PSGFM

SEJARAH RINGKAS PSGFM


Perguruan Seni Gayung Fatani merupakan salah satu kumpulan aliran silat Melayu seperti yang diamalkan oleh orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu yang dikenali sebagai silat pulut atau gayung pulut. Kumpulan ini didaftarkan atas nama Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia (PSGFM).


Pada asalnya orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu tidak memberikan nama tertentu kepada silat, memadai disebut sebagai bersilat atau gayung. Oleh sebab beberapa guru silat adalah terdiri daripada berketurunan Melayu Patani, maka dinamakan silat mereka sebagai silat Pattani atau gayung Fatani. Terdapat juga nama lain seperti silat Kedah, Seri Kedah, silat Melayu Kelantan, silat Bunga, silat Melayu Asli dan sebagainya. Secara umumnya silat Melayu tradisi Semenanjung dikenali sebagai silat pulut atau gayung pulut.


Pada awal kurun ke 19 terdapat ramai guru silat yang berpendidikan agama Islam dari institusi pondok yang umumnya dari Pattani yang menjalankan syiar Islam di samping mengajarkan silat sebagai membentuk kecergasan para pendakwahnya. Silat dijadikan pendidikan jasmani dan agama dijadikan pendidikan rohani. Pendidikan mereka amat berkesan melahirkan  pendekar silat yang memiliki jati diri dan seimbang dari aspek zahir dan batin atau amalan dunia dan akhirat.


Mereka mengadakan gelanggang silat berhampiran pondok, surau atau tempat pengajian agama. Biasanya selepas Maghrib diadakan pengajian agama dan selepas Isyak diberikan latihan silat. Sekiranya gelanggang jauh, guru dan murid akan solat berjemaah di gelanggang. Bagi tidak membosankan, setiap latihan silat diiringikan dengan irama pergendangan silat.


Di antara guru silat yang ramai melahirkan guru dan pengamal silat dan kurikulum silatnya yang dijadikan dasar pada perguruan Seni Gayung Fatani ialah dari versi Tuan Syeikh Abdul Rahman Tohir (Lebai Rambut Panjang). Beliau bersama orang Melayu Patani yang lain telah berhijrah ke Semenanjung di Pendang, Kedah. Sebagai orang berilmu, beliau dihormati kerana dapat menyumbang kepada masyarakat tempatan.


Seni Gayung Fatani merupakan silat Melayu, yakni versi tempatan atau silat Melayu tradisi Semenanjung berdasarkan versi Tuan Syeikh Abd. Rahman Tohir di Pendang, Kedah tahun 1890.  Beliau merupakan rakyat negeri Kedah daripada keturunan Pattani di mana ketika itu Pattani sebahagian daripada negeri Kedah. Selepas Perjanjian Berney 1826 penguasaan Thailand ke atas Pattani diakui oleh British. Selepas Perang Dunia Kedua baharulah persempadan negara diwujudkan. Maka silat Melayu bermaksud silat yang diamalkan oleh orang Melayu di Malaysia atau aliran silat Malaysia.


Sebelum kemerdekaan Tanah Melayu, silat Melayu dikembangkan oleh ramai guru silat khususnya di utara Semenanjung Tanah Melayu seperti Perak, Kedah dan Perlis. Silat ini juga disebut silat Melayu Kedah, Gayungman Kelantan, Gayung Terengganu, silat Melayu Asli dan sebagainya yang mengekalkan kurikulum silat tradisi gelanggang bangsal.


Pada tahun 1970an, kerajaan menasihatkan agar semua kumpulan atau perguruan didaftarkan bagi membolehkan ahli menjalankan aktiviti secara sah.


Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia adalah nama pertubuhan untuk tujuan pendaftaran, bukan nama sejenis silat atau beladiri, tetapi tetap merupakan perguruan silat yang mengamalkan silat Melayu.


Menurut Guru Tua Tuan Haji Ramli, beliau bersama ayahandanya Tuan Syeikh Abd. Rahman Tohir, Mat Kilau, Tok Bahaman telah pergi menuntut ilmu persilatan dan kerohanian dengan Tuan Syeikh Muhyiddin Hujjatul Muhaqqiqin A’fallahu ‘Anhu di Pattani. Tuan Haji Ramli juga berkata beliau dan ayahandanya juga menuntut ilmu dengan Tuan Syeikh Othman. Tuan Syeikh Abd. Rahman Tohir kemudiannya mengembangkan silat di negeri-negeri utara Semenanjung.


