SISTEM TULISAN JAWI

Pengenalan

  • Tulisan Jawi (جاوي تولیسن ( atau Abjad Jawi, juga dipanggil Pegon dan Gundhil di daerah Jawa, Jawoë di Aceh Darussalam, Yawi di Pattani dan Jawi di Sumatera (Riau,Sumatera Barat, Jambi, dan Sumatera Selatan), Malaysia serta Brunei Darussalam menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, tulisan Jawi bermaksud huruf-huruf Arab dengan beberapa huruf tambahan yang digunakan untuk menulis dalam bahasa Melayu. Manakala huruf Jawi bermaksud huruf Arab dengan beberapa huruf tambahan yang digunakan untuk menulis dalam bahasa Melayu.

  • Tulisan Jawi merupakan satu daripada dua sistem tulisan rasmi di Brunei, dan juga dijadikan sistem tulisan alternatif di Malaysia. Dari segi penggunaannya, tulisan Jawi dahulunya merupakan abjad piawai bahasa Melayu tetapi sudah diganti oleh abjad Rumi, maka penulisan Jawi hanya terhad kepada kegunaan dalam hal ehwal keagamaan dan kebudayaan. Penulisan Jawi seharian dipelihara di kawasan-kawasan yang diduduki masyarakat Melayu yang lebih konservatif, misalnya Sulu di Filipina, Pattani di Thailand, Kelantan di Malaysia dan beberapa kawasan petempatan Melayu di Indonesia.

Rupee Jawa Hindia Timur Belanda dengan tulisan Jawi

Batu Bersurat Terengganu, tulisan tahun 1303M, merupakan artifak bertulisan Jawi yang tertua pernah dijumpai. Ia bercatang-undabng setempat yang dipengaruh oleh Syariah, maka merupakan bukti terawal pengaruh Islam di Malaysia.

Sejarah Awal

Bukti bertulis mengenai Pengisytiharan Kemerdekaan Tanah Melayu yang ditulis dalam bahasa Melayu bertulisan Jawi

  • Tulisan Jawi telah wujud sejak sekitar tahun 1300 M di Kepulauan Melayu. Perkembangannya berhubung kait dengan ketibaan Islam, khususnya daripada orang Parsi. Abjad Arab yang diperkenalkan ini diubah suai agar sesuai dengan bahasa Melayu klasik lisan. Tulisan Jawi ditulis dari kanan ke kiri, dan ditokok dengan 6 huruf yang tiada dalam bahasa Arab, iaitu ca, pa, ga, nga, va dan nya.

  • Tulisan Jawi berpunca daripada kesusasteraan Arab yang diperkenalkan oleh orang Parsi kepada Kerajaan Melayu Jambi yang terletak di utara Palembang, Sumatera, Indonesia, dan bertutur dalam bahasa Melayu klasik. Barangkalinya, mereka yang memeluk agama Islam memilih untuk menulis dalam abjad Jawi kerana ia berhubungkait rapat dengan kebudayaan Islam, daripada menggunakan tulisan Jawa yang diterbitkan daripada sistem-sistem tulisan yang digunakan di kawasan-kawasan beragama Hindu atau Buddha di Asia Selatan. Nama "Jawi"

  • membayangkan akar umbinya di Jawa, bak hujah sesetengah ilmuwan. Bagaimanapun, oleh sebab tidak banyak ditemui meskipun memang pernah digunakan di Jawa, kemungkinan besar perkataan Jawi ini merupakan gelaran am bagi kawasan di bawah penguasaan atau pengaruh Jawa. Selain itu, nama Jawi itu mungkin berpunca daripada kerajaan Javaka kuno yang merupakan pendahulu kerajaan-kerajaan Majapahit dan Srivijaya yang pernah menjalin hubungan dengan saudagar dan mubaligh Arab.

