terlibat dengan persatuan melalui aktiviti silat yang dapat membentuk jati diri, nilai murni dan sikap yang baik.
Penerimaan silat sepanjang hayat, sejak sekolah rendah, sekolah menengah, pusat pengajian dan tamat belajar.
Mengisi masa senggang selepas peperiksaan atau mencari pekerjaan.
Menjadi sumber pendapatan yang berterusan kepada jurulatih.
Pembentukan kepimpinan yang menyediakan pesilat untuk alam pekerjaan, sosial dan menyumbang kepada masyarakat.
Tujuan Ujian Penilaian Silat ialah:
Memantau mutu pengajaran (jurulatih) dan pembelajaran (pesilat) silat dalam perguruan mencapai mutu yang sebenar.
Memantau pencapaian pesilat pada aras yang dikehendaki.
Memberi pengesahan kepada pesilat untuk mengikuti peringkat berikut dan boleh memakai bengkung dan persijilan PSGFM.
Menentukan kualiti dan keaslian silat Melayu terjaga dengan baik.