Tuan Syeikh Abd. Rahman Tohir (1816-1936) atau Lebai Rambut Panjang menetap di Bukit Raya, Pendang, Kedah. Beliau telah melahirkan ramai guru silat seperti Tuan Haji Ramli Abd. Rahman, Puan Gayah, Tok Petah, Tuan Haji Ismail Saad, Tuan Haji Pak Teh Mohd Ali dan lain-lain.


Tn. Haji Imam Mansor Bin Ismail berjaya melahirkan guru silat bernama En. Embong Bin Abdullah (1924-1994) yang mengembang silat di Selangor. Guru Embong membuka gelanggang silat di sekitar daerah Sabak Bernam, Selangor. Beliau merupakan tokoh perguruan PSGFM yang pertama menjadi Ahli Dewan Perguruan PESAKA Malaysia. Beliau berjaya melahirkan beberapa guru silat seperti En. Mahmud, En. Yaakob, Tn. Haji Anuar Bin Haji Abd. Wahab (AMN) dan En. Abd. Rahman Janah.


Tuan Guru Embong Abdullah telah berjaya membentuk Tn. Haji Anuar bin Haji Abd. Wahab AMN sebagai individual cemerlang menerajui PSGFM bermula dari seorang jurulatih silat di gelanggang Sungai Panjang (1966), Gelanggang Taman Mesra, Batu 13, Kajang Selangor (1974), Sekolah Menengah Sains Selangor (1974) dan diangkat menjadi Guru Silat bagi Kuala Lumpur dan daerah Lembah Kelang Selatan.


Tn. Haji Anuar Bin Haji Abd. Wahab (AMN) telah berjaya membentuk ramai guru silat dan membuka kelab dan gelanggang silat di beberapa buah negeri di Semenanjung dan Sabah. Guru silat hasil dari didikan beliau yang berjaya ialah En. Aminuddin Bin Haji Anuar (Selangor, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Sabah), En. Abd. Rahman Ismail (Kuala Lumpur), En. Rozman (Melaka), Tn. Haji Khairuddin Ghazali (Kelantan), En. Wan Jaafar (Kelantan), Tn. Haji Suhaimi Khalis Ishak (Kuala Lumpur), Tn. Haji Samsuddin Mansor, En. Salehuddin Haji Abd. Wahab (Selangor), Tn Haji Basiron Hamit (Kuala Lumpur), Haji Ismail Asraf (Sabah) dan lain-lain.


Pada 1975, mesyuarat diadakan di Batu Kurau, Perak yang dihadiri oleh Guru-guru Tua seperti Tn. Haji Ramli Bin Haji Abd. Rahman (anak kepada Tn. Haji Abd. Rahman Tohir), Tn. Haji mohd. Ali (Kedah), Tn. Haji Imam Mansor Ismail (Perak), En. Embong Bin Abdullah (Selangor), Tn. Haji Anuar Bin Haji Abd. Wahab (Kuala Lumpur), guru-guru dan murid-murid tuan Seni Gayung Fatani. Perjumpaan tersebut telah bersetuju menubuhkan persatuan silat yang di kenali dengan nama PERTUBUHAN SENI GAYUNG FATANI MALAYSIA.


Sebulat suara dari guru Tua telah melantik Tn. Haji Anuar Bin Haji Abd. Wahab (AMN) sebagai GURU UTAMA dan Pengerusi pertama bagi melaksanakan tugas membangunkan PSGFM di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.


Mesyuarat penajaan penubuhan Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia telah dilakukan pada 23hb. Disember 1975 dimana Tn. Haji Anuar Bin Haji Abd. Wahab (Pengerusi), Tn. Haji Suhaimi Khalis Ishak (Naib Pengerusi), Tn. Haji Samsuddin Mansor (Setiausaha), En. Baharuddin Talib (Bendahari) dan Jawatankuasa. 


Penubuhan PSGFM telah disahkan pendaftarannya pada 14hb. September 1997, Pendaftaran No. PPP/S1886/28/26 – 10 (2). Pada tahun 1998 PSGFM telah didaftarkan di bawah Pendaftaran Suruhanjaya Sukan dan Badan Sukan, disahkan pada 29hb. Oktober 1998, Pendaftaran No. 0452/98, Rujukan PPS/06/01/68-1(5) kedua-duanya beralamat di NO. 15, Jalan 8, Taman Mesra, Batu 13, Jalan Cheras, 43000 Kajang, Selangor Darul Ehsan. 

NAMA PERTUBUHAN

Nama Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia adalah cadangan Tuan Haji Imam Mansor, disokong oleh Tuan Haji Mohd Ali, Tuan Haji Ramli Abd. Rahman dan En. Embung Abdullah dan dipersetujui sebulat suara.