  • Tinggalan tulisan Jawi purba yang terawal ditemui pada Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 1303 M (702 H) dan juga Syair Bidasari tulisan sekitar 1300–1399 M yang ditemui di Sumatera,sementara penggunaan terawal abjad Rumi untuk bahasa Melayu datang dari akhir abad ke-19.

  • Kawasan Terengganu berada dalam lingkungan pengaruh Srivijaya selewat abad ke-13, sementara Kesultanan Terengganu hanya diasaskan seawal abad ke-18. Ini menguatkan hujah bahawa tulisan Jawi berasal dari Jambi oleh kerajaan abdi Pasai di bawah Srivijaya.

Penyebaran dan Perkembangan Tulisan Jawi

  • Tulisan Jawi berkembang pesat sejajar dengan penyebaran Islam, setelah bangsa Melayu mendapati bahawa tulisan Pallava yang digunakan mereka selama ini tidak sesuai sekali sebagai wahana penyebaran perihal agama baru ini. Orang Melayu memandang tinggi tulisan Jawi sebagai gerbang kepada pemahaman Islam dan kitab sucinya, al-Qur'an. Penggunaan tulisan Jawi merupakan faktor utama yang memangkin kebangkitan bahasa Melayu sebagai serantau di samping penyebaran agama Islam.[15] Tulisan Jawi digunakan secara meluas di negeri-negeri kesultanan Melaka, Johor, Brunei, Sulu, Patani, Ache dan Ternate seawal abad ke-15, untuk tujuan surat-menyurat diraja, titah-perintah, puisi dan juga kaedah perhubungan utama sesama saudagar di pelabuhan Melaka. Ikhtisar-ikhtisar perundangan purbakala seperti Hukum Kanun Melaka dan bahan-bahan terbitannya, termasuk Hukum-Hukum Kanun Johor, Kedah dan Brunei semuanya ditulis dalam Jawi. Bahasa Melayu dalam tulisan Jawi merupakan bahasa perantaraan seluruh lapisan masyarakat, baik para raja, bangsawan, ilmuwan agama mahupun orang keramaian, di samping menjadi lambang tradisi kebudayaan dan tamadun Melayu. Proses pengislaman rantau Melayu telah melariskan abjad Jawi sebagai sistem tulisan yang paling berkuasa

  • Sebagai contoh, surat-surat diraja ditulis, dihiasi dan disampaikan dengan penuh istiadat. Contoh-contoh surat diraja yang masih terpelihara ialah surat antara Sultan Abu Hayat dari Ternate dan Raja João III dari Portugal (1521); surat daripada Sultan Iskandar Muda dari Aceh kepada Raja James I dari England (1615); dan surat daripada Sultan Abdul Jalil IV dari Johor kepada Raja Louis XV dari Perancis (1719).[16] Kebanyakan karya sastera baik hikayat, puisi mahupun prosa bertulisan Jawi. Ia merupakan kemuncak tamadun Melayu klasik. Antara karya-karya epik bersejarah yang dikarang oleh orang Melayu dalam tulisan Jawi termasuk Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) yang tersenarai dalam Kenangan Dunia oleh UNESCO, dan puisi-puisi Sufi karya Hamzah Fansuri antara lainnya yang menyumbang kepada kekayaan dan kedalaman tamadun Melayu.

  • Sewaktu zaman penjajahan, tulisan Jawi masih menguasai Kepulauan Melayu, terutamanya dalam bidang sastera dan kesenian, teologi, falsafah dan mistik Islam, perdagangan, dan juga perundangan negeri. Tulisan Jawi merupakan abjad rasmi Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu sewaktu zaman naungan British. Apatah lagi, Pemasyhuran Kemerdekaan 1957 bagi negara Malaysia antara lain juga tertulis dalam abjad Jawi.

