EKONOMI
Antara cabaran bahasa Melayu dalam bidang ini ialah Bahasa Inggeris merupakan bahasa utama dalam bidang ekonomi. Walaupun bahasa rasmi negara ialah bahasa Malaysia namun dalam bidang ekonomi bahasa yang kerap digunakan ialah bahasa Inggeris. Contohnya, bahasa Inggeris digunakan semasa sesuatu perniagaan sedang dijalankan.
Menurut kajian, Bahasa Melayu jarang-jarang digunakan semasa urusan perniagaan dijalankan. Hal ini berlaku demikian kerana bahasa Malaysia kekurangan istilah yang tepat untuk mengungkapkan maksud dalam bidang ekonomi. Penguasaan bahasa Inggeris bukan sahaja penting untuk menjamin peluang kejayaan kerjaya malah juga penting untuk menjamin hubungan yang mantap dalam bidang ekonomi.
Jikalau bahasa Inggeris tidak dikuasai, maka perniagaan individu, syarikat, dan negara akan terbatas. Apabila peluang perniagaan terbatas, hal ini bukan sahaja menjejaskan ekonomi negara malah juga menjejaskan hubungan diplomatik dan nama baik negara. Oleh itu, bahasa Inggeris amat penting dalam bidang ekonomi. Secara tidak langsungnya, situasi ini telah menjejaskan dan memberikan impak yang negatif kepada masa depan Bahasa Melayu.
Beberapa perkara didapati menyebabkannya gagal. Antaranya banyak pihak, khususnya kaum bukan Melayu yang tidak pernah menerimanya dalam peranan penting itu, tidak berikhtiar selain tidak mahu menguasainya untuk tujuan integratif. Sebaliknya, bahasa Melayu hanya diketahui dan bukan pun dikuasai, atas sebab syarat wajib lulus dalam sistem pendidikan negara untuk pemerolehan sijil penuh dan perkhidmatan di sektor awam.
Ia boleh dikatakan jarang sekali dipelajari kaum bukan Melayu bagi mengenali kaum Melayu dengan lebih dekat lagi selaku kelompok dominan untuk bergaul dengan mereka, dengan tujuan untuk seterusnya berpadu dan bergabung sebagai komuniti nasional. Oleh sebab sikap negatif ini, bahasa Melayu tidak pernah dipelajari sebagai alat perpaduan melainkan atas orientasi instrumental tadi. Dengan ini, ia gagal dalam peranan kenegaraan yang penting lagi utama dalam kapasitinya sebagai bahasa kebangsaan.
Kini peranannya selaku bahasa rasmi pula mahu diambil alih bahasa Inggeris. Ia bukannya tidak mampu selepas berstatus bahasa saintifik moden yang memang layak pun memajukan negara kerana berupaya mengungkapkan sebarang hal dalam semua bidang ilmu. Namun, ia mahu digantikan juga dan dipersetujui pula kaum Melayu sendiri yang menuturkannya sebagai bahasa ibunda, etnik dan leluhur. Ia mula digantikan melalui Program Dwibahasa, iaitu pendidikan mata pelajaran tertentu dalam bahasa Inggeris pada sebilangan sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.
Dengan kedua-dua peranan bahasa negara yang tidak berhasil sebagai bahasa kebangsaan dan kurang menjadi selaku bahasa rasmi, wibawa bahasa Melayu sebetulnya terbantut dalam proses pembentukan negara bangsa yang bersatu dan maju pula. Sehubungan ini, ia gagal membangkitkan sentimen nasional, nasionaliti dan nasionalisme untuk melahirkan rakyat yang terikat kuat dengan negara ini dari segi bahasa negaranya.
Pada masa sama, ia juga gagal diterima sebagai bahasa yang mampu memberi kuasa sosioekonomi kepada rakyat walaupun selepas diiktiraf kerajaan.
Dalam hal kegagalan ini, proses pembentukan negara bangsa yang membabitkan kuasa kerajaan untuk menyatu rakyat dan memajukan negara melalui penggunaan bahasa negara untuk membentuk komuniti nasional, perlu diakui terbentur. Komuniti nasional yang perlu dibentuk secara terancang oleh kerajaan melalui sistem pendidikan untuk generasi muda dan disasarkan dalam pelbagai program rasmi lain untuk golongan dewasa, tidak ghalib dilakukan.
Oleh itu pembentukan negara bangsa ini perlu dilakukan semula biarpun kita sudah lama membentuk negara pada 1957. Kita belum bersatu sebagai komuniti nasional yang berkongsi negara ini dari segi sama-sama mendukung sejarah, tradisi, budaya dan bahasa yang satu. Semua ini penting untuk komuniti nasional yang bakal diwujudkan itu kerana ia sisi positif patriotisme Malaysia.