Perkataan Pertubuhan Seni Gayung Fatani Malaysia membawa maksud berikut:

JURAI PERGURUAN PSGFM

PENGASAS PERGURUAN PSGFM

Allahyarham Tuan Syeikh Abdul Rahman Tohir (Lebai Rambut Panjang) pada tahun 1890.

PENGASAS PERTUBUHAN

Allahyarham Pendeta Tuan Haji Anuar Abd. Wahab AMN pada 1976.

GURU-GURU TUA PSGFM

Guru Tua ialah mereka yang telah diiktiraf sebagai berjasa kepada PSGFM dan telah melahirkan ramai guru silat dan jurulatih silat pada sesebuah negeri. Mereka ialah: 

Gambar kenangan Allahyarham Guru Utama bersama para Guru Tua pada tahun 1975.

Dari kanan: Allahyarham Guru Tua En. Embung Abdullah, Allahyarham Guru Tua Tuan Haji Pak Teh Mohd Ali, Allahyarham Guru Utama Tuan Haji Anuar Abd Wahab, Allahyarham Guru Tua Tuan Haji Ramli Abd. Rahman Tohir, Allahyarham Guru Tua Tuan Haji Imam Mansor. 

LOGO PSGFM

Logo atau lambang PSGFM berbentuk bulat diambil dari Tapak Bulat atau langkah Melilit yang mengambarkan pergerakan dan kesatuan yang padu.

Perkataan membawa makna yang tertentu:

Warna merah lambang keberanian.

Warna hijau ialah kesuburan dan kepercayaan agama.

Warna kuning ialah kedaulatan.

Warna putih ialah suci dan bersih.

Warna hitam ialah matang dan keluhuran.

Keris bersilang sarung lambang semangat kepahlawanan Melayu.

Tangan bermaksud bertanggungjawab, berusaha dengan gigih.

BENDERA PSGFM

MOTO PSGFM

"FATANI NUSA BAKTI"

Fatani bermaksud bijaksana, pandai atau cerdik. 

Nusa bermaksud negara atau tanah air.

Bakti bermaksud sumbangan atau perjuangan ikhlas kepada diri, bangsa, agama dan negara.

Moto tersebut membawa pengertian bahawa pesilat, khususnya ahli PSGFM sebagai insan yang dapat bertindak secara berakal atau bijaksana melaksanakan perjuangan demi kepentingan negara.  Menjauhkan diri dari segala yang tercela yang boleh membinasakan diri pada zahir batin.  Orang yang berilmu dan berakal bijak dapat menghayati keagungan Tuhan Yang Esa.  Sebagai insan sebaik-baik ciptaan di alam yang diangkat sebagai khalifak Allah, amat arif dan mengerti makna kehidupan yang sementara kepada kehidupan yang kekal dan yang sehubungan dengannya.

FALSAFAH PENDIDIKAN SILAT PSGFM


Falsafah pendidikan silat PSGFM ialah untuk melahirkan insan mahir silat atau pendekar silat yang mengamalkan Sikap Pendekar yang sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara, Rukun Negara dan Prinsip Islam Hadari yang kesemuanya ke arah memanusiakan manusia. Kepelbagaian bentuk pendidikan dalam masyarakat hanya sebagai proses memupuk dan meningkatkan kesedaran dalam diri tentang hubungan diri dengan Tuhan, manusia dan alam.


Falsafah Pendidikan Negara 1988

Pendidikan di malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruhn dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan serta memberi sumbangan terdahap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.


Rukun Negara


Prinsip Islam Hadari


Sikap Pendekar

Pendekar ialah insan yang berilmu, beramal dan berkemahiran dalam ilmu persilatan pada zahir dan batin berteraskan adat seni budaya Melayu bersendikan syarak, menggunakan ilmu di tempat yang betul demi kebenaran dan keamanan dengan jiwa yang tenang serta berketerampilan berlandaskan semangat kesatriaan yang luhur (Anuar Abd. Wahab, 2002).

KONSEP SILAT PSGFM


Konsep pendidikan silat PSGFM ialah silat untuk semua iaitu memberi peluang kepada semua peringkat umur, jantina tanpa mengira budaya, kaum, bangsa, bahasa, fahaman dan kepercayaan dapat mempelajari, mengamalkan dan mengikuti aktiviti silat dengan yakin tanpa waswas. 

MATLAMAT PENDIDIKAN SILAT PSGFM