  • Bagaimanapun, salah satu kelemahan utama amalan penulisan Jawi ialah ketidakseragaman sesama pengguna dari segi ejaan, yang mana menurut Pendeta Za'ba, "kebiasaan penulis-penulis yang ramai ... ada banyak tentangnya yang berlain-lain pada lain-lain orang", apatah lagi terdapat ketidaksepakatan sesama kamus-kamus bahasa Melayu yang sedia pada zaman dahulu. Hal inilah yang mendorong beliau untuk menggubal satu sistem ejaan Jawi yang baru pada tahun 1938.

Penggunaan Zaman Kini

  • Semenjak tulisan Rumi semakin bertapak di dunia Melayu, tulisan Jawi kini dipelihara terutamanya untuk wacana keagamaan dan kebudayaan Melayu[19] di negeri-negeri Terengganu, Kelantan, Kedah, Perlis, Pahang dan Johor di Malaysia, Patani di Thailand,[15] dan juga Sulu dan Marawi di Filipina. Pelbagai usaha dijalankan untuk menghidupkan kembali tulisan Jawi di Malaysia dan Brunei disebabkan peranannya yang penting dalam lingkungan budaya Melayu dan Islam, misalnya "Pedoman Ejaan Jawi yang Disempurnakan" sebagai ganti ejaan Za'ba yang diperkenalkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1986.[20] Tulisan Jawi juga kelihatan di muka belakang wang kertas Ringgit Malaysia dan Ringgit Brunei.

  • "Kita tidak perlu membuang atau meninggalkan tulisan Jawi walaupun Melayu amnya menggunakan tulisan Rumi. Ini adalah kerana tulisan Jawi adalah kepunyaan kita dan merupakan sebahagian daripada warisan kita."

  • — Perhatian penuh mengenai nasib tulisan Jawi oleh tokoh bahasa Melayu Pendeta Za'ba dalam mukadimah buku Panduan Membaca dan Menulis Jawi (1957).

  • Mengimbau kembali akar-umbinya di zaman kerajaan Majapahit, Indonesia kurang berminat dengan tulisan Jawi yang dipandang oleh masyarakat setempat sebagai "kampungan" dan tidak seanggun, seindah dan semasyhur tulisan Jawa. Walau apapun, tulisan Jawi masih digunakan secara meluas di madrasah-madrasah tradisional di seluruh Jawa, tetapi dalam bentuk lainan yang bernama Pegon.

  • Adanya perasaan gusar yang dirasai dalam sesetengah lingkungan mengenai keadaan tulisan Jawi yang dianggap "tenat" dari segi pengutamaannya dalam penggunaan seharian;, pakar bahasa dan persuratan Melayu daripada Universiti Kajian Luar Busan, Prof Dr. Kang Kyoung Seok ada berkata dalam suatu wawancara dengan Utusan Malaysia pada 2012; "Malaysia perlu mendidik generasi muda dalam tulisan Jawi. Sekarang terlalu ramai pakar saya kenali sudah bersara tanpa ada pengganti. Bila pakar sudah tiada, siapa akan menerajui usaha pemeliharaan tulisan jawi nanti?"

Di Malaysia

  • Tulisan Jawi tidak sahaja menjadi kebiasaan dalam papan tanda perniagaan serata negeri Kedah di Malaysia, malah mendapat sokongan daripada kerajaan negeri tersebut sebagai suatu cadangan disyorkan dan diwartakan dalam undang-undang negeri Kedah. Bahkan, terdapat juga permintaan yang tinggi dalam menerapkan tulisan Jawi dalam periklanan serata negeri Kedah.

  • Kota Kuantan di negeri Pahang memperkenalkan pelaksanaan mewajibkan tulisan Jawi (mendampingi tulisan lain seperti Rumi dan Cina) pada 1 Ogos 2019 atas titah cadangan Sultan Pahang Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang turut memangku kerusi Yang Dipertuan Agong pada ketika itu; arahan ini kemudiannya diluaskan ke seluruh negeri Pahang bermula pada 1 Januari 2020. Pelaksanaan ini dilakukan secara berperingkat membenarkan pelekat sebagai bahan perumah sementara sebelum penukaran papan tanda pada lain masa sempat, pengabaian undang-undang ini akan dikenakan denda maksimum RM250 serta juga penarikan lesen perniagaan sekiranya pelanggaran berterusan.

Di Indonesia

  • Tulisan Jawi diiktiraf secara serantau di kawasan-kawasan berpopulasi suku yang menggunakan tulisan ini menulis bahasa ibunda baik termasuk dialek Melayu serantau (seperti provinsi Riau dan Kepulauan-nya, Jambi,Sumatera Selatan), bahasa Aceh (Aceh) dan bahasa Banjar (Kalimantan). Namun, "Aksara Latin" masih merupakan tulisan rasmi untuk perhubungan peringkat nasional di Indonesia.

Faktor Kemerosotan Tulisan Jawi

  • Faktor kemerosotan tulisan jawi dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan remaja atau generasi baru pada hari ini amat membimbangkan. Hal ini kerana generasi baru sebagai pewaris atau peyambung warisan budaya Melayu iaitu tulisan jawi yang cukup sinonim dengan masyarakat Melayu sebagai tulisan rasmi dan alat untuk menyampaikan sesuatu maklumat pada zaman dahulu. Tulisan Jawi pada hari ini hanya tinggal tulisan dan tidak berserta dengaan kemahiran atau kepakaran dalam masyarakat untuk menulis dalam tulisan jawi terutamanya generasi muda yang tidak mahir dalam menulis jawi.

  • Terdapat beberapa faktor yang menjadi punca kemerosotan tulisan jawi dalam kalangan masyarakat pada hari ini. Antaranya subjek tulisan jawi hanya diajar diperingkat rendah dan tidak diteruskan diperingkat menengah. Betul terdapat subjek diperingkat sekolah rendah berkaitan tulisan jawi, namun tidak diteruskan diperingkat sekolah menegah apatah lagi diperingkat universiti. Pelajar yang berminat untuk terus mengambil tulisan jawi atau subjek tulisan jawi hanya boleh mengambil di sekolah menengah agama (SMA) bantuan negeri dan tidak terdapat subjek tersebut di sekolah menengah kebangsaan (SMK) atau di sekolah menengah (SM). Benarlah pepatah “melentur buluh dari rebungnya” iaitu mengajar disekolah rendah subjek tulisan jawi akan menarik minat murid dan seterusnya menjadi mahir dalam tulisan jawi, namun sekiranya tidak dipraktikkan dari masa ke semasa, kemahiran tulisan jawi ketika di sekolah rendah akan hilang dan tulisan jawi terkubur bergitu sahaja.

  • Seterusnya, subjek tulisan jawi tidak menjadi syarat wajib lulus peperiksaan di sekolah. Seperti kita sedia maklum, walaupun subjek tulisan jawi terdapat di sekolah rendah, namun pengajaran dan pembelajaran subjek tulisan jawi sekadar sampingan sahaja tanpa melibatkan murid perlu lulus dalam peperiksaan. Murid hanya belajar jawi sekadar untuk memenuhi sukatan pembelajaran dan sekiranya subjek yang tidak terdapat peperiksaan murid tidak memberi penekanan dan tidak membuat latihan tambahan dirumah. Oleh itu, menjadi punca kemerosotan tulisan jawi.

  • Selain itu, tidak menjadikan tulisan jawi sebagai tulisan rasmi surat-surat rasmi kerajaan. Dapat dilihat pada hari ini surat-surat rasmi kerajaan yang dihantar ke sekolah-sekolah, ke premis-premis kerajaan menggunakan hampir 100% tulisan Rumi. Meskipun melalui Jabatan Agama Islam turut menggunakan tulisan Rumi sebagai tulisan rasmi urusan surat-menyurat. Hal ini menjadi faktor kemerosotan tulisan Jawi pada hari